LUMUT, 15 Ogos – Seramai 41 warga Indonesia yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak dalam operasi membanteras kegiatan penyeludupan migran di perairan Teluk Senangin pada 31 Julai lalu telah didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kesemua 41 Orang Kena Tuduh (OKT) didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan. Kesemua OKT telah mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan.
Dalam perkembangan berkaitan, dua daripada 41 OKT tersebut turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seri Manjung atas pertuduhan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007).
Kes berkenaan telah disebut di Mahkamah Sesyen dan akan melalui proses perundangan selanjutnya termasuk pemindahan ke Mahkamah Tinggi.
Kesemua OKT sebelum ini ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Perak selepas sebuah vesel nelayan asing Indonesia dikesan membawa 41 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di perairan Teluk Senangin, berhampiran Batu Malang, pada awal pagi 31 Julai 2026.
Dalam kejadian tersebut, tekong vesel berkenaan dipercayai cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan penguat kuasa selain melakukan manuver berbahaya sehingga merempuh bot ronda Maritim Malaysia sebanyak empat kali.
Tindakan pantas dan terkawal anggota Maritim Malaysia berjaya menyekat pergerakan vesel berkenaan sebelum ia ditahan sepenuhnya pada jam 3.35 pagi. Tiada kecederaan dilaporkan melibatkan anggota Maritim Malaysia dalam kejadian tersebut.
Kejayaan membawa kes ini ke peringkat pendakwaan membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan setiap tindakan penguatkuasaan disusuli dengan proses perundangan yang sewajarnya.
Menurut beliau, Maritim Malaysia memandang serius kegiatan penyeludupan migran dan kemasukan PATI melalui laluan laut yang tidak diwartakan kerana bukan sahaja menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara, malah boleh mendedahkan golongan migran kepada risiko dieksploitasi oleh sindiket serta ancaman keselamatan nyawa di laut.
“Maritim Malaysia akan terus memperkukuh keupayaan risikan, rondaan dan penguatkuasaan di perairan negara bagi mengekang kegiatan penyeludupan migran serta memastikan pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menceroboh perairan negara, terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran atau bertindak agresif sehingga mengancam keselamatan anggota penguat kuasa.













.svg.png)

