SEMPORNA, 14 Ogos – Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu menerima maklumat berhubung seorang pekerja resort yang mengalami kecederaan disyaki patah tulang selepas terjatuh di Pulau Tubing, Semporna.
Susulan maklumat tersebut, MRSC Kota Kinabalu menyalurkan maklumat kepada Zon Maritim Semporna untuk tindakan lanjut. Maritim Malaysia Zon Maritim Semporna kemudiannya menggerakkan aset bagi melaksanakan operasi pemindahan perubatan (Medical Evacuation – MEDEVAC) terhadap mangsa, seorang warga China yang bekerja di sebuah resort di Pulau Tubing.
Mangsa yang disyaki mengalami kecederaan patah tulang akibat terjatuh memerlukan pemindahan segera ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan perubatan lanjut.
Operasi MEDEVAC dilaksanakan dengan mengutamakan aspek keselamatan mangsa bagi memastikan beliau dapat dipindahkan dan menerima rawatan perubatan dengan segera.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar bin Abd Majid @ Razali berkata, tindakan pantas Maritim Malaysia dalam mengendalikan kes kecemasan perubatan di kawasan pulau dan perairan merupakan sebahagian daripada komitmen agensi dalam memastikan keselamatan serta kebajikan komuniti maritim sentiasa diberi keutamaan.
“Maritim Malaysia sentiasa bersedia menggerakkan aset dan anggota bagi memberikan bantuan kecemasan kepada mana-mana individu yang memerlukan, khususnya di kawasan pulau dan perairan yang mempunyai cabaran dari segi akses kepada kemudahan perubatan,
“Kerjasama serta penyampaian maklumat yang pantas daripada pihak berkaitan amat penting bagi memastikan tindakan dapat diambil dengan segera, sekali gus membantu memastikan mangsa memperoleh rawatan yang diperlukan tanpa kelewatan,” katanya.
Maritim Malaysia menegaskan bahawa keselamatan nyawa sentiasa menjadi keutamaan dan agensi akan terus memastikan kesiapsiagaan aset serta anggota berada pada tahap terbaik dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan, mencari dan menyelamat serta bantuan kecemasan di perairan negara.













.svg.png)

