13
Sat, Jun

BOT NELAYAN DITAHAN, LANGGAR SYARAT SAH LESEN

KUCHING, 15 MEI – Maritim Negeri Sarawak menahan sebuah bot nelayan tempatan pada jarak kira-kira 4.5 batu nautika Timur, Tanjung PO semalam.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh berkata, pada sekitar jam 11.00 malam, bot ronda Maritim Malaysia semasa rondaan rutin OP PERMAI dan OP TIRIS 3.0 telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan yang mencurigakan sedang melakukan aktiviti perikanan di sekitar perairan Kuching.

Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong bersama lima kru warga tempatan berumur dalam lingkungan 24 hingga 49 tahun.

Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang tujuh batu nautika seperti tertera dalam lesen.

Bot bersama kesemua kru termasuk tekong, peralatan perikanan serta hasil tangkapan ikan campur yang dianggarkan seberat 100 kilogram diiring ke jeti KOMTAS untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985.

Sebarang aduan, maklumat serta aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2024 05 15 at 8.00.15 PM 1
 
WhatsApp Image 2024 05 15 at 8.00.15 PM

BOT NELAYAN TEMPATAN KELAS C DITAHAN MENGGAJIKAN KRU WARGA ASING

PELABUHAN KLANG, 15 MEI – Maritim Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 16 batu nautika barat daya Tanjung Karang, kira-kira pada sekitar jam 1.20 petang semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, bot nelayan itu ditahan ketika KM DANGA melakukan rondaan rutin penguatkuasaan di sekitar perairan Selangor semalam.

Pemeriksaan awal mendapati bot terbabit dikendalikan oleh seorang tekong bersama tiga kru warga Myanmar berusia dalam lingkungan umur 19 hingga 37.

Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Pemeriksaan lanjut turut mendapati bot berkenaan telah melanggar syarat sah lesen kerana menggunakan kru asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Bot serta kru ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan Malaysia khususnya perairan Selangor.

Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan serta aktiviti jenayah di laut orang ramai boleh menyalurkannya ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2024 05 15 at 9.30.26 AM
 
WhatsApp Image 2024 05 15 at 9.30.25 AM

60 SET BUBU NAGA DIRAMPAS MARITIM NGERI PERAK

LUMUT, 14 MEI – Sebanyak 60 set bubu naga atau bubu kamban (China Prawn Net Trap) dirampas Maritim Negeri Perak dalam operasi di sekitar tiga batu nautika dari barat laut Pulau Talang pada sekitar jam 10.00 pagi semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, bubu ini dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang melaksanakan rondaan melalui penemuan objek yang mencurigakan iaitu bendera serta pelampung yang diikat pada pancang kayu di lokasi itu.

Objek itu kemudiannya dirapati oleh penguat kuasa untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil pemeriksaan mendapati objek itu dipercayai berfungsi sebagai penanda kepada bubu naga yang dipasang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai hampir enam ribu ringgit dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Maritim Negeri Perak menegaskan akan terus membuat rampasan ke atas bubu naga serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pesalah yang melanggar undang-undang ini.

Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999 untuk tindakan segera.

 

BUBU NAGA LUMUT   BUBU NAGA LUMUT 2
     
BUBU NAGA LUMUT 3   BUBU NAGA LUMUT 5

DUA WARGA FILIPINA DITAHAN CUBA SELUDUP MINYAK PETROL

KUDAT, 14 MEI – Zon Maritim Kudat berjaya menahan sebuah bot bersama dua individu dipercayai menjalankan kegiatan penyeludupan minyak petrol di perairan Kudat, semalam.

Pengarahnya, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, lebih kurang pukul 4.00 pagi semalam, bot ronda Zon Maritim Kudat yang pada ketika itu sedang menjalankan rondaan OP TIRIS di sekitar kawasan perairan Kudat telah berjaya mengesan bot suspek di posisi kira-kira empat batu nautika timur laut, Pulau Kankamat hasil daripada maklumat perisikan yang diterima.

Melalui pemeriksaan yang dilakukan, dua individu didapati berada di dalam bot berkenaan merupakan warga Filipina berumur lingkungan 19 dan 51 tahun dan setelah pemeriksaan lanjut dilakukan kedua-dua individu terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Pemeriksaan lanjut juga turut menemui sejumlah 12 tong berwarna biru berisi minyak petrol dibawa bot berkenaan tanpa sebarang permit yang sah disyaki cuba diseludup ke negara jiran.

Suspek bersama bot dan barang rampasan seterusnya ditahan untuk siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan lebih kurang RM15 ribu.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.

Zon Maritim Kudat menyeru kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

 

KUDAT PETROL 2
 
KUDAT PETROL

10 KRU WARGA MYANMAR DITAHAN DALAM OP BERSEPADU DI PULAU PINANG

PULAU PINANG, 14 MEI – Seramai 10 kru warga Myanmar ditahan atas pelbagai kesalahan menerusi koordinasi OP BERSEPADU yang telah dijalankan semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali bin Kasim berkata, seramai lapan warga Myanmar ditahan kerana gagal mengemukakan permit kerja yang sah manakala dua kru lagi disyaki menyalahgunakan dadah jenis Syabu.

Beliau turut berkata, koordinasi OP BERSEPADU ini dilaksanakan melalui mesyuarat kerjasama bersama agensi sahabat yang terdiri daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pasukan Polis Marin (PPM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), serta beberapa agensi sahabat yang lain melalui darat di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Batu Maung.

Razali turut memaklumkan, keberhasilan operasi bersepadu ini turut dibantu oleh penggunaan aset baharu iaitu Mobile Surveillance Unit (MSU) yang berfungsi sebagai radar dan disesuaikan dengan pacuan empat roda sebagai platform pengesanan yang tahan lasak untuk mengesan sebarang pergerakan keluar masuk yang mencurigakan.

Tambahnya lagi, operasi bersepadu ini akan dilaksanakan secara berterusan berikutan susulan maklumat aduan awam yang diterima bagi memastikan kepatuhan pengusaha bot nelayan tempatan di sekitar perairan Pulau Pinang.

 

OP BERSEPADU PENANG   OP BERSEPADU PENANG 3
     
OP BERSEPADU PENANG 4   OP BERSEPADU PENANG 5

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON