08
Tue, Sep

DUA BOT TUNDA BERSAMA TONGKANG DITAHAN, GAGAL KEMUKAKAN DOKUMEN PELEPASAN PELABUHAN

TANJUNG MANIS, 10 JUN – Dua bot tunda bersama tongkang ditahan lebih kurang 1.8 batu nautika dan 1.7 batu nautika selatan Tanjung Jerijeh awal pagi tadi kerana disyaki melakukan perlanggaran undang-undang di laut.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Anak Numpang berkata, pada jam lebih kurang 12.02 pagi bot ronda Zon Maritim Tanjung Manis dalam rondaan Op Permai dan Op Tiris telah mengesan dua bot tunda dan tongkang yang mencurigakan bergerak keluar daripada Muara Batang Rajang.

Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot tunda tersebut mendapati terdapat empat kru tempatan dan tujuh kru warganegara India termasuk tekong berumur lingkungan 21 tahun hingga 64 tahun melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 kerana disyaki gagal mengemukakan dokumen pelepasan pelabuhan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana disyaki tiada sijil penguntukan radas.

Bot tunda dan tongkang beserta kru ditahan seterusnya dibawa ke Jeti Terminal Penumpang Tanjung Manis untuk tindakan lanjut.

Laporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dilaut dan kegiatan yang mencurigakan termasuk kes-kes kecemasan atau kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis di talian 011-35728765 yang beroperasi 24 jam.

 

TONGKANG TAHAN SWK 2
 
TONGKANG TAHAN SWK 3
 
TONGKANG TAHAN SWK 5
 
TONGKANG TAHAN SWK 6

AKTIVITI BOM IKAN BERJAYA DIPATAHKAN MARITIM MALAYSIA

LAHAD DATU, 10 JUN – Zon Maritim Lahad Datu berjaya mematahkan aktiviti dua bot pam ketika sedang melakukan aktiviti mengebom ikan lebih kurang 2.2 batu nautika di kawasan Selatan Pulau Kun Kun, Lahad Datu semalam.

Pengarahnya, Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna binti Razali Chan berkata, bot ronda Maritim Malaysia mengesan dua bot pam berwarna biru putih dan oren itu melalui aduan awam lebih kurang pada jam 6.16 petang dan 6.31 petang pada hari yang sama.

Hasil pemeriksaan mendapati bot itu melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 26 melibatkan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya.

Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna turut memaklumkan, dipercayai empat kru bot warga Bajau Palauh yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tidak memiliki lesen serta nombor pendaftaran yang sah.

Turut dirampas dua enjin bot, dua hos berserta kompresor dan dua bom ikan dengan nilai anggaran lebih RM5 ribu.

Zon Maritim Lahad Datu memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan Lahad Datu agar terus memberi kerjasama dengan melaporkan jika terdapat sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan mahupun sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 089-885727 (Pusat Operasi Lahad Datu) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

 

BOM IKAN LD 
 
BOM IKAN LD 3
 
BOM IKAN LD 2

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN SELUDUP 800 LITER MINYAK PETROL

SANDAKAN, 6 JUN – Sejumlah 800 liter disyaki minyak petrol yang diisi di dalam 32 tong dirampas Zon Maritim Sandakan ketika aksi kejar buru antara pihak Maritim Malaysia dan sebuah bot pancung disyaki penyeludup dekat sini, petang semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam operasi pada jam 5.00 petang telah mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan bergerak menuju ke perairan Tanjung Batu, Sandakan.

Maritim Malaysia mengarahkan bot suspek berhenti dengan menggunakan pembesar suara dan siren untuk pemeriksaan.

Setelah menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, bot itu berpatah balik dan memecut laju menuju ke pantai berhampiran Tanah Merah Sandakan dalam usaha meloloskan diri daripada dikejar.

Dua suspek yang berada di dalam bot berjaya meloloskan diri dan meninggalkan bot pancung itu.

Bot yang tidak mempunyai nombor pendaftaran dengan menggunakan enjin sangkut 75 kuasa kuda itu ditahan pada jam 5.30 petang di kedudukan 0.3 batu nautika barat Kampung Tanah Merah, Sandakan.

Kesemua rampasan diiring ke Jeti Zon Maritim Sandakan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Sandakan.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Siasatan lanjut akan dibuat bagi mengesan dalang, pemilik bot serta si pelaku di sebalik kegiatan yang disyaki sebagai penyeludupan ini.

 

SANDAKAN MINYAK

 

 

ANTARABANGSA | MARITIM MALAYSIA SERTAI FORUM COAST GUARD ASEAN DI FILIPINA

DAVAO, 7 JUN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memandang serius dan menyokong penuh inisiatif yang dibawa menerusi penganjuran ASEAN COAST GUARD FORUM (ACF) 2024 dengan tema yang diangkat iaitu 'Memupuk Kerjasama ASEAN untuk Meningkatkan Keamanan dan Kestabilan di Wilayah Ini'.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim hadir mewakili Malaysia ke persidangan ACF 2024 berkenaan yang berlangsung pada 4 hingga 6 Jun 2024, semalam.

Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim berkata, ACF 2024 membawa mesej yang jelas mengenai kepentingan kerjasama di antara negara-negara ASEAN dalam memastikan keamanan dan kestabilan rantau ini sentiasa terpelihara.

Selain menghadiri forum, satu sesi mesyuarat melibatkan Ketua-Ketua Coast Guard ASEAN turut diadakan.

Antara perkara yang diberi penekanan dalam mesyuarat itu ialah penglibatan setiap negara dalam isu pelindungan dan pemeliharaan alam sekitar marin, mencari dan menyelamat (CARILAMAT), keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang seperti penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran serta aktiviti penangkapan ikan secara haram (IUU Fishing).

Salah satu aspirasi yang ditekankan dalam ACF 2024 berlangsung ialah usaha membangunkan prosedur operasi standard (SOP) di peringkat ASEAN sebagai panduan kepada semua agensi coast guard dan penguat kuasa maritim di rantau ini dalam mendepani ancaman jenayah maritim.

Semua ketua-ketua coast guard yang hadir telah menunjukkan keseriusan mereka dalam usaha untuk mengekalkan kestabilan maritim di rantau Asia Tenggara.

Komitmen ini penting dalam mengukuhkan lagi kerjasama di antara negara-negara serantau selaras dengan arahan undang-undang antarabangsa agar perairan di rantau ini sentiasa terpelihara.

Forum itu telah dihadiri oleh delegasi-delegasi coast guard dan penguat kuasa maritim dari negara-negara ASEAN seperti Malaysia, Indonesia, Laos, Myanmar, Vietnam, Kemboja, Singapura, dan Thailand.

Untuk rekod, penganjuran ACF 2024 buat pertama kalinya dianjurkan oleh Badan Keamanan Laut Indonesia (BAKAMLA) pada 22 hingga 24 November 2022 di Bali dan diikuti pada tahun berikutnya (6 hingga 9 Jun 2023) di Jakarta, Indonesia.

Bagi penganjuran pada tahun ini, Filipina menjadi tuan rumah di mana Commandant Philippines Coast Guard, CG Admiral Ronnie Gil Latorilla Gavan berperanan sebagai pengerusi mesyuarat.

Dalam perkembangan lain, satu pertemuan dan perbincangan bilateral turut diadakan di antara Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan dengan CG Admiral Ronnie Gil Latorilla Gavan dalam memperkukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara dalam memahami isu-isu semasa berkaitan aspek keselamatan maritim.

Turut mengiringi beliau dalam pertemuan itu ialah Pengarah Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa (BPSA), Kepten Maritim Shah Rulashari bin Ahmad Omar.

 

ACF 2024 2   ACF 2024 3   ACF 2024 4   ACF 2024 5

PATKOR OPTIMA PERKUKUH KEDAULATAN PERAIRAN SEMPADAN

PULAU PINANG, 4 JUN – Malaysia dan Republik Indonesia melalui agensi penguatkuasaan negara masing-masing sekali lagi bergabung melaksanakan Patrol Terkoordinasi Operasi Tindakan Maritim (PATKOR OPTIMA) yang diadakan bermula pada 4 Jun hingga 13 Jun depan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM) Maritim Malaysia yang juga Ketua Tim Perancang Operasi Maritim (TPOM) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, operasi bersepadu yang memasuki siri ke-31 ini merupakan operasi dwi-tahunan yang diadakan secara kolaborasi dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan di Selat Melaka yang merupakan laluan utama industri perkapalan dunia.

Kerjasama serta kefahaman penguatkuasaan undang-undang di antara penguat kuasa dari kedua-dua negara amat penting demi memastikan Malaysia dan Republik Indonesia sentiasa bekerjasama dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan.

“Salah laku jenayah seperti penyeludupan migran, penyeludupan dadah dan kontraban serta isu pencerobohan bot nelayan merupakan kegiatan jenayah yang lazim berlaku di Selat Melaka,

"Justeru koordinasi operasi menerusi PATKOR OPTIMA ini amat diperlukan agar kesejahteraan perairan kedua-dua negara sentiasa berada dalam keadaan yang tenteram dan selamat,” kata Mohd Zawawi.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan dan merasmikan PATKOR OPTIMA 31A/2024 secara bersama dengan Direktur Operasi Laut Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) merangkap TPOM PATKOR OPTIMA Republik Indonesia, Laksamana Pertama BAKAMLA Basri Mustari dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi menyatakan PATKOR OPTIMA penting dalam meningkatkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat awam terutamanya komuniti maritim serta komuniti perdagangan perkapalan bahawa perairan Selat Melaka sentiasa dalam keadaan selamat dan aman.

Selain Maritim Malaysia, PATKOR OPTIMA 31A/2024 turut melibatkan agensi lain seperti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Laut Malaysia (JLM) , Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sementara itu Republik Indonesia disertai oleh Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL), Polis Republik Indonesia (POLRI), Kementerian Kelautan dan Perikanan (KKP), Kesatuan Penjagaan Laut dan Pantai (KPLP), Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (DJBC) serta Direktorat Jenderal Imigrasi (IMIGRASI).

Untuk rekod pelaksanaan PATKOR OPTIMA pada tahun lalu telah mencatatkan sebanyak 85 tangkapan di negara ini melibatkan pelbagai kesalahan, manakala di Republik Indonesia pula merekodkan sebanyak 176 pemeriksaan di laut.

 

PATKOR OPTIMA OP 4   PATKOR OPTIMA OP 3
     
PATKOR OPTIMA OP 2   PATKOR OPTIMA OP

 

 

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON