MIRI, 31 MEI – Zon Maritim Miri menahan sebuah kapal tangki pada kedudukan 3.26 batu nautika Barat Laut Kuala Baram kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan gagal mengemukakan dokumen pertukaran nakhoda ketika pemeriksaan.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, kapal tangki terbabit ditahan pada jam 1.00 tengah hari tadi semasa pasukan bot ronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan OP PERMAI 01/2019 dan OP TIRIS3.0 di perairan Miri.
Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati, kapal tangki itu dikendalikan oleh dua kru warga tempatan serta seorang kru warga India.
Kesemua kru bersama kapal diiring ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Miri untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia akan terus komited dalam menguatkuasakan undang–undang di perairan negara dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pesalah yang ingkar.
Sebarang aduan dan kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 / Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak 082-432544/ 082-432016 untuk maklum balas segera.










