PULAU PINANG, 4 JUN – Malaysia dan Republik Indonesia melalui agensi penguatkuasaan negara masing-masing sekali lagi bergabung melaksanakan Patrol Terkoordinasi Operasi Tindakan Maritim (PATKOR OPTIMA) yang diadakan bermula pada 4 Jun hingga 13 Jun depan.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM) Maritim Malaysia yang juga Ketua Tim Perancang Operasi Maritim (TPOM) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, operasi bersepadu yang memasuki siri ke-31 ini merupakan operasi dwi-tahunan yang diadakan secara kolaborasi dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan di Selat Melaka yang merupakan laluan utama industri perkapalan dunia.
Kerjasama serta kefahaman penguatkuasaan undang-undang di antara penguat kuasa dari kedua-dua negara amat penting demi memastikan Malaysia dan Republik Indonesia sentiasa bekerjasama dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan.
“Salah laku jenayah seperti penyeludupan migran, penyeludupan dadah dan kontraban serta isu pencerobohan bot nelayan merupakan kegiatan jenayah yang lazim berlaku di Selat Melaka,
"Justeru koordinasi operasi menerusi PATKOR OPTIMA ini amat diperlukan agar kesejahteraan perairan kedua-dua negara sentiasa berada dalam keadaan yang tenteram dan selamat,” kata Mohd Zawawi.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan dan merasmikan PATKOR OPTIMA 31A/2024 secara bersama dengan Direktur Operasi Laut Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) merangkap TPOM PATKOR OPTIMA Republik Indonesia, Laksamana Pertama BAKAMLA Basri Mustari dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Zawawi menyatakan PATKOR OPTIMA penting dalam meningkatkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat awam terutamanya komuniti maritim serta komuniti perdagangan perkapalan bahawa perairan Selat Melaka sentiasa dalam keadaan selamat dan aman.
Selain Maritim Malaysia, PATKOR OPTIMA 31A/2024 turut melibatkan agensi lain seperti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Laut Malaysia (JLM) , Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Sementara itu Republik Indonesia disertai oleh Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL), Polis Republik Indonesia (POLRI), Kementerian Kelautan dan Perikanan (KKP), Kesatuan Penjagaan Laut dan Pantai (KPLP), Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (DJBC) serta Direktorat Jenderal Imigrasi (IMIGRASI).
Untuk rekod pelaksanaan PATKOR OPTIMA pada tahun lalu telah mencatatkan sebanyak 85 tangkapan di negara ini melibatkan pelbagai kesalahan, manakala di Republik Indonesia pula merekodkan sebanyak 176 pemeriksaan di laut.













