SANDAKAN, 6 JUN – Sejumlah 800 liter disyaki minyak petrol yang diisi di dalam 32 tong dirampas Zon Maritim Sandakan ketika aksi kejar buru antara pihak Maritim Malaysia dan sebuah bot pancung disyaki penyeludup dekat sini, petang semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam operasi pada jam 5.00 petang telah mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan bergerak menuju ke perairan Tanjung Batu, Sandakan.
Maritim Malaysia mengarahkan bot suspek berhenti dengan menggunakan pembesar suara dan siren untuk pemeriksaan.
Setelah menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, bot itu berpatah balik dan memecut laju menuju ke pantai berhampiran Tanah Merah Sandakan dalam usaha meloloskan diri daripada dikejar.
Dua suspek yang berada di dalam bot berjaya meloloskan diri dan meninggalkan bot pancung itu.
Bot yang tidak mempunyai nombor pendaftaran dengan menggunakan enjin sangkut 75 kuasa kuda itu ditahan pada jam 5.30 petang di kedudukan 0.3 batu nautika barat Kampung Tanah Merah, Sandakan.
Kesemua rampasan diiring ke Jeti Zon Maritim Sandakan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Sandakan.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Siasatan lanjut akan dibuat bagi mengesan dalang, pemilik bot serta si pelaku di sebalik kegiatan yang disyaki sebagai penyeludupan ini.










