13
Sat, Jun

OP HURRICANE BERSEPADU ERAT KERJASAMA AGENSI SAHABAT

PELABUHAN KLANG, 28 JULAI – Kerjasama erat di antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor dengan Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Selangor terus diperkukuhkan lagi dengan pelaksanaan OP HURRICANE BERSEPADU selama dua hari di perairan Kuala Langat bermula 25 Julai lalu.

Tujuan operasi ini diadakan adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti nelayan terhadap pematuhan undang-undang dan hal ehwal pelesenan seperti yang termaktub dalam Akta Perikanan 1985.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh, dalam operasi ini Maritim Malaysia telah merampas beberapa unit Ambai yang disyaki tidak memiliki lesen dan akan disiasat dibawah Seksyen 11 (3) (b) Akta Perikanan 1985 iaitu di bawah kawalannya atau milikannya peralatan menangkap ikan tanpa lesen.

Dalam operasi ini juga, beberapa set belat haram yang dipasang di sepanjang perairan Kuala Langat turut ditemukan dan disita.

Kesalahan ini adalah di bawah Seksyen 11 (3) (c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang peralatan menangkap ikan (Belat) tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Pelaksanaan OP HURRICANE BERSEPADU dilihat mampu menjadi platform terbaik dalam perkongsian maklumat dan kepakaran merentasi agensi dan jabatan yang menguatkuasakan Undang-undang Maritim.

Pelaksanaan operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kelestarian sumber perikanan negara dan keselamatan dalam sektor perikanan akan tetap terpelihara.

Majlis penutup OP HURRICANE BERSEPADU ini telah disempurnakan oleh Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Puan Noraisyah binti Abu Bakar bertempat di Jeti Pangkalan Nelayan Klanang, Kuala Langat.

Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan serta aktiviti jenayah di laut orang ramai boleh menyalurkannya ke talian 24 jam NG999 atau pusat operasi Maritim Malaysia untuk maklum balas segera.

 

OP HURRICANE DOF
 
OP HURRICANE DOF 4
 
OP HURRICANE DOF 6
 
OP HURRICANE DOF 2

CUBAAN SELUDUP KELUAR 2,400 KILOGRAM IKAN BILIS KERING DI SANDAKAN GAGAL

SANDAKAN, 27 JULAI – 2,400 kilogram ikan bilis kering dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan di perairan Sandakan, Khamis lalu.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam OP PLUTO TIMUR / OP KHAS CEGAH PATI (OCP) UTARA COVID 19 DAN OP TIRIS 3.0 telah mengesan sebuah vesel dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 1.5 batu nautika utara Pulau Berhala pada pukul 9.40 pagi hari tersebut.

Setelah pemeriksaan dilakukan, vesel dengan enjin sangkut 40 dan 30 kuasa kuda itu didaftarkan atas lesen perikanan manakala tekong lelaki berumur 57 tahun adalah pemegang kad pengenalan pemastautin tetap (MyPR).

Pemeriksaan lanjut ke dalam vesel seterusnya menemui 30 guni berisi ikan bilis kering dengan anggaran berat 2,400 kilogram dipercayai untuk diseludup keluar ke Pulau Taganak, Filipina.

Nilai rampasan termasuk barang kawalan, enjin sangkut dan vesel dianggarkan berjumlah lebih RM29 ribu.

Kesemua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana cubaan menyeludup keluar ikan bilis tanpa kebenaran dan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana melanggar syarat sah lesen.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau salah laku di perairan negara, boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau hubungi talian kecemasan NG999 untuk tindakan segera.

 

IKAN BILIS SDKN
 
IKAN BILIS SDKN 2
 
IKAN BILIS SDKN 4

TIGA BOT DITAHAN, PINDAH MINYAK TANPA KEBENARAN DAN BAWA BARANG KAWALAN TANPA PERMIT

TAWAU, 26 JULAI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya menahan dua buah bot tempatan kerana melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran dan membawa muatan barang kawalan tanpa permit dalam dua tangkapan berasingan semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan bin Raman berkata, terdahulu kapal peronda Maritim Malaysia yang menjalankan OP SEJAHTERA 1/2022 dan OP TIRIS 3.0 telah menerima maklumat dari unit risikan mengenai sebuah bot kargo yang membawa muatan barang kawalan keluar dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Pulau Sebatik kira-kira pukul 2.30 petang.

Pemeriksaan ke atas bot yang ditahan di kedudukan 0.35 batu nautika barat daya Jeti CIQ Tawau itu mendapati dua lelaki warga tempatan berumur 26 dan 30 tahun mengendalikan bot tersebut.

Pemeriksaan dokumentasi selanjutnya mendapati bot terbabit telah melakukan kesalahan kerana gagal mempamerkan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa.

Pada pukul 5.40 petang hari yang sama, berdasarkan maklumat unit risikan,

sebuah lagi bot tunda bersama sebuah bot kargo tempatan turut ditahan dan diperiksa oleh bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan operasi yang sama di lokasi 0.25 batu nautika selatan Muara Sungai Bombalai.

Pemeriksaan ke atas kedua-dua bot tersebut mendapati kedua-dua kapal sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel ‘ship to ship transfer’.

Pemeriksaan dokumentasi ke atas kru kedua-dua kapal yang terdiri dari seorang warga tempatan dan lima pemegang pasport warga Indonesia kesemuanya lelaki berumur di antara 34 hingga 44 mendapati kedua-dua kapal tersebut telah menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel tanpa sebarang permit kebenaran.

Selain itu juga seorang kru bot terbabit juga didapati tidak memiliki permit kerja yang sah semasa berada di bot tersebut.

Ketiga-tiga bot bersama muatan serta kesemua kru bot telah ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kemajuan Petroleum 1974, Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.

Kesemua barangan termasuk ketiga-tiga bot dan muatan disita sehingga proses siasatan selesai membabitkan nilai rampasan keseluruhan lebih RM3.16 juta.

Shahrizan turut menegaskan kepada komuniti maritim setempat untuk sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. Pihaknya tidak akan berkompromi jika didapati gagal mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan.

Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 dan talian kecemasan NG999.

 

PINDAH MYK
 
PINDAH MYK 3
 
PINDAH MYK 4

OP CARILAMAT | NELAYAN JATUH LAUT DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA

LUMUT, 27 JULAI – Maritim Negeri Perak telah menerima maklumat mengenai seorang nelayan dipercayai telah jatuh laut daripada sebuah bot nelayan tempatan kerana keadaan laut yang bergelora ketika sedang dalam perjalanan memasuki jeti pada jarak dua batu nautika dari muara Sungai Burung, Perak Khamis lalu.

Sejurus Pusat Operasi Maritim Negeri Perak menerima aduan terbabit, KM MALAWALI telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi mengesan mangsa namun tidak ditemui.

Operasi CARILAMAT telah diaktifkan dengan penglibatan aset daripada Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta komuniti nelayan setempat.

Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) juga telah ditubuhkan di jeti nelayan Sungai Burung, Perak bagi mengkoordinasikan Operasi CARILAMAT tersebut.

Sekitar pukul 9.00 pagi semalam, PHC telah dimaklumkan dengan penemuan mangsa oleh komuniti nelayan setempat pada jarak 1.5 batu nautika barat muara Sungai Burung, Perak.

Mangsa, Heng Swee Pau, 46 telah ditemukan meninggal dunia dan dibawa ke jeti nelayan Sungai Burung, Perak bagi pengecaman oleh waris seterusnya dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk tindakan selanjutnya.

Maritim Malaysia mengingatkan kepada komuniti maritim untuk mematuhi peraturan serta menjaga keselamatan diri apabila turun ke laut khususnya ketika cuaca dan keadaan laut yang tidak menentu ini.

Komuniti maritim juga disarankan untuk memastikan segala keperluan peralatan keselamatan terutama jaket keselamatan berada dalam keadaan baik ketika melakukan aktiviti menangkap ikan sebagai langkah awal menyelamatkan diri dari kecelakaan di laut sementara menanti pasukan penyelamat tiba.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau talian kecemasan NG999 untuk maklum balas segera.

 

LUMUT MATI 2
 
LUMUT MATI 3

 

CEROBOH KAWASAN NELAYAN PANTAI, VESEL TEMPATAN KELAS C DITAHAN

KUALA PERLIS, 26 JULAI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis telah berjaya menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C kerana menangkap ikan kurang dari jarak yang dibenarkan iaitu di kedudukan 2.08 batu nautika dari barat Kuala Tunjang, Ayer Hitam, Kedah malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain berkata, bot ronda Maritim Malaysia tiba di lokasi tangkapan ketika pihaknya sedang melakukan rondaan Op AMAN di sekitar perairan Perlis malam tadi.

Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit berpengkalan di Kuala Kedah dan dikemudikan oleh seorang tekong dan tiga orang awak - awak warga tempatan berumur antara 31 hingga 52 tahun.

Hasil tangkapan dianggarkan bernilai lebih RM20 ribu itu dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (b) iaitu mana-mana orang yang mengusahakan apa-apa aktiviti penangkapan ikan, mengendali, atau membenar dikendalikan, di perairan perikanan Malaysia apa-apa vesel penangkapan ikan tempatan bagi maksud menangkap ikan dengan melanggar syarat dalam lesen iaitu menangkap ikan kurang dari 12 batu nautika dari pantai.

Maritim Malaysia juga meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian kecemasan NG999.

 

KDH PLS VESEL 2
 
KDH PLS VESEL 4
 
KDH PLS VESEL 5
 
KDH PLS VESEL 6

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON