DUNGUN, 28 OGOS – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan seorang nelayan hilang setelah keluar menangkap ikan di perairan Dungun ditamatkan setelah mangsa berjaya ditemukan dalam keadaan selamat.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata mangsa ditemui oleh sekumpulan bot nelayan tempatan di kedudukan sekitar 27 batu nautika tenggara dari muara Kuala Dungun pada sekitar jam 11 pagi tadi.
Bot mangsa dikatakan mengalami kerosakan sebelum hanyut dibawa arus pada petang semalam.
Namun, mangsa menambat botnya di sebuah unjang buatan bagi mengelakkannya hanyut.
Operasi CARILAMAT diaktifkan pada jam 7 petang semalam sejurus maklumat diterima dengan membabitkan sebuah bot ronda Maritim Malaysia.
Usaha pencarian turut dibantu oleh enam bot milik penduduk tempatan.
Bot mangsa yang terselamat ditunda ke Pangkalan Nelayan Kampung Raja, Tanjung Sura, Dungun.
Maritim Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua agensi sahabat serta orang awam yang turut sama membantu dalam usaha pencarian ini.











