13
Sat, Jun

NELAYAN HILANG DITEMUKAN LEMAS

TANJUNG PIANDANG, 16 SEPTEMBER – Mayat nelayan hilang telah dijumpai oleh komuniti nelayan yang turut bersama dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang disambung pada jam 7.00 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman berkata, mangsa hilang Mohamad Akhmal bin Yusuf, 23 ditemukan pada jam 12.30 tengahari kira-kira 7.4 batu nautika barat daya Ban Pecah.

Terdahulu, seorang nelayan telah dilaporkan hilang pada 15 September di perairan Tanjung Piandang dan OP CARILAMAT telah diaktifkan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi dibantu oleh pelbagai agensi sahabat.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada semua agensi terlibat iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan orang awam dalam memberikan bantuan dalam OP CARILAMAT ini.

Maritim Malaysia menasihati orang ramai terutamanya nelayan pantai supaya cakna dengan perubahan cuaca dan mengutamakan keselamatan ketika berada di laut.

Zon Maritim Kuala Kurau menyeru kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di daerah Kerian dan Larut Matang Selama untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang kejadian kecemasan di laut ke talian 05-7279919 (Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau) atau NG 999 untuk tindakan lanjut.

 

ZMKK LEMAS

OPERASI CARILAMAT NELAYAN HILANG DI LAUT MASUK HARI KEDUA

KUALA KURAU, 16 SEPTEMBER – Seorang nelayan didapati hilang selepas dipercayai lemas ketika cuba menyelamatkan rakannya yang jatuh laut di kedudukan lapan batu nautika dari darat berhampiran perairan Tanjung Piandang sekitar pukul 5.50 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata, pihaknya telah menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengenai satu panggilan kecemasan pada pukul 7.30 pagi oleh tekong bot mengenai kejadian itu.

Sejurus menerima aduan, Maritim Malaysia telah mengatur gerak sebuah aset ke lokasi untuk melaksanakan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).

Namun, pencarian mangsa telah ditangguhkan pada pukul 7.00 petang semalam akibat cuaca yang semakin gelap.

Terdahulu mangsa, Mohamad Akhmal bin Mohd Yusuf, 23 tahun didapati hilang ketika cuba menyelamatkan rakannya yang jatuh laut semalam.

Memasuki hari kedua, Operasi CARILAMAT hari ini turut melibatkan pasukan sahabat iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Daerah Kerian, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta komuniti nelayan Sungai Betul.

Mengulas lanjut, Akhmal memaklumkan sektor pencarian hari kedua juga telah diperluaskan dari 16 batu nautika kepada 73 batu nautika persegi.

Beliau juga memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di daerah Kerian dan Larut Matang untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia dalam misi pencarian mangsa tersebut.

Jika terdapat maklumat atau terlihat sebarang kejadian mencurigakan di laut, orang ramai boleh melaporkannya ke talian 05-7277481 (Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau) atau talian kecemasan NG999 untuk maklum balas segera.

 

CARILAMAT ZMKK 2
 
CARILAMAT ZMKK 3
 
CARILAMAT ZMKK 4

LAGI CUBAAN SELUDUP PATI, TEKONG BOT NEKAD TERJUN LAUT SELEPAS LANGGAR BOT RONDA MARITIM MALAYSIA

KUALA LANGAT, 11 SEPTEMBER – Maritim Negeri Selangor menahan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran kerana cuba menyeludup keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) di kedudukan 0.2 batu nautika barat daya Pantai Tanjung Rhu, Kuala Langat pada sekitar jam 1.50 pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, hasil maklumat daripada Area Control Centre (ACC) Klang terdapat satu sasaran mencurigakan telah dikesan bergerak laju di perairan Kuala Langat.

Hasil maklumat itu, bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam OP EHSAN dan OP TIRIS 3.0 telah diatur gerak ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

Setiba di lokasi, pasukan operasi menemukan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran memecut laju dalam keadaan mencurigakan di Perairan Tanjung Rhu dan berlaku adegan kejar buru di antara bot suspek dan aset Maritim Malaysia selama 35 minit.

Dalam cubaan bot suspek meloloskan diri, tekong dengan sengaja melanggar bahagian sebelah kanan bot ronda Maritim Malaysia sehingga menyebabkan kerosakan pada badan bot dan palang penghadang enjin, sebelum tekong terjun ke laut bersama beberapa PATI lain dan berenang ke kawasan cetek hutan paya bakau berdekatan.

Dengan kecekapan anggota Maritim Malaysia, bot suspek berjaya dihentikan dan hasil pemeriksaan mendapati, terdapat dua PATI wanita masing-masing berusia 28 dan 45 tahun tanpa dokumen pengenalan diri berada di atas bot.

Hasil soal siasat ke atas kedua-dua PATI di lokasi kejadian, kira-kira lebih 20 penumpang yang menggunakan perkhidmatan bot terbabit untuk pulang ke negara jiran telah melarikan diri dengan terjun ke laut sebelum insiden pelanggaran berlaku.

Bot fiber serta dua suspek terbabit telah ditahan kemudian dibawa ke Jeti Maritim NegeriSelangor, Pelabuhan Klang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

Kesemua suspek disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Maritim Malaysia akan sentiasa memantau pencerobohan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia (ZMM) bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan NG999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 untuk maklum balas segera.

 

 

PATI SEL LG
 
PATI SEL LG 3

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN SELUDUP KELUAR 800 KILOGRAM IKAN BILIS KERING DI SANDAKAN

SANDAKAN, 12 SEPTEMBER – Sebanyak 800 kilogram ikan bilis kering dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan baru-baru ini.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam OP PLUTO TIMUR / OP KHAS CEGAH PATI (OCP) UTARA COVID 19 DAN OP TIRIS 3.0 telah mengesan sebuah vesel dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 5.2 batu nautika timur laut Tanjung Pamaguan sedang menuju ke Pulau Taganak pada sekitar jam 1.25 petang hari kejadian.

Setelah pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong dan seorang awak-awak masing-masing berumur 35 dan 56 tahun yang mana kedua-duanya merupakan warga asing.

Pemeriksaan lanjut ke dalam vesel seterusnya menemui 13 guni berisi ikan bilis kering dengan anggaran berat 800 kilogram dipercayai untuk diseludup keluar ke Pulau Taganak, Filipina.

Nilai rampasan termasuk ikan bilis kering, enjin sangkut dan vesel dianggarkan berjumlah lebih RM48 ribu.

Kesemua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Kes disiasat di bawah Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia kerana membawa keluar ikan bilis kering untuk tujuan eksport tanpa lesen yang sah, kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau salah laku di perairan negara, boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau hubungi talian kecemasan NG999 untuk tindakan segera.

 

IKAN BILIS SDKN 2
 
IKAN BILIS SDKN 3

TEKONG BAWA 34 PATI DITAHAN, CUBA SELUDUP KELUAR MIGRAN DI SELANGOR

PELABUHAN KLANG, 10 SEPTEMBER – Maritim Negeri Selangor menahan 35 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia termasuk tekong yang cuba keluar secara haram di kedudukan 6.9 batu nautika barat daya Pantai Sekinchan, sekitar pukul 12.12 pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor telah menerima maklumat daripada komuniti maritim bahawa terdapat sebuah bot nelayan asing sedang bergerak keluar dari perairan Sekinchan dalam keadaan mencurigakan.

Berdasarkan maklumat itu, bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi untuk mengesan vesel tersebut.

Setiba di lokasi, pasukan operasi mendapati terdapat sebuah bot nelayan Indonesia tanpa nombor pendaftaran sedang bergerak dalam keadaan gelap lantas menahannya setelah 10 minit diekori.

Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit dikendalikan oleh tekong warga Indonesia berumur 35 tahun dan terdapat 30 penumpang lelaki dan empat penumpang wanita berumur dalam lingkungan 18 hingga 50 tahun sedang duduk berhimpit di bawah dek bot tersebut tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Bot bersama kesemua PATI ditahan sebelum dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM 2007) dan juga Akta Imigresen 1959/63.

Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan pengawasan dan sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau kecemasan NG999 untuk maklum balas segera.

 

PATI SEL
 
PATI SEL 3
 
PATI SEL 4

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON