KOTA KINABALU, 19 OGOS – Akibat tidak mengikut peraturan yang ditetapkan, sebuah bot telah ditahan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan kerana membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan di sini baru-baru ini.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik berkata, Bot Peronda Maritim Malaysia KILAT 39 yang sedang melaksanakan rondaan dan operasi OP PREVENTIVE SAR telah mengesan dan menahan bot penumpang tersebut di Perairan Kota Kinabalu iaitu pada jarak lebih kurang 0.56 Batu Nautika Selatan Pulau Mamutik, Sabah.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati selain nombor pendaftaran pada badan bot tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan, nombor siri enjin juga tidak sama seperti yang tercatat dalam lesen.
Bot bersama juragan seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sepanggar untuk siasatan lanjut. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah hampir RM80 ribu.
Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat berkenaan salah laku atau aktiviti jenayah di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan NG 999 yang beroperasi 24 jam.










