13
Sat, Jun

OP CARILAMAT DITAMATKAN, KEBAKARAN DAPAT DIKAWAL, KESEMUA KRU SELAMAT

KOTA TINGGI, 22 JULAI – Operasi Mencari dan Menyelamat (Op CARILAMAT) kes perlanggaran kapal tangki MT HAFNIA NILE dan kapal tangki MT CERES I telah ditamatkan pada pukul 1.00 petang tadi.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri bin Kamil berkata, hasil pemantauan pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mendapati kebakaran pada kedua-dua kapal tangki terbabit telah dapat dikawal dan dipadam sepenuhnya.

Beliau turut memaklumkan kesemua 22 kru kapal tangki MT HAFNIA NILE serta 14 orang kru kapal tangki MT CERES I berada dalam keadaan selamat dan stabil di Singapura.

Manakala baki 26 orang kru kapal tangki MT CERES I disahkan selamat berada di atas kapal MT CERES I berdasarkan laporan daripada nakhoda kapal terbabit.

“Untuk tindakan lanjut, kedua-dua kapal tangki terbabit akan ditunda ke lokasi yang selamat bagi membolehkan siasatan lanjut dan punca kejadian disiasat oleh pihak Jabatan Laut Wilayah Selatan (JLWS).

“Pengurusan kawalan tumpahan minyak yang dilaporkan juga akan dikoordinasikan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS)”, tambah beliau lagi.

MRSC Johor Bahru bertanggungjawab mengkoordinasikan operasi mencari dan menyelamat di perairan Johor timur yang seluas 10,445 kilometer persegi dengan panjang pantai sejauh 254 km.

Pihak MRSC Johor Bahru juga merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak dan agensi yang terlibat di dalam Op CARILAMAT ini yang berlaku di perairan Malaysia sejak 19 Julai lalu.

 

CARILAMAT TAMAT

CEROBOH PERAIRAN MALAYSIA, ENAM WARGA THAILAND DITAHAN

KUALA PERLIS, 22 JULAI –  Zon Maritim Kuala Perlis menahan tiga vesel nelayan asing (VNA) tanpa nombor pendaftaran di tiga lokasi berasingan iaitu di kedudukan 5.7 hingga 6.3 batu nautika dari tenggara Pulau Tanjung Dendang Langkawi, Kedah semalam.

Pengarahnya, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain berkata, bot ronda Zon Maritim Kuala Perli yang sedang melakukan rondaan OP AMAN di sekitar perairan Perlis telah menghampiri beberapa buah bot fiber dan mendapati bot-bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan mendapati, ketiga-tiga bot terbabit yang berpengkalan di negara jiran masih menggunakan alasan yang sama iaitu mempunyai saudara mara di sempadan menyebabkan mereka bebas untuk memasuki dan keluar dari negara.

Ketika ditahan mereka disyaki sedang melakukan aktiviti memukat ketam dan masing-masing dikemudikan tiga tekong dan tiga orang awak-awak warga Thailand berumur 20 hingga 48 tahun.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 15 (1) (a) iaitu menangkap ikan dan sebagainya oleh vesel penangkapan ikan asing di perairan perikanan Malaysia tertakluk kepada subseksyen (2) iaitu menangkap ikan atau cuba menangkap ikan dan Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 (1) (c) iaitu tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.

Dalam kejadian berasingan, Zon Maritim Kuala Perlis turut menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) tanpa nombor pendaftaran di kedudukan 0.17 batu nautika dari barat daya kuala Sungai Baru, Perlis, kelmarin.

Hasil pemeriksaan mendapati, seorang tekong warga tempatan berusia 63 tahun sedang melakukan aktiviti menangguk kerang cuba melarikan diri namun kerosakan pada enjin bot fiber menyebabkan beliau menyerahkan diri.

Aktiviti ini dikesan melalui aduan yang dilakukan oleh orang awam ketika sedang memancing berdekatan lokasi kejadian.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 ,Seksyen 11 (3) (c) iaitu memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah sebelum sesuatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan dan Seksyen 8 (a) iaitu menangguk kerang tanpa lesen yang sah serta Peraturan 4 (1) Peraturan-peraturan Perikanan (Pemuliharan dan Kultur Kerang 2002) iaitu larangan mengambil benih kerang dan kerang dewasa.

Jelas beliau lagi, kesemua hasil tangkapan yang dianggarkan lebih RM40 ribu bersama-sama tujuh suspek diiringi ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian kecemasan NG999.

 

THAILAND CEROBOH 5
 
THAILAND CEROBOH 2
 
THAILAND CEROBOH 4
 
THAILAND CEROBOH 3

‘RUNNER MINYAK’ DITAHAN MARITIM MALAYSIA

TAWAU, 19 JULAI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot penumpang tempatan disyaki 'runner minyak' yang membawa muatan bahan api tanpa sebarang permit dalam kejadian tengah hari semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan bin Raman berkata, terdahulu bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan OP PLUTO TIMUR dan OP TIRIS telah berjaya mengesan sebuah bot penumpang dalam keadaan mencurigakan bergerak laju dari Perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik pada pukul 12.15 tengah hari.

Pemeriksaan ke atas bot penumpang yang dikendali oleh seorang remaja lelaki tempatan berumur 21 tahun itu mendapati terdapat enam gelen bahan api jenis petrol dan diesel anggaran 160 liter dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang permit kebenaran.

Bot serta muatan tersebut dirampas seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen JPDS 2002.

Kesemua barangan termasuk bot penumpang, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM25 ribu.

Modus operandi yang digunakan oleh 'runner minyak' dengan membawa bahan api tersebut dalam kuantiti yang kecil secara berulang perlu dibanteras bagi mengelakkan sindiket penyeludupan membawa barang-barang kawalan tersebut ke negara jiran.

Penguatkuasaaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau.

Maritim Malaysia memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan. Aset-aset ronda Maritim Malaysia akan sentiasa bersiap sedia diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi.

Sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan NG999.

 

RUNNER MINYAK 2

BOT NELAYAN KELAS C TANGKAP IKAN DI ZON LARANGAN DITAHAN

LUMUT, 20 JULAI – Sebuah bot nelayan tempatan kelas C ditahan Maritim Negeri Perak atas pelbagai kesalahan di kedudukan 6.2 batu nautika barat daya Sungai Tiang, Perak kira-kira pukul 9.59 pagi, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, bot terbabit dikesan ketika sedang leka melakukan aktiviti perikanan oleh KM MALAWALI yang diketuai oleh Leftenan Komander Maritim Nurul Hanin binti Mohd Isa ketika sedang melakukan rondaan di sekitar perairan negeri Perak.

Hasil pemeriksaan mendapati, bot berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong serta tiga kru warga Myanmar dalam lingkungan umur 29 hingga 46 tahun.

Pemeriksaan lanjut mendapati, seorang kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, melanggar syarat lesen iaitu bot beroperasi kurang dari 15 batu nautika dari daratan dan tiada surat kelulusan penggunaan peralatan komunikasi.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah, Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi kurang dari 15 batu nautika dari daratan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana tidak mempunyai kelulusan penggunaaan radar dan peranti komunikasi.

Kesemua suspek ditahan manakala bot serta hasil tangkapan, peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Aktiviti perikanan kurang 15 batu nautika dari pantai oleh bot kelas C boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta menganggu mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan tersebut.

Maritim Malaysia menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang telah diwartakan kerajaan dan tidak akan berkompromi mengenakan tindakan ke atas pesalah yang melakukan aktiviti menyalahi undang-undang.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau talian kecemasan NG999 untuk maklum balas segera.

 

LUMUT LARANGAN 2
 
LUMUT LARANGAN 3
 
LUMUT LARANGAN 4
 
LUMUT LARANGAN 6

MARITIM MALAYSIA AKTIFKAN CARILAMAT INSIDEN PELANGGARAN MT HAFNIA NILE DAN MT CERES 1

TANGJUNG SEDILI, 19 JULAI – Maritim Negeri Johor menggerakkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi insiden perlanggaran kapal MT HAFNIA NILE dengan MT CERES 1 di 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Balau pada pukul 6.55 pagi hari ini.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim berkata, berikutan insiden tersebut, Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) telah ditubuhkan di jeti Zon Maritim Tanjung Sedili bagi mengkoordinasikan pencarian.

Tambah Datuk Saiful, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) telah mengatur gerak Kapal Maritim (KM) Niah, Bot PERKASA 29 bot PETIR 12 dari Maritim Malaysia, KD GEMPITA dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bot ronda PA 9 dari Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 ke lokasi kejadian untuk tindakan CARILAMAT kedua-dua kapal tersebut.

Jelas beliau lagi, aset Maritim Malaysia, bot PERKASA 29 telah tiba di lokasi insiden pada pukul 9.50 pagi dan menemui kedua-dua kapal tersebut.

Sementara itu Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut dimaklumkan berkenaan insiden tersebut bagi tindakan lanjut sekiranya berlaku tumpahan minyak.

Maritim Malaysia juga mengarahkan pegawai dan anggota yang bertugas di Abu Bakar Maritime Base (ABMB) untuk melaksanakan pemantauan di sekitar kawasan berhampiran.

Datuk Saiful dalam pada itu memaklumkan, satu sidang media dijangka bakal diadakan di Tanjung Sedili, esok.

 

WhatsApp Image 2024 07 19 at 2.35.36 PM
 
WhatsApp Image 2024 07 19 at 2.35.40 PM
 
WhatsApp Image 2024 07 19 at 2.35.40 PM 1

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON