LABUAN, 20 OGOS – Seorang nelayan yang dilaporkan hilang pada Isnin lalu telah selamat ditemukan kira-kira pukul 4.18 petang tadi.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi bin Haji Idros berkata, mangsa dikenali sebagai Ramlee bin Mahroff, 46 tahun telah keluar memancing seawal pukul 6.00 pagi sebelum dilaporkan hilang oleh ahli keluarga beliau.
Tambah beliau, mangsa telah ditemui berapung menggunakan beberapa tong petrol kosong di perairan Pulau Tiga oleh Bot Peronda KILAT 23 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan dalam OP CARILAMAT yang telah diaktifkan bagi mengesan mangsa.
Mangsa seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Labuan untuk diberikan rawatan selanjutnya oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Maritim Malaysia selaku agensi utama yang mengkoordinasikan OP CARILAMAT berkenaan mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada agensi sahabat seperti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Asian Supply Base (ASB) serta komuniti nelayan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam usaha pencarian mangsa di laut.
Berikutan penemuan mangsa, OP CARILAMAT telah ditamatkan pada pukul 5.45 petang hari yang sama.










