10
Wed, Jun

MARITIM NEGERI KELATAN GAGALKAN CUBAAN SELUDUP LEBIH 21 JUTA BATANG ROKOK PUTIH KE PERAIRAN NEGARA

PASIR PUTEH, 7 JANUARI – Maritim Negeri Kelantan membuka tirai tahun baharu 2025 dengan kejayaan menggagalkan cubaan sebuah Vesel Nelayan Asing (VNA) menyeludup masuk rokok putih tidak bercukai ke perairan negara pada 4 Januari lalu.

Tangkapan dilakukan di posisi kira-kira 17 batu nautika dari Pengkalan Kubor dalam satu operasi penguatkuasaan yang berjaya merampas lebih 21 juta batang rokok putih bernilai kira-kira RM1.7 juta dengan anggaran cukai bernilai RM13.8 juta.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah bin Soahdi berkata, tangkapan dilakukan oleh sebuah bot peronda agensi yang sedang menjalankan rondaan di perairan sempadan Malaysia-Thailand dalam OP NAGA BARAT, OP DAMAI dan OP TIRIS yang diatur gerak sejurus mendapat maklumat risikan.

Ketika dikesan sekitar pukul 1.30 petang, vesel tersebut didapati sedang bergerak dalam keadaan yang mencurigakan, selain tidak mempunyai sebarang nombor pendaftaran yang tertera pada badan vesel tersebut.

Menyedari kehadiran bot penguat kuasa, vesel berkenaan bertindak melarikan diri dengan menuju ke perairan Thailand. Namun, tindakan pantas anggota penguat kuasa melaksanakan force boarding berjaya menghentikan dan menahan vesel tersebut kira-kira 15 minit kemudian.

Hasil pemeriksaan mendapati, vesel tersebut membawa tujuh orang kru warganegara Thailand berusia antara 21 hingga 47 tahun. Lima kru memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan, manakala dua lagi tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Saringan awal air kencing juga mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis Metaphetamine.

Pemeriksaan lanjut mendapati VNA itu telah diubah suai menjadi bot kargo yang membawa 2,105 buah peti berisi rokok putih tidak bercukai disyaki untuk diseludup masuk ke Malaysia.

Vesel bersama muatan rokok serta kru kemudiannya ditahan dan diiringi ke jeti Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut.

Nilai keseluruhan tangkapan, termasuk vesel yang diubah suai dianggarkan kira-kira RM16.5 juta.

Kes akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63, Akta Perikanan 1985 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Bagi empat kru yang didapati positif dadah pula akan turut disiasat dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Maritim Malaysia, khususnya Maritim Negeri Kelantan akan terus komited mempertingkatkan rondaan dan pengawasan di perairan negara dalam usaha mengekang sebarang aktiviti jenayah khasnya di perairan sempadan.

 

KELANTAN SELUDUP
 
KELANTAN SELUDUP2
 
KELANTAN SELUDUP6
 
KELANTAN SELUDUP5

 

‘RUNNER MINYAK’ DITAHAN, ZON MARITIM TAWAU REKOD 108 SIRI TANGKAPAN SEPANJANG TAHUN 2024

TAWAU, 6 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot penumpang disyaki 'runner minyak' yang membawa muatan bahan api jenis petrol tanpa sebarang permit pada malam Sabtu lalu.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan bin Raman berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan OP PLUTO TIMUR dan OP TIRIS telah memintas sebuah bot penumpang yang bergerak laju dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 1.7 batu nautika selatan Batu Tiga,Tawau pada pukul 9.55 malam pada hari kejadian.

Pemeriksaan ke atas bot penumpang yang dikendali oleh seorang remaja lelaki tempatan berumur 24 tahun itu mendapati, terdapat 10 gelen petrol anggaran 250 liter dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang permit kebenaran.

Bot bersama juragan serta muatan tersebut seterusnya diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen JPDS 2002.

Shahrizan turut berkata, Zon Maritim Tawau juga telah melaksanakan 9,187 pemeriksaan vesel di laut dan merekodkan 108 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan khusus di Perairan Tawau bagi tahun 2024 dengan melibatkan jumlah nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM12.2 juta. Statistik ini juga merupakan rekod tertinggi pernah dicatatkan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Ujarnya lagi, kedudukan perairan Tawau yang berada di garisan persempadanan antara Malaysia dan Indonesia menjadi cabaran utama bagi melaksanakan penguatkuasaan.

Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan wujudnya 'runner-runner' yang menjalankan aktiviti membawa barang kawalan ini dalam kuantiti kecil namun secara berulang bagi menembusi pasaran di negara jiran, namun pihaknya akan terus mengekang sindiket penyeludupan ini bagi mengelakkan ketirisan barang kawalan.

“Tahun 2024 juga menyaksikan penurunan laporan bagi kes-kes CARILAMAT di daerah ini dengan hanya satu kes sahaja direkodkan. Ini membuktikan bahawa keberkesanan kepada kempen-kempen kesedaran keselamatan di laut yang diadakan kepada masyarakat setempat serta komuniti maritim di daerah ini,” kata beliau.

Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

Dalam pada itu Shahrizan turut meminta kerjasama orang awam terutamanya komuniti maritim bagi menyalurkan sebarang aduan salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 dan talian kecemasan 999.

 

RUNNER TAWAU2
 
RUNNER TAWAU 3

ZON MARITIM LAHAD DATU LAKSANA TINJAUAN KAWASAN TITIK PANAS BERSAMA ESSCOM

LAHAD DATU, 5 JANUARI – Satu tinjauan bersama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) telah dilaksanakan bagi mengenal pasti titik panas di kawasan perairan Felda Sahabat serta Perairan Kunak baru-baru ini.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali berkata,tinjauan bersama Ketua Staff Bahagian Operasi Laut ESSCOM, Laksamana Pertama Maritim Abd Razak bin Mohamed itu dilakukan selama dua hari itu adalah bertujuan melaksanakan pemantauan di kawasan titik panas serta menguji kesiapsiagaan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sektor operasi.

Hasil tinjauan mendapati, tiada sebarang kejadian mencurigakan dapat dikesan dan kelihatan bot-bot nelayan yang sedang melakukan aktiviti perikanan.

Untuk rekod, sebanyak 9,321 pemeriksaan vesel dilakukan sepanjang tahun 2024 dengan hampir 12,000 orang telah diperiksa dalam tempoh yang sama. Zon Maritim Lahad Datu juga telah melaksanakan sebanyak 88 taklimat keselamatan (Preventive SAR) di laut serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Zon Maritim Lahad Datu sentiasa meningkatkan kawalan dan kesiapsiagaan di laut   dan tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.

Sebarang aduan dan makluman mengenai kegiatan jenayah serta insiden kecemasan di laut, Orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim, Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi Whatsapp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

 

LD ESSCOMM2
 
LD ESSCOMM3
 
LD ESSCOMM

MARITIM NEGERI PERAK TAHAN SEBUAH VESEL PUKAT TUNDA DAN RAMPAS 36 SET BUBU NAGA DI PERAIRAN PULAU TALANG

LUMUT, 6 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak telah menahan sebuah vesel pukat tunda kelas C selepas dipercayai beroperasi di luar perairan perikanan Malaysia di lokasi 18.3 batu nautika tenggara Pulau Jarak, Perak kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, penahanan ini dilakukan berikutan maklumat dari Pusat Operasi Maritim Negeri Perak yang memaklumkan terdapat beberapa buah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang melakukan aktiviti perikanan di luar perairan perikanan Malaysia.

Sebuah aset milik Maritim Malaysia, KM JEPAK telah diatur gerak ke lokasi terbabit dan mendapati sebuah VNT sedang leka melakukan aktiviti perikanan pada jarak 3.1 batu nautika dari sempadan Malaysia-Indonesia iaitu di dalam perairan Indonesia.

Vesel tersebut telah diarahkan kembali ke perairan Malaysia sambil diiringi oleh KM JEPAK.

Hasil pemeriksaan ke atas dokumen vesel mendapati, vesel terbabit dikendalikan oleh seorang tekong dibantu oleh tiga kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 25 hingga 30 tahun.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu berada di luar perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan gagal mengemukakan kebenaran menggunakan kru warga asing serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang diperakui.

Kesemua nelayan ditahan, manakala bot dan hasil tangkapan ikan dengan anggaran 350 kilogram serta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian berasingan, sebanyak 36 set bubu naga atau bubu kamban telah dirampas di kedudukan sekitar 1.1 batu nautika dari utara Pulau Talang, Perak lebih kurang pukul 11.05 tengah malam semalam.

Mengulas lanjut berkenaan kes tersebut, Mohamad Shukri memaklumkan, rampasan tersebut dilakukan berikutan penemuan bendera dan pelampung yang mencurigakan di permukaan air oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin di lokasi tersebut.

Kesemua bubu naga dianggarkan bernilai lebih RM4 ribu tersebut dirampas dan kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Jika disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan berkenaan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai terutamanya komuniti maritim diseru agar terus berkongsi maklumat bagi sebarang pelanggaran undang-undang di laut dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk tindakan segera.

 

VESMUT
 
VESMUT3
 
VESMUT4
 
VESMUT5

PENEMUAN MAYAT DI TANJUNG ALIT AKHIRI CARILAMAT KRU TONGKANG LINAU 27 JATUH LAUT

TANJUNG MANIS, 5 JANUARI – Operasi Mencari dan Manyelamat (CARILAMAT) yang memasuki hari kelima ditamatkan susulan pengesahan mayat yang dijumpai di Tanjung Alit, Kabong petang tadi.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak anak Numpang berkata, satu penemuan mayat oleh penduduk kampung di kawasan kebun beliau telah mengakhiri penantian keluarga mangsa kru tongkang Linau 27.

Sejurus itu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk pengecaman oleh ahli keluarga mangsa.

Untuk rekod, keluasan pencarian pada hari ini merangkumi kawasan seluas 96.16 batu nautika persegi menjadikan jumlah radius pencarian dari hari pertama sehingga hari kelima adalah seluas 224.39 batu persegi.

Sebanyak lima agensi yang terlibat sepanjang operasi CARILAMAT ini iaitu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak Coast Guard (SCG), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Maritim Malaysia menzahirkan ucapan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua agensi terlibat secara langsung atau tidak langsung yang telah bertungkus lumus dalam OP CARILAMAT sepanjang lima hari ini berlangsung.

Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim, Zon Maritim Tanjung Manis di talian 011-35728765 atau di talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

 

CARILAMAT LINAU2
 
CARILAMAT LINAU 3
 
CARILAMAT LINAU 4

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON