KUALA KURAU, 18 JANUARI – Rentetan dari aduan awam berkenaan kes kecurian kerang, Zon Maritim Kuala Kurau berjaya menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) jenis pukat hanyut kerana disyaki melakukan kesalahan mencuri kerang di 2.0 batu nautika barat daya Pulau Sangga Besar, awal pagi tadi.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Kurau, Leftenan Maritim Syuhadha binti Sharip berkata, hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warganegara Malaysia sedang melakukan kerja-kerja menangguk kerang dan didapati kegiatan berkenaan dilakukan tanpa lesen mengambil kerang dan beroperasi di luar waktu yang dibenarkan.
Tambah beliau, lelaki yang baru sahaja mula menangguk kerang di kawasan tersebut mengemukakan lesen yang telah tamat tempoh dan hasil pemeriksaan mendapati 10 kilogram kerang cuba dicuri oleh lelaki terbabit.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemulihan dan Kultur kerang) 2002 iaitu lesen mengambil kerang tamat tempoh dan beroperasi di luar waktu yang ditetapkan.
Jika disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10 ribu atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Maritim Malaysia meminta agar komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.
Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau 05-7279919 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.












