PELABUHAN KLANG, 17 JANUARI – Maritim Negeri Selangor telah merampas sebanyak 50 batang kayu bakau di kedudukan lebih kurang 0.1 batu nautika barat daya jeti Pulau Ketam kira-kira pada pukul 11.30 malam semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, rampasan ini adalah daripada hasil maklumat risikan yang dijalankan di perairan Selangor.
Tambah beliau, bot maritim yang bertugas telah diatur gerak untuk melakukan tangkapan dan setibanya di lokasi bot fiber tanpa nombor pendaftaran itu cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa, manakala dua lelaki telah bertindak terjun ke laut dan berenang ke daratan untuk menyelamatkan diri.
"Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut sarat dengan muatan 50 batang kayu bakau dan kes ini akan disiasat di bawah Akta Perhutanan negara 1984 iaitu memindahkan hasil hutan tanpa lesen atau permit yang sah," ujar Muhaimin.
Bot fiber serta muatan tersebut dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
Maritim Negeri Selangor sentiasa melakukan rondaan di perairan negara bagi mengekang aktiviti haram di laut dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan aktiviti jenayah di Zon Maritim Malaysia.
Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor melalui talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.










