10
Wed, Jun

MARITIM MALAYSIA TAHAN KAPAL KARGO BERLABUH TANPA KEBENARAN

PELABUHAN KLANG, 1 JANUARI – Maritim Negeri Selangor menahan sebuah kapal kargo kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 26 batu nautika barat daya Sekinchan pada jam 1.40 petang, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, kapal itu ditahan ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan operasi bersepadu OP EHSAN dan OP TIRIS di perairan Negeri Selangor.

Penahanan ini berikutan hasil maklumat dan kerjasama dengan Jabatan Laut Malaysia Wilayah Tengah (JLMWT) serta Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang yang telah mengesan kedudukan kapal ini berlabuh di luar batas Pelabuhan Klang tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Kapal terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Singapura menuju ke India bersama 22 kru lelaki termasuk nahkoda berusia di antara 28 hingga 63 tahun kesemua mereka adalah warga China yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan, manakala dua kru kapal telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya perairan Negeri Selangor.

Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan perlu mengikut peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia.

Jika terdapat aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 yang beroperasi secara 24 jam atau talian kecemasan 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia.

 

WhatsApp Image 2024 12 31 at 8.32.47 PM
 
WhatsApp Image 2024 12 31 at 8.33.21 PM

RANGKUMAN | ZON MARITIM SANDAKAN RAMPAS RM90.32 JUTA DALAM 67 SIRI TANGKAPAN DI LAUT

SANDAKAN, 31 DISEMBER – Sebanyak 67 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan di perairan negara telah direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan bagi tahun 2024 dengan melibatkan jumlah nilai rampasan sebanyak RM90.32 juta dengan 136 orang ditahan dan 26 orang telah didakwa di mahkamah.

Menurut Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain, sebanyak 23,705 pemeriksaan vesel dilakukan dengan hampir 52,151 orang telah diperiksa dalam tempoh yang sama.

Mengulas lanjut, Suhairy berkata Maritim Malaysia komited menangani jenayah di laut dalam melaksanakan tanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang negara termasuk menyelamatkan nyawa dan harta benda di laut.

Ujarnya, Zon Maritim Sandakan turut menjalankan kempen kesedaran keselamatan di laut bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran komuniti maritim tentang keselamatan semasa menjalankan aktiviti di laut.

“Sepanjang tahun 2024, Zon Maritim Sandakan telah melaksanakan sebanyak 173 Taklimat Pencegahan CARILAMAT (Preventive SAR) iaitu 152 dilakukan oleh aset yang berada di laut dan 21 lagi melalui taklimat yang dilakukan di sekolah dan pejabat Zon Maritim Sandakan dengan penglibatan melebihi 1,500 orang peserta dari kalangan pelajar, persatuan serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan,” ujar beliau.

Tambahnya, sebanyak 57 orang dan RM3.21 juta harta benda berjaya diselamatkan sepanjang tempoh 2022 hingga 2024.

“Zon Maritim Sandakan sentiasa meningkatkan kawalan dan kesiagaan di laut bagi mengawal 9,435 km² keluasan Kawasan Tanggungjawab (KTJ) merangkumi panjang pantai 416.3 km bermula dari Pulau Jambongan sehingga ke Pulau Tambisan iaitu sepanjang perairan daerah Beluran, Sandakan dan Kinabatangan untuk memastikan perairan negara selamat dan aman kepada komuniti maritim,” jelas Suhairy.

Beliau turut mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik, membawa Personal Locator Beacon (PLB), memaklumkan destinasi dituju kepada ahli keluarga, membawa bekalan makanan secukupnya serta mengelakkan aktiviti di luar kawasan liputan telekomunikasi.

Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan dan kemalangan di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau ke talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

 

RANGKUM SANDAKAN9
 
RANGKUM SANDAKAN13
 
RANGKUM SANDAKAN12
 
RANGKUM SANDAKAN14

LAMBAKAN PEKERJA ASING TANPA DOKUMEN PENGENALAN DIRI, LIMA LAGI DITAHAN KENDALIKAN VESEL NELAYAN TEMPATAN

LUMUT, 30 DISEMBER – Maritim Negeri Perak menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C bersama lima nelayan warga asing termasuk tekong di kedudukan 11 batu nautika barat Pulau Buloh, Perak pada sekitar jam 1.45 petang semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, vesel terbabit dikesan oleh aset Maritim Malaysia ketika sedang melaksanakan rondaan rutin di sekitar lokasi terbabit.

Hasil pemeriksaan mendapati, vesel itu dikendalikan oleh seorang tekong bersama empat kru warga Myanmar dalam linkungan umur 21 hingga 41 tahun.

Pemeriksaan lanjut terhadap dokumen mendapati, vesel itu telah melanggar syarat sah lesen kerana menangkap ikan kurang dari 15 batu nautika dan menggunakan nelayan asing tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesemua kru yang ditahan tidak menunjukkan rasa bersalah walaupun gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diminta pihak berkuasa.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang diperakui.

Kesemua nelayan ditahan, manakala vesel dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi undang- undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan oleh kerajaan.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

 

 WhatsApp Image 2024 12 30 at 2.03.51 PM 1
 
WhatsApp Image 2024 12 30 at 2.26.59 PM
 
WhatsApp Image 2024 12 30 at 2.03.52 PM 3

ZON MARITIM KUALA KURAU RAMPAS 53 UNIT BUBU NAGA BERNILAI LEBIH RM6 RIBU

KUALA KURAU, 31 DISEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau telah berjaya merampas 53 unit bubu naga yang dianggarkan bernilai lebih RM6 ribu dalam satu operasi yang dijalankan di kedudukan 6.7 batu nautika barat daya Pulau Kalumpang sekitar pukul 10.30 malam tadi.

Menurut Timbalan Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Leftenan Maritim Syuhadha binti Sharip, penggunaan bubu naga dilarang keras kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada ekosistem marin.

“Pemilik bubu naga yang ditangkap boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan.”

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM20 ribu atau hukuman penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” tambah Syuhadha.

Maritim Malaysia menyeru komuniti maritim, terutamanya nelayan, untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Penggunaan alat tangkapan haram seperti bubu naga bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga menjejaskan hasil tangkapan nelayan lain serta kelestarian laut.

Semarang maklumat mengenai aktiviti yang melanggar undang-undang atau insiden kecemasan di laut boleh dilaporkan terus kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

Operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan dan kestabilan perairan negara. Maritim Malaysia komited untuk terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memelihara kesejahteraan komuniti maritim dan memelihara ekosistem laut.

 

BUBU ZMKK3
 
BUBU ZMKK 2
 
BUBU ZMKK4

EMPAT NELAYAN INDONESIA DISERAH KEPADA KONSULAT SELEPAS VESEL HANYUT DI PERAIRAN MALAYSIA

LUMUT 30 DISEMBER – Maritim Negeri Perak telah menyerahkan empat nelayan warga Indonesia kepada wakil konsulat negara itu selepas vesel yang dinaiki mereka rosak dan hanyut ke Perairan Malaysia.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, penyerahan empat nelayan terbabit iaitu Zulkarnaen, 42, M.Syafill, 46, Ishak bin Osman, 53, dan Nuril Asfor, 46 yang berasal dari Tanjung Balai, Indonesia dilakukan di hadapan wakil konsulat negara itu iaitu Encik Arsat Amrullah di Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak bersama Timbalan Pengarah Siasatan Maritim Negeri Perak, Leftenan Maritim Mohamad Fuad bin Ja’afar pada sekitar jam 11.52 pagi Sabtu lalu.

Terdahulu, kejadian vesel hanyut ini disedari oleh Pusat Operasi Maritim Negeri Perak pada 24 Disember lalu melalui maklumat yang diterima daripada orang awam, bahawa terdapat sebuah Vesel Nelayan Asing (VNA) sedang melakukan aktiviti perikanan di kawasan muara Sungai Tiang.

Ujar beliau, berikutan aduan itu Pusat Operasi Maritim Negeri Perak telah mengatur gerak aset bot ronda Maritim Malaysia ke lokasi bagi membuat pemantauan dan berjaya mengesan VNA berkenaan. Namun, setelah pemeriksaan dilaksanakan mendapati vesel mengalami kerosakan pada bahagian propeller dan hanyut ke perairan Malaysia.

Tambah Shukri, urusan penghantaran pulang kesemua nelayan tersebut akan dilakukan oleh pihak Indonesia sendiri dan wakil konsulat bersetuju menerima mangsa setelah selesai sesi pengesahan dan proses dokumentasi serta pemilik vesel juga bersetuju untuk vesel mereka dimusnahkan di Malaysia memandang vesel tidak lagi sesuai dibawa pulang ke Indonesia.

Penyerahan kesemua nelayan warga Indonesia ini mencerminkan hubungan baik yang sedia terjalin di antara Malaysia dan Indonesia dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan kedua-dua negara terjamin.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

 

WhatsApp Image 2024 12 30 at 2.00.04 PM
 
WhatsApp Image 2024 12 30 at 2.00.05 PM 1
 
WhatsApp Image 2024 12 30 at 2.00.05 PM 2

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON