PUTRAJAYA, 18 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) meneruskan legasi kecemerlangannya melalui program bersejarah yang dinamakan Jejak Laksamana.
Program ini dianjurkan dibawah inisiatif Ketua Pengarah Maritim Malaysia ketujuh, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah.
Jejak Laksamana ini menjadi simbol penghargaan mendalam terhadap kepimpinan, pengorbanan dan jasa luar biasa barisan mantan Ketua- ketua Pengarah sebelum ini yang pernah menerajui Maritim Msalaysia.
Dalam program itu, sesi kunjungan khas telah dilakukan ke ke atas tiga orang tokoh besar yang pernah menerajui Maritim Malaysia, antaranya Mantan Ketua Pengarah Pertama, Laksamana Maritim Dato' Mohamad bin Nik (Bersara), Mantan Ketua Pengarah Kedua, Laksamana Maritim Datuk Amdan bin Kurish (Bersara) ; dan Mantan Ketua Pengarah Keempat, Laksamana Maritim Dato’ Sri Zulkifili bin Abu Bakar (Bersara).
Menurut Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, menjelang sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Agensi yang ke -20, program ini sangat signifikan dan membawa mesej yang jelas iaitu sebagai penghargaan tertinggi kepada individu yang banyak berjasa khususnya mantan ketua-ketua Pengarah Maritim Malaysia.
“Program ini bukan sekadar kunjungan hormat dan ziarah tetapi sebagai satu pengiktirafan sejati kepada mereka yang menjadi tonggak kepada pembangunan Maritim Malaysia. Tanpa komitmen, visi dan misi para mantan Ketua-ketua Pengarah Maritim Malaysia, kita tidak akan berada di tahap ini sekarang,” katanya.
Sebagai simbolik kepada penghargaan ini, setiap Mantan Ketua Pengarah telah dianugerahkan gelaran Nakhoda Kehormatan sebagai mengabadikan jasa mereka ; Gelaran Nakhoda Haluan diberikan kepada Laksamana Maritim Dato' Mohamad bin Nik (Bersara) atas asas sebagai perintis kepimpinan kepada penubuhan Maritim Malaysia, Nakhoda Strategik kepada Laksamana Maritim Datuk Amdan bin Kurish (Bersara) atas kebijaksanaan dan kepakaran dalam melakar hala tuju organisasi dan Nakhoda Pembangunan kepada Laksamana Maritim Dato’ Sri Zulkifili bin Abu Bakar (Bersara) atas peranan signifikan dalam pembangunan dan kemajuan organisasi.
Bagi mengukuhkan perpaduan dalam meneruskan legasi, Program Jejak Laksamana mencerminkan hubungan erat di antara kepimpinan terdahulu dan generasi masa kini. Pengiktirafan yang diberikan ini menunjukkan betapa pentingnya kesinambungan visi, misi dan usaha untuk menjadikan Maritim Malaysia sebuah badan Coast Guard yang disegani di persada dunia selari dengan Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040.
Maritim Malaysia yang bakal memasuki usia Dua Dekad pada 15 Februari depan, akan terus membawa semangat kebersamaan, meningkatkan moral warga serta prestasi bagi memastikan perairan negara sentiasa terpelihara. Maritim Malaysia akan terus progresif tanpa menoleh ke belkang lagi dan sentiasa bersiap sedia terhadap apa jua keadaan terutamanya ancaman keselamatan maritim yang lebih mencabar.
Dalam program ini juga, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli mengajak seluruh warga Maritim Malaysia untuk terus memperjuangkan visi dan misi organisasi demi keselamatan dan kedaulatan perairan negara tanpa kompromi.












