10
Wed, Jun

MARITIM MALAYSIA BAKAL PERKUKUH KESELAMATAN PERAIRAN NEGARA DENGAN KAPAL BAHARU BUATAN TURKIYE

PUTRAJAYA, 12 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal menerima sebuah kapal induk baharu buatan Republik Turkiye, sebagai langkah strategik memperkukuh keupayaan pertahanan dan penguatkuasaan maritim negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, perolehan kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS), merupakan satu keputusan tepat Kerajan Madani dalam menangani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Bagi pembinaan kapal tersebut, syarikat Desan Shipyard dari Turkiye telah dipilih berdasarkan merit, selain kepakaran dan keupayaan syarikat berkenaan dalam industri pertahanan negara itu yang diiktiraf di peringkat global.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia yang diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik bin Jeman dengan pihak Republik Turkiye yang diwakili Pengerusi Lembaga Desan Shipyard, Mr. Cenk Ismail Kaptanoğlu.

Majlis berkenaan berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya semalam.

Majlis MoU berkenaan telah disaksikan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim dan rakan sejawatnya, Presiden Turkiye, TYT Recep Tayyip Erdoğan.

Turut hadir sama pegawai kanan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar Negara (KLN).

Datuk Haji Mohd Rosli dalam pada itu menegaskan, perolehan kapal MPMS ini menandakan satu lonjakan besar dalam keupayaan operasi Maritim Malaysia.

Beliau turut memaklumkan, kapal berteknologi tinggi ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun 2027 dan bakal menjadi aset penting dalam mengawal perairan negara.

“Dilengkapi spesifikasi canggih, MPMS mampu beroperasi selama 30 hari tanpa henti, selain dilengkapi aset moden iaitu empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV), serta turut mempunyai, helideck, fasiliti perubatan dan pusat tahanan,”

“Kapal yang berukuran 99 meter panjang serta boleh membawa 70 orang kru dan 30 orang penumpang ini, akan memberi tumpuan kepada pengawasan di Laut China Selatan, khususnya dalam menangani pencerobohan vesel asing, aktiviti penangkapan ikan haram, serta membanteras jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia,” tambah beliau.

Terdahulu, Datuk Haji Mohd Rosli turut memaklumkan, pemeteraian perjanjian ini sejajar dengan usaha Malaysia untuk memperkukuh keselamatan maritim menerusi kerjasama antarabangsa.

Dengan termeterainya perjanjian ini, Maritim Malaysia optimis hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye dalam sektor pertahanan maritim akan terus diperkukuh, sekaligus memberi manfaat besar kepada keselamatan dan kestabilan perairan negara.

Kredit gambar : Jabatan Penerangan Malaysia

 

PMX EDROGAN
 
PMX EDROGAN2
 
PMX EDROGAN3
 
PMX EDROGAN4
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON