TANJUNG MANIS, 8 JUN – Tindakan tegas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus membuahkan hasil apabila sebuah bot tunda bersama tongkang telah ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di perairan Tanjung Manis pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mahkos anak Juing berkata, tangkapan itu adalah hasil rondaan dan pemantauan berterusan oleh aset Maritim Malaysia yang giat mengawal keselamatan perairan negara daripada sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot tunda tersebut beroperasi dengan lesen yang telah tamat tempoh serta membawa kru warga asing tanpa permit sah, selain didapati menggunakan tenaga kerja asing semasa pelayaran, yang jelas menyalahi peraturan sedia ada,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, ketika pemeriksaan dilakukan, terdapat enam individu berada atas kedua-dua aset tersebut, terdiri daripada dua kru warga tempatan, tiga warga India dan seorang warga Myanmar, berumur antara 21 hingga 65 tahun.
Kesemua kru serta bot dan tongkang terbabit telah ditahan dan dibawa ke jeti Terminal Tanjung Manis untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Kes kini disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang iaitu Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, Boat Rules 1953 dan Akta Imigresen 1959/63.
Maritim Malaysia menyeru orang ramai agar terus menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan aktiviti mencurigakan atau insiden kecemasan di laut melalui Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Tanjung Manis di talian 011-35727765 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
Maritim Malaysia komited mengekang sebarang pelanggaran undang-undang maritim demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terus terpelihara.











