KUDAT, 16 SEPTEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menahan dua buah Vesel Nelayan Asing Vietnam (VNAV) yang menceroboh perairan negara dan dipercayai melakukan aktiviti menangkap hasil laut Malaysia di Barat Laut Pulau Straggler, semalam.
Dalam operasi bersepadu itu, seramai 11 kru termasuk tekong berusia antara 17 hingga 48 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah bin Omar berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua - dua vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua mereka ditahan bersama vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil laut dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM6 juta,” katanya lagi.
Tambah beliau, kedua-dua bot diiring ke Jeti Tahanan Vesel Zon Maritim Kudat mengambil masa hampir 12 jam perjalanan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
Sementara itu Hasbullah menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pencerobohan nelayan asing yang jelas menjejaskan sumber perikanan negara serta menimbulkan kerugian besar kepada komuniti nelayan tempatan.
Beliau turut menyeru orang awam, khususnya komuniti maritim, agar menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan kepada Pusat Operasi Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.











