08
Isn, Jun

Grid List

10 PATI WARGA INDIA DAN BANGLADESH DITAHAN KETIKA CUBA MEMASUKI PERAIRAN NEGARA

ZON MARITIM KUALA KEDAH PERKASA PENGUATKUASAAN OP TIRIS 4.0 MELALUI OPS BERSEPADU DI PERAIRAN NEGERI KEDAH

MARITIM NEGERI PERAK PERKETAT PENGUATKUASAAN - DUA VESEL PUKAT TUNDA HARAM DITUMPASKAN

15 PATI DITAHAN; SENJATA API TURUT DIRAMPAS

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN KELUAR 31 TONG DIESEL MELALUI PERAIRAN NEGARA

VESEL PUKAT TUNDA KELAS B DITAHAN BEROPERASI DI ZON LARANGAN

BOT TUNDA LANGGAR SYARAT DITAHAN MARITIM MALAYSIA

AKTIVITI SUNSET CRUISE LANGGAR SYARAT, KAPAL PERSIARAN DITAHAN

KUNJUNGAN HORMAT JABATAN TENAGA KERJA SEMENANJUNG MALAYSIA KE ATAS KETUA PENGARAH MARITIM MALAYSIA

PUTRAJAYA, 17 JUN – Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, hari ini.

Kunjungan julung kali ini diketuai oleh Ketua Pengarah JTKSM, Tuan Haji Kamal bin Pardi, diiringi oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Puan Betty binti Hasan serta beberapa pegawai kanan jabatan berkenaan.

Pertemuan ini membuka ruang perbincangan mengenai potensi kerjasama antara kedua-dua agensi, terutamanya dalam aspek tenaga kerja dan pematuhan undang-undang pekerjaan yang berkait rapat dengan sektor maritim.

Selain itu, kedua-dua pihak turut menyentuh kepentingan mewujudkan kerangka kerjasama yang dapat membantu meningkatkan tahap kesedaran serta perlindungan terhadap hak dan kebajikan pekerja.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah; Pengarah Bahagian Perisikan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Haji Md Fauzi bin Othman; serta Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Bin Che Engku Daik.

Kunjungan ini diharap menjadi titik permulaan kepada jalinan hubungan yang lebih erat antara Maritim Malaysia dan JTKSM dalam memperkukuh kerjasama antara agensi serta memperkasa pengurusan sumber manusia dalam sektor maritim.

 

JTK KP
 
JTK KP3
 
JTK KP2
 
JTK KP4

‘BENTENG SAMUDERA’ TARIK TUMPUAN: PROGRAM MERIAH DENGAN SOKONGAN KOMUNITI

ALOR SETAR, 15 JUN – Demonstrasi aksi mendebarkan ‘Benteng Samudera’ menjadi tumpuan utama dalam Program Sahabat Maritim (PSM) dan Sambutan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim (HKKM) peringkat Zon Maritim Kuala Kedah yang berlangsung penuh meriah di Jeti Tanjung Dawai, Merbok, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, program ini bukan sekadar himpunan biasa, tetapi manifestasi kesungguhan Zon Maritim Kuala Kedah dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama komuniti maritim serta memperkasa kesedaran keselamatan laut dalam kalangan masyarakat setempat.

“Matlamat utama kami adalah untuk mendekati masyarakat, khususnya nelayan dan pemain industri maritim, sekali gus memberi pendedahan berterusan tentang keselamatan di laut,” ujar beliau.

Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Pengurus Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tanjung Dawai, Encik Saifulizan bin Senapi bersama ahli lembaga pengarah, menyaksikan gimik perasmian penuh aksi melibatkan bot ronda PERKASA 1224 dan PERKASA 1226, yang mempersembahkan demonstrasi taktikal ‘Benteng Samudera’, satu inisiatif untuk memperkenalkan peranan Maritim Malaysia kepada masyarakat umum.

Sambutan HKKM kali ini turut menampilkan pelbagai pengisian, antaranya pameran alatan keselamatan, sesi penerangan keselamatan di laut serta demonstrasi ‘Orang Jatuh Laut’, yang memberi pendedahan praktikal tentang cara menyelamat diri dalam situasi kecemasan sebenar.

Lebih 35 pegawai dan anggota Maritim Malaysia terlibat dalam pelaksanaan program ini yang turut diserikan dengan pelbagai pertandingan santai dan mesra komuniti seperti timbang takraw, mewarna, dam gergasi, penalti shoot-out dan Teka Berat Ikan. Semua aktiviti ini bertujuan mengeratkan hubungan antara agensi dengan penduduk setempat.

Tidak kurang menarik, sesi Bot Ride membolehkan pengunjung menaiki bot ronda Maritim Malaysia untuk merasai pengalaman berada di atas aset agensi yang sering dilihat dari jauh.

Kesihatan masyarakat juga diberi perhatian dengan kaunter pemeriksaan kesihatan dan program derma darah, hasil kerjasama dengan Klinik Kesihatan Merbok dan Pusat Transfusi Darah, Hospital Sultanah Bahiyah.

Sebagai simbolik kepada komitmen meningkatkan keselamatan maritim, Maritim Malaysia turut menyerahkan 10 unit jaket keselamatan kepada PNK Tanjung Dawai, satu langkah kecil tetapi signifikan dalam memupuk budaya keselamatan dalam kalangan nelayan.

Program yang berlangsung ini berjaya menarik hampir 500 pengunjung, menandakan sokongan padu komuniti setempat terhadap usaha Maritim Malaysia menjadikan keselamatan maritim sebagai tanggungjawab bersama.

Dengan pendekatan yang inklusif dan interaktif, program ini bukan sahaja menyemarakkan kesedaran keselamatan maritim, malah mengukuhkan peranan Maritim Malaysia sebagai perisai samudera negara.

 

BENTENG SAMUDERA
 
BENTENG SAMUDERA3
 
BENTENG SAMUDERA5
 
BENTENG SAMUDERA2

TERAJU BAHARU MARITIM PULAU PINANG TEKAD PERKASA KESELAMATAN PERAIRAN NEGARA

PULAU PINANG, 12 JUN – Kepimpinan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang kini diterajui wajah baharu apabila Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli secara rasmi mengambil alih tugas sebagai Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang menggantikan Kepten Maritim Razali bin Kasim, dalam satu majlis penuh simbolik pagi tadi.

Majlis Serah Terima Tugas yang berlangsung di Dewan Perkasa, Maritim Negeri Pulau Pinang itu turut disaksikan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah.

Dalam ucapannya, Datuk Haji Mohd Rosli merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap kepimpinan terdahulu atas dedikasi melakar kejayaan sepanjang tempoh perkhidmatan, termasuk penganjuran sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia serta pelaksanaan Operasi Bersepadu bersama agensi sahabat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Tambah beliau, kepimpinan baharu diharap mampu memperkukuh pencapaian sedia ada dengan mengambil pendekatan lebih strategik dan inklusif, termasuk melibatkan komuniti maritim, NGO dan agensi kerajaan lain dalam usaha meningkatkan kecekapan penguatkuasaan serta kesejahteraan komuniti maritim.

Dalam ucapan yang sama, Datuk Haji Mohd Rosli menekankan pelaksanaan Teras Tujuh sebagai landasan utama memperkasa organisasi yang merangkumi pemerkasaan struktur operasi, pembangunan modal insan, penglibatan komuniti, dan peningkatan imej profesionalisme Maritim Malaysia.

Beliau turut berkata, pelantikan baharu ini jelas bukan sekadar pertukaran pentadbiran, sebaliknya satu langkah strategik untuk terus memperkukuh keselamatan perairan negara serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap kecekapan Maritim Malaysia.

Kepten Maritim Muhammad Suffi sebelum ini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Keselamatan Persempadanan dan Pendataan di Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim (BKPM), Ibu Pejabat Maritim Malaysia Putrajaya.

Sementara itu, Kepten Maritim Razali akan meneruskan perkhidmatannya sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Protokol dan Kerohanian di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya.

PMN PENANG BARU2
 
PMN PENANG BARU4
 
PMN PENANG BARU3
 
PMN PENANG BARU5

AMSAS PERKUKUH INTEGRITI DAN APRESIASI WARGA

KUANTAN, 13 JUN – Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) terus memperkukuh komitmennya terhadap nilai integriti dan kecemerlangan menerusi penganjuran Majlis Bacaan Ikrar Bebas Rasuah dan Apresiasi AMSAS 2024/2025 yang berlangsung penuh bermakna di Auditorium AMSAS, semalam.

Majlis berkenaan menghimpunkan pegawai dan anggota AMSAS bersama tetamu jemputan dalam suasana penuh semangat dan penghargaan terhadap perkhidmatan cemerlang serta iltizam membanteras rasuah di semua peringkat organisasi.

Majlis dimulakan dengan lafaz Ikrar Bebas Rasuah sebagai simbolik komitmen seluruh warga AMSAS untuk menolak segala bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa, sekali gus memperkukuh budaya kerja berintegriti dalam perkhidmatan maritim negara.

Acara diteruskan dengan majlis serah tugas antara Kepten Maritim Hamiludin bin Che Awang, yang dilantik sebagai Pengarah Maritim Negeri Terengganu, kepada penggantinya Kepten Maritim Kamal bin Mohamad.

Dalam ucapan perpisahannya, Kepten Maritim Hamiludin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga AMSAS atas sokongan dan kerjasama sepanjang tempoh beliau berkhidmat, sambil menyatakan keyakinan bahawa kesinambungan usaha yang dibina akan terus melonjakkan kecemerlangan AMSAS ke tahap yang lebih tinggi.

Turut menyampaikan ucapan penghargaan ialah Komander Maritim Abdul Halim bin Hamzah dan Bintara Muda Maritim Najid bin Abdul Halim yang turut bertukar keluar. Dalam ucapan yang disampaikan, kedua-dua mereka menyeru semua warga AMSAS untuk terus melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi dan profesionalisme.

Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 kepada pegawai dan staf yang menunjukkan prestasi luar biasa serta sumbangan besar dalam mencapai objektif AMSAS. Pengiktirafan ini menjadi pemangkin semangat kepada warga akademi untuk terus mencipta kecemerlangan dalam perkhidmatan awam.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2025 peringkat AMSAS, sebagai penghargaan terhadap usaha kreatif dalam menghasilkan penyelesaian inovatif terhadap cabaran kerja seharian.

Sementara itu, Pengarah AMSAS, Laksamana Pertama Maritim Hamizan bin Harun dalam ucapan beliau menegaskan, nilai integriti warga AMSAS perlu terus menjadi asas kukuh kepada setiap tindakan dan keputusan dalam organisasi.

“Saya amat menghargai sumbangan semua pegawai yang telah menamatkan perkhidmatan di sini. Semoga budaya berintegriti dan semangat kerja berpasukan terus menjadi kekuatan utama AMSAS dalam mencapai kejayaan yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majis penutup Majlis Bacaan Ikrar Bebas Rasuah dan Apresiasi AMSAS 2024/2025

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama semua tetamu dan peserta, sebagai kenangan dalam satu lagi lembaran sejarah AMSAS yang menyatukan semangat bebas rasuah, inovasi dan penghargaan terhadap kecemerlangan.

 

AMSAS APC
 
AMSAS APC4
 
AMSAS APC6
 
AMSAS APC2

KETUA PENGARAH MARITIM MALAYSIA SANTUNI PEGAWAI KANAN MARITIM JALANI RAWATAN

PULAU PINANG, 12 JUN – Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), YBhg. Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah hari ini meluangkan masa menziarahi Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom yang sedang dirawat akibat komplikasi jantung di Hospital Pulau Pinang.

Lawatan kebajikan itu bertujuan menyampaikan sokongan moral serta menyuntik semangat kepada pegawai berkenaan dalam tempoh pemulihannya.

Dalam kunjungan tersebut, Datuk Haji Mohd Rosli turut menyatakan bahawa aspek kebajikan dan kesejahteraan warga Maritim Malaysia akan terus menjadi keutamaan tertinggi pucuk pimpinan agensi.

“Kebajikan dan kesejahteraan pegawai serta anggota Agensi ini sentiasa diberikan perhatian. Lawatan ini adalah tanda solidariti dan sokongan keluarga besar Maritim Malaysia,” ujar beliau.

Turut serta dalam lawatan berkenaan ialah Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana (BCLBB), Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh, Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli, Penolong Pengarah Kanan Cawangan Protokol dan Kerohanian Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Kepten Maritim Razali bin Kasim.

Lawatan seperti ini mencerminkan keprihatinan barisan kepimpinan Maritim Malaysia terhadap anggotanya, selain memperkukuhkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan warga agensi.

 

TPON PENANG
 
TPON PENANG2

Lebih banyak artikel..

Grid List

MARITIM NEGERI PAHANG MERIAHKAN HARI TERBUKA ARMADA KE-92 DI TANJUNG GELANG

KUANTAN, 6 MEI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi penglibatan aktif dalam pameran Hari Terbuka Armada (HTA) yang berlangsung di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, di sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, penglibatan Maritim Malaysia dalam sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-92 ini merupakan platform terbaik bagi agensi untuk mendekati masyarakat serta mempromosikan peranan agensi dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Suasana di reruai pameran Maritim Malaysia turut diserikan dengan kehadiran Panglima Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1), Laksamana Muda Azman bin Rabani.

Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Pengarah Logistik Maritim Negeri Pahang, Komander Maritim Fakhrul bin Akmal.

Dalam rangka lawatan tersebut, Laksamana Muda Azman meluangkan masa meninjau pengisian pameran serta beramah mesra dengan petugas agensi, selain turut menyempurnakan sesi tandatangan buku pelawat.

Sepanjang pameran yang berlangsung selama dua hari bermula 2 hingga 3 Mei itu, lebih 2,000 pengunjung telah hadir memeriahkan reruai Maritim Malaysia.

Pengunjung berpeluang melihat lebih dekat aset-aset replika maritim serta mendapatkan maklumat terperinci mengenai kerjaya dan fungsi penguatkuasaan di laut.

Penglibatan Maritim Malaysia ini jelas menunjukkan komitmen bersama serta kerjasama erat antara Maritim Malaysia dan TLDM dalam memastikan kedaulatan serta keselamatan Zon Maritim Malaysia (ZMM) sentiasa terpelihara melalui sinergi yang utuh.

HTA KTN
 
HTA KTN3
 
HTA KTN4
 
HTA KTN5

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC