15
Isn, Jun

Grid List

MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC KRU KAPAL PHEONIX JAMNAGAR

LAPAN MANGSA SELAMAT DALAM INSIDEN BOT LAJU TERBALIK DI PANTAI TELUK PASIR, SANTUBONG

MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC KRU KAPAL CX GEMMA DI PERAIRAN KUCHING

MARITIM MALAYSIA DAN AGENSI DAERAH MERSING LAKSANA OP BERSEPADU PANTAU AKTIVITI ISLAND HOPPING

10 PATI WARGA INDIA DAN BANGLADESH DITAHAN KETIKA CUBA MEMASUKI PERAIRAN NEGARA

ZON MARITIM KUALA KEDAH PERKASA PENGUATKUASAAN OP TIRIS 4.0 MELALUI OPS BERSEPADU DI PERAIRAN NEGERI KEDAH

MARITIM NEGERI PERAK PERKETAT PENGUATKUASAAN - DUA VESEL PUKAT TUNDA HARAM DITUMPASKAN

15 PATI DITAHAN; SENJATA API TURUT DIRAMPAS

LAWATAN KEBAJIKAN | KUNJUNGAN KASIH MARITIM MALAYSIA KEPADA WARGA YANG DITIMPA MUSIBAH

BANTING, 3 JULAI – Bagi menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan warga agensi yang diuji dengan musibah, Cawangan Protokol dan Kerohanian, Ibu Pejabat Maritim Malaysia telah mengadakan Lawatan Kebajikan - Kunjungan Kasih kepada Pegawai Waran I Maritim Nor Hisham bin Ahmad dari Seksyen Kejuruteraan Marin, Bahagian Kejuruteraan, Ibu Pejabat Maritim Malaysia, semalam.

Nor Hisham telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dan kini masih dalam proses pemulihan. Beliau berada dalam keadaan sedar, boleh bertutur dan mendengar namun masih mengalami masalah ingatan serta memerlukan bantuan sepenuhnya untuk menguruskan diri. Beliau juga bergantung kepada susu sebagai sumber makanan utama.

Lawatan Ibu Pejabat Maritim Malaysia telah diwakili oleh Leftenan Maritim Ahmad Shaifuruddin bin Jamaluddin dan Pegawai Waran II Maritim Norsham bin Saban dari Seksyen Kerohanian dan Kebajikan, Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), di kediaman anggota di No. 8, Jalan 1A/3, Taman Mentari, Bandar Mahkota, Banting.

Mereka disambut oleh isteri beliau, Puan Siti Rahayu binti Mohd Ramli, yang kini menjadi penjaga utama serta sumber kekuatan buat anggota berkenaan.

Program Kunjungan Kasih ini merupakan antara inisiatif kebajikan Maritim Malaysia bagi menyantuni dan memberikan sokongan moral kepada anggota serta keluarga yang ditimpa ujian, selari dengan semangat kekeluargaan dalam organisasi.

Maritim Malaysia mendoakan agar Pegawai Waran I Maritim Nor Hisham segera sembuh dan dikurniakan ketabahan untuk menghadapi ujian ini.

 

ZIARAH KEBAJIKAN2

KM NUSA KEMBALI BEROPERASI DENGAN KESIAPSIAGAAN PENUH

LUMUT, 2 JULAI – Kapal Maritim (KM) NUSA kini kembali beroperasi dengan tahap kesiapsiagaan yang tinggi setelah selesai menjalani proses refit and repowering di Sumber Samudra Sdn Bhd.

Majlis penyerahan rasmi kapal tersebut telah diadakan semalam di Teluk Intan, disaksikan oleh Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob.

Dalam ucapannya, Mohamad Shukri menzahirkan penghargaan kepada pasukan projek serta pihak pengurusan Sumber Samudra Sdn Bhd atas komitmen padu sepanjang pelaksanaan projek refit and repowering KM NUSA yang mengambil masa kira-kira setahun.

Beliau turut mengakui, terdapat cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh tersebut, namun kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf berjaya diselesaikan dengan jayanya.

Dengan selesainya projek ini, KM NUSA kini bersedia untuk kembali bertugas di lapangan. Diharapkan kapal ini akan terus memperkukuh kawalan sempadan maritim negara, menjamin keselamatan komuniti maritim dan melaksanakan operasi dengan penuh dedikasi serta profesionalisme.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Perak, Komander Maritim Tan Ah Bik, Pegawai Memerintah KM NUSA, Leftenan Komander Maritim Mahathir bin Ismail, Pengarah Urusan Sumber Samudra Sdn Bhd, Chee Cheong Sow, Pengurus Projek Sumber Samudra Sdn Bhd, Lee Yoo Thong, Timbalan-timbalan Pengarah, Pegawai-pegawai Memerintah Kapal, warga KM NUSA dan wakil Sumber Samudra Sdn Bhd.

KM NUSA2
 
KM NUSA3
 
KM NUSA4
 
KM NUSA5

MAJLIS SERAH TERIMA TUGAS DAN JASAMU DIKENANG BAHAGIAN PEMBANGUNAN MARITIM MALAYSIA

PUTRAJAYA, 1 JULAI – Bahagian Pembangunan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semalam melakar satu lagi detik bersejarah menerusi penganjuran Majlis Serah Terima Tugas Ketua Cawangan Pengurusan Projek (CPP) dan Majlis Jasamu Dikenang, yang berlangsung di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya.

Majlis serah tugas ini menyaksikan penyerahan rasmi tanggungjawab Ketua CPP daripada Kepten Maritim Nur Syam Asmawie bin Yaacob kepada Kepten Maritim Shahrizan bin Raman, dan disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pembangunan, Laksamana Pertama Maritim Zulinda binti Hj Ramly.

Dalam ucapannya, Laksamana Pertama Maritim Zulinda menegaskan bahawa budaya taat setia yang menjadi salah satu daripada Teras 7 perlu terus dihayati dan diamalkan oleh semua warga Maritim Malaysia.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas khidmat cemerlang Kepten Maritim Nur Syam Asmawie sepanjang mengetuai Cawangan Pengurusan Projek.

Majlis turut diserikan dengan acara Jasamu Dikenang bagi menghargai jasa dan sumbangan Leftenan Muda Maritim Nur Amalina binti Jais, yang akan bertukar keluar ke Zon Maritim Kuala Kedah.

Program seumpama ini mencerminkan komitmen Maritim Malaysia dalam menghargai sumbangan dan jasa bakti warganya di samping menjadi platform memperkukuh semangat kekeluargaan dan integriti dalam perkhidmatan.

Maritim Malaysia akan terus melaksanakan pengurusan projek secara cekap dan berkesan demi kelestarian maritim negara.

 

PEMB MAJLIS2
 
PEMB MAJLIS3
 
PEMB MAJLIS4

MARITIM MALAYSIA HADIR TABLE TOP EKSESAIS PRISM BAGI PERSEDIAAN ANCAMAN DI LAUT

KOTA KINABALU, 1 JULAI – Pelaksanaan Eksesais PRISM secara Table Top oleh pihak Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dilaksanakan antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah & WP Labuan dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Sabah semalam.

Senario kali ini melibatkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 18 dalam menangani keganasan terhadap ancaman bom di atas kapal Petronas Floating Liquefied Natural Gas (PFLNG SATU) di kawasan Medan Gas Kebabangan yang terletak sejauh 90 kilometer di luar pesisir Kota Kinabalu manakala kapal PFLNG DUA ditempatkan di Medan Gas Rotan, 190 kilometer di luar pesisir Kota Kinabalu.

Nadira Akmel Zurin merupakan Drill Director Crisis & Security, PFLNG yang bertanggungjawab secara langsung dalam memastikan kelancaran Dril dilaksanakan, manakala Encik Saiful Zaid A Halim turut terlibat dalam berperanan sebagai Alternate Incident Commander, General Manager, Self-Regulation, PFLNG semasa drill Eksesais ini dilaksanakan.

Penglibatan kali ini turut melibatkan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Eksesais Negeri Sabah, Komander Maritim Siti Khairunnisak Abd Aziz, Penolong Pengarah Kanan C4ISR, Leftenan Komander Maritim Muhammad Nur Hafizul bin Md Zamri, dan juga Skuadron Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Sabah dan Sarawak Leftenan Komander Maritim Nik Muhamad Hafizan bin Nik Muhamad Zawawi.

Penglibatan kali ini merupakan Eksesais Table Top Kedua sebagai persediaan yang perlu dikoordinasikan jika ancaman keselamatan melibatkan laut dalam serta situasi ancaman bom dapat ditangani dan diselaraskan selari dengan Arahan MKN.

 

TTX PRISM
 
TTX PRISM3

PERKASA LATIHAN MARITIM: AKADEMI MARITIM SULTAN AHMAD SHAH (AMSAS) TERIMA KUNJUNGAN RASMI DARIPADA KETUA PENGARAH MARITIM MALAYSIA

KUANTAN, 1 JULAI – Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) hari ini menerima kunjungan rasmi daripada Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, dalam satu sesi perjumpaan bersama seluruh warga AMSAS yang melibatkan pegawai, anggota, dan pelatih.

Lawatan yang berlangsung pada sebelah pagi ini bertujuan menilai serta memperkukuh lagi kualiti latihan di AMSAS agar terus relevan dan memenuhi keperluan semasa dalam bidang penguatkuasaan maritim negara.

Antara pengisian utama sepanjang lawatan termasuk taklimat berkenaan status semasa AMSAS yang memberi tumpuan kepada aspek pengurusan latihan pelatih, lawatan ke fasiliti akademi, serta sesi penyampaian amanat khas oleh Ketua Pengarah yang diadakan di Dewan Dato’ Nor Aziz.

Dalam amanatnya, beliau menekankan bahawa setiap warga AMSAS memikul peranan penting dalam memastikan keselamatan maritim negara sentiasa terpelihara. Tegas beliau, tanggungjawab yang digalas bukan sekadar satu pekerjaan, sebaliknya merupakan amanah besar yang menuntut komitmen, dedikasi dan disiplin tinggi.

“Kita bukan sekadar melaksanakan tugas, tetapi menggalas tanggungjawab besar kepada negara. Peranan kita adalah sebagai pelindung kedaulatan perairan negara. Ianya satu amanah yang tidak boleh dipandang ringan,” ujar beliau.

Beliau turut menyeru agar nilai-nilai teras agensi seperti integriti, profesionalisme dan keberanian sentiasa dihayati dan diamalkan dalam setiap aspek latihan serta pelaksanaan tugas. Nilai-nilai inilah, katanya, yang membentuk jati diri APMM serta menjadi asas kepercayaan masyarakat terhadap agensi.

Mengakhiri amanatnya, beliau mengingatkan bahawa cabaran keselamatan maritim kini dan masa depan semakin kompleks dan dinamik. Justeru, semua anggota dan pelatih diseru agar sentiasa bersiap siaga, berpengetahuan dan berdaya tahan dalam menghadapi realiti semasa.

Turut hadir dalam lawatan ini ialah Pengarah AMSAS, Laksamana Pertama Maritim Hamizan bin Harun dan Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh.

Kunjungan rasmi ini bukan sahaja mencerminkan komitmen kepimpinan tertinggi APMM dalam memperkasa latihan dan pembangunan modal insan, malah turut menjadi suntikan semangat kepada seluruh warga AMSAS untuk terus berusaha melahirkan pegawai dan anggota maritim yang cekap, berwibawa dan berintegriti demi keselamatan perairan negara.

 

KP AMSAS
 
KP AMSAS5
 
KP AMSAS8
 
KP AMSAS7

Lebih banyak artikel..

Grid List

"TIADA KOMPROMI TERHADAP ANCAMAN DI PERAIRAN NEGARA," - MDN TEGAS KOMITMEN KERAJAAN MADANI PERKUKUH MARITIM MALAYSIA

PUTRAJAYA, 11 JUN – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman yang menggugat keselamatan, kedaulatan dan martabat negara, khususnya melibatkan jenayah rentas sempadan, penyeludupan serta pencerobohan perairan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selagi ancaman terhadap perairan negara wujud, selagi itulah Kerajaan akan memastikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memiliki kuasa, kapasiti dan sokongan yang diperlukan bagi melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan secara berkesan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Menurut beliau, keluasan Zon Maritim Malaysia yang meliputi lebih 556,000 kilometer persegi merangkumi laluan strategik seperti Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi menjadikan keselamatan maritim sebagai antara keutamaan utama negara.

“Perairan negara bukan sekadar laluan air, malah merupakan nadi geopolitik, ekonomi dan keselamatan negara. Justeru, Maritim Malaysia memainkan peranan sebagai benteng hadapan negara dalam memastikan perairan Malaysia kekal selamat, teratur dan bebas daripada ancaman jenayah maritim,” katanya.

Saifuddin berkata, Kerajaan turut komited memperkukuh keupayaan operasi Maritim Malaysia menerusi pelaksanaan beberapa perolehan aset strategik bagi memastikan agensi itu sentiasa bersedia mendepani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Menurut beliau, Maritim Malaysia dijangka menerima Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) pertama pada pertengahan tahun 2027, manakala kontrak perolehan MPMS kedua yang dimeterai pada 21 April 2026 dijangka siap dalam tempoh 24 bulan bermula Februari 2026 hingga Januari 2028.

Selain itu, Maritim Malaysia juga bakal menerima empat buah helikopter Agusta Westland AW189 pada tahun ini dengan pesawat pertama dijangka tiba pada Julai 2026, sekali gus meningkatkan keupayaan operasi penguatkuasaan, rondaan maritim serta misi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di seluruh Zon Maritim Malaysia.

Dalam menghadapi cabaran Krisis Tenaga Global 2026, beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyeludupan, penyelewengan dan ketirisan bekalan bersubsidi yang boleh menjejaskan kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat.

Melalui pelaksanaan Op TIRIS 4.0 Segmen Laut yang dilaksanakan secara bersepadu bersama PDRM-PPM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia yang bermula pada 16 Mac lalu, Maritim Malaysia telah berjaya merekodkan 30 kes dengan nilai rampasan melebihi RM5.74 juta sehingga 1 Jun 2026.

“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan diesel, petrol dan barangan bersubsidi tidak diseleweng ke luar negara atau disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ia juga mencerminkan sokongan padu Maritim Malaysia terhadap aspirasi Kerajaan MADANI dalam memerangi ketirisan serta menjamin kemakmuran negara” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perkembangan geopolitik global yang memberi kesan kepada laluan strategik antarabangsa seperti Selat Hormuz telah meningkatkan kepentingan Selat Melaka sebagai antara laluan perdagangan dan perkapalan paling penting di dunia.

Justeru, katanya, Maritim Malaysia memikul tanggungjawab yang amat besar untuk memastikan Selat Melaka dan perairan negara kekal selamat, teratur serta bebas daripada ancaman jenayah maritim demi menjamin kelancaran perdagangan antarabangsa serta kestabilan ekonomi negara dan serantau.

Sementara itu, majlis berkenaan turut menyaksikan seramai 254 warga Maritim Malaysia dari seluruh Semenanjung Malaysia menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 sebagai pengiktirafan terhadap prestasi, dedikasi dan komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, YBhg. Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, “pengiktirafan tersebut bukan sekadar penghargaan kepada pencapaian individu, malah mencerminkan budaya kerja berprestasi tinggi yang terus menjadi tunjang kecemerlangan organisasi”.

Pada tahun 2025, seramai 390 warga Maritim Malaysia di seluruh negara telah dipilih sebagai penerima APC berbanding 372 orang pada tahun sebelumnya. Majlis tersebut turut dihadiri pengurusan tertinggi KDN dan Maritim Malaysia serta warga Maritim Malaysia.




hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC