10
Fri, May

OP BERSAMA | MARITIM MALAYSIA DAN AADK TEGAS BANTERAS AKTIVITI PENYALAHGUNAAN DADAH

MERSING, 19 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), melalui Zon Maritim Mersing, telah mengadakan satu operasi bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Mersing di sekitar perairan Mersing pada jam 8.00 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Bin Saadin berkata, operasi itu bertujuan mencegah dan membasmi sebarang kegiatan jenayah terutamanya aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti maritim setempat.

Hasil pemeriksaan pasukan operasi dari kedua-dua agensi berjaya memeriksa enam buah bot nelayan tempatan termasuk sebuah bot memancing ikan beserta kru.

Dalam pemeriksaan mendapati, seorang kru vesel warga tempatan didapati positif dadah setelah melalui ujian saringan sebelum diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan lanjut.

Operasi Bersama ini melibatkan sebuah bot ronda Maritim Malaysia PERKASA 31 dengan kekuatan seramai 12 anggota dan pegawai Zon Maritim Mersing serta pegawai dari AADK daerah Mersing.

Maritim Malaysia akan terus melaksanakan operasi seperti ini bersama jabatan dan agensi penguatkuasaan yang lain dari semasa ke semasa dalam mencegah salah laku jenayah di zon maritim Malaysia khususnya di perairan Mersing.

Maritim Malaysia mengingatkan kepada komuniti nelayan dan orang awam khususnya, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah bagi memastikan perairan negara terkawal dan keselamatan negara terpelihara.

 

WhatsApp Image 2023 04 19 at 19.07.53 4   WhatsApp Image 2023 04 19 at 19.07.53 3   WhatsApp Image 2023 04 19 at 19.07.53 2   WhatsApp Image 2023 04 19 at 19.07.53  

LANGGAR SYARAT LESEN, DUA BOT PUKAT TUNDA BERSAMA KRU WARGA ASING DITAHAN .

LUMUT, 19 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan dua bot pukat tunda pada kedudukan lebih kurang 5.3 batu nautika barat daya muara Sungai Tiram sekitar jam 10 pagi semalam.
 
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali bin Ya’akup berkata, tangkapan berkenaan dilakukan oleh bot ronda yang sedang melaksanakan rondaan OP PINTAS, OP TIRIS, OP KHAS PAGAR LAUT serta tinjauan udara oleh Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) yang juga pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia.
 
Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot pertama yang dikendalikan oleh tekong dan seorang kru warga tempatan serta dua warga Myanmar masing-masing berumur di antara 34 hingga 64 tahun disyaki melanggar syarat lesen kerana menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan, tambahan pula mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
 
Manakala hasil pemeriksaan terhadap bot kedua didapati ia dikendalikan oleh tekong dan dua kru warga Myanmar, masing-masing berumur 28 hingga 45 tahun disyaki melakukan kesalahan yang sama.
 
Tekong dan kru kedua-dua bot telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63. Kesemua kru dan bot serta hasil rampasan ditahan untuk siasatan lanjut.
 
Maritim Malaysia ingin mengingatkan komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan kerana walaupun musim perayaan bakal menjelang penguat kuasa tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba melakukan kesalahan di perairan negara.
 
Sebarang maklumat dan aduan mengenai penguatkuasaan dan insiden di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

 

WhatsApp Image 2023 04 19 at 16.27.24
 
WhatsApp Image 2023 04 19 at 16.27.23
 
WhatsApp Image 2023 04 19 at 16.27.24 2
 

GAGAL KEMUKA LESEN SEMASA PEMERIKSAAN, TONGKANG DITAHAN UNTUK SIASATAN LANJUT

BINTULU, 17 April – Zon Maritim Bintulu telah menahan sebuah bot tunda dan tongkang yang sedang bergerak pada jarak lebih kurang 2.2 batu nautika dari muara Sungai Kemena Bintulu, sekitar pukul 11.45 pagi Sabtu lalu.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, bot dan tongkang itu dikesan sedang membawa muatan, apabila pemeriksaan dilakukan didapati tongkang yang membawa muatan gagal mengemukakan Lesen Perkapalan Dalam Negeri yang telah diperbaharui.

Muatan yang dibawa mempunyai dokumen dan kebenaran daripada Jabatan dan agensi yang berkaitan manakala kru di atas tongkang tersebut adalah warga tempatan dengan masing-masing berumur 31 dan 48 tahun.

Bot tunda dan kru tidak ditahan kerana mempunyai dokumen yang lengkap serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukan hukuman kompaun melebih RM lima ribu jika disabitkan bersalah.

RM7.3 JUTA NILAI RAMPASAN SEMINGGU OP KHAS PAGAR LAUT

PUTRAJAYA, 18 April - Sejumlah RM7.3 juta nilai rampasan keseluruhan telah direkodkan oleh Maritim Malaysia hasil daripada 18 tangkapan melalui OP KHAS PAGAR LAUT yang dilaksanakan bermula 9 April hingga 17 April.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), merangkap pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, daripada jumlah berkenaan sebanyak enam kes melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terdiri daripada 16 orang pelbagai warganegara, tiga kes penyeludupan kontraband rokok, tiga kes pencerobohan bot nelayan asing (BNA), satu kes penyeludupan barang kawalan minyak masak serta lima kes berkaitan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan menambah kejayaan ini adalah hasil rutin rondaan dan penguatkuasaan dilaksanakan oleh 800 pegawai dan anggota penguat kuasa dalam operasi ini di samping 45 buah pelbagai aset milik agensi.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjaun udara sempena OP KHAS PAGAR LAUT di sekitar kawasan perairan Selangor hari ini.

Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan turut berkata, Maritim Malaysia telah memperketatkan lagi kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di kawasan maritim negara terutamanya di sempadan Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Beliau juga tidak menafikan selain maklumat perisikan dan data daripada radar SWASLA, Maritim Malaysia juga telah menerima maklumat dari orang awam yang turut menyumbang kepada kejayaan kes-kes tangkapan operasi ini.

Justeru bagi mengekalkan momentum pencapaian operasi ini, beliau menyeru kepada orang ramai khususnya masyarakat maritim untuk terus menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa agar aktiviti jenayah maritim dapat dibanteras habis-habisan.

Maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim boleh disalurkan secara terus dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim (POMAR) di talian 03-89434001 serta mana-mana Pusat Operasi Maritim (PUSOP) yang berhampiran di seluruh negara atau menghubungi MERS 999.

Untuk rekod OP KHAS PAGAR LAUT dilaksanakan setiap tahun bermula 2016 dan ini merupakan tahun kelapan, melibatkan semua Maritim Negeri termasuk Zon Maritim di seluruh negara.

Pada tahun ini OP KHAS PAGAR LAUT telah bermula pada 9 April lalu dan akan berakhir sehingga bulan ini.

 

PIX PANTAU OKPL 2   PIX PANTAU OKPL 3   PIX PANTAU OKPL 5

EMPAT NELAYAN ASING VIETNAM DITAHAN MARITIM NEGERI KELANTAN

PASIR PUTEH, 17 April – Maritim Negeri Kelantan berjaya menahan sebuah bot nelayan asing pada jarak lebih kurang 161 batu nautika dari muara Tok Bali, Sabtu lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli bin Syed Ab Rahman berkata, KM TOK BALI semasa melaksanakan rondaan OP NAGA BARAT dan OP KUDA LAUT bagi perairan Pantai Timur, kapal penguat kuasa telah mengesan sebuah bot yang disyaki bot nelayan asing Vietnam sekitar pukul 10.20 pagi pada jarak satu batu nautika.

Semasa hendak dirapati, bot nelayan tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri menuju ke arah sempadan Vietnam.

Namun pada pukul 10.37 pagi, bot berjaya dirapati dan digeledah.

Pemeriksaan mendapati, bot itu merupakan bot nelayan asing Vietnam. Bot dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong berumur dalam lingkungan 33 hingga 58 tahun.

Bot nelayan itu juga tidak mempunyai sebarang kebenaran untuk menangkap ikan di perairan Malaysia.

Tangkapan kali ini melibatkan 4 kru termasuk tekong, rampasan sebuah bot, peralatan menangkap ikan, peralatan komunikasi dan navigasi dan bekalan diesel lebih kurang 2,000 liter dengan anggaran nilai RM1.34 juta.

Bot seterusnya diiring masuk ke Jeti Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Seksyen 16 (3) akta yang sama kerana gagal memmaklumkan pihak berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.

Sabitan di atas kedua-dua kesalahan itu boleh dihukum denda sehingga RM 6 juta kepada tekong dan RM 600 ribu ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985.

Bot dan peralatan menangkap ikan boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia jika sabit kesalahan.

Kesemua kru disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Sebarang maklumat berkenaan Penguatkuasaan dan CARILAMAT, orang ramai boleh menyalurkannya ke talian MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09 – 778 0070.

 

PATI KELANTAN   PATI KELANTAN 4   PATI KELANTAN 3   PATI KELANTAN 6

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON