10
Fri, May

OP CARILAMAT | MAYAT KANAK-KANAK 12 TAHUN LEMAS DI PANTAI KEMAYANG TELAH DITEMUKAN

PASIR PUTEH, 6 MAC – Mayat seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Ahmad Fadhlullah bin Mohamad yang dilaporkan hilang pagi semalam telah ditemukan oleh orang awam di Pantai Senok, Bachok hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli bin Syed Ab Rahman berkata, mangsa ditemukan lebih kurang jam 1.40 petang tadi pada jarak kira-kira 25 meter dari pantai sebelum dibawa ke tebing 20 minit kemudian.

Mangsa telah disahkan oleh abang iparnya, Muhammad Soleh bin Aziz dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu.

OP CARILAMAT ini telah dikoordinasikan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan melibatkan Maritim Negeri Kelantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dengan kekuatan berjumlah 62 orang.

Maritim Negeri Kelantan mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama dan penglibatan agensi sahabat dalam OPERASI CARILAMAT ini.

Komuniti maritim diseru agar sentiasa mengutamakan keselamatan semasa melakukan sebarang aktiviti di laut. Sekiranya terdapat sebarang kejadian kecemasan, orang ramai boleh melaporkannya terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09-7780070 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

KEPTEN MARITIM SYED NOR ADLI BIN SYED AB RAHMAN

PENGARAH MARITIM NEGERI KELANTAN

 

WhatsApp Image 2023 03 06 at 15.50.33 1   WhatsApp Image 2023 03 06 at 15.50.34
     
WhatsApp Image 2023 03 06 at 15.50.33   WhatsApp Image 2023 03 06 at 15.50.32

OP CARILAMAT | MAYAT NELAYAN JATUH LAUT DI JETI LKIM TELUK BAHANG DITEMUKAN

GEORGETOWN, 6 Mac - Seorang kru bot nelayan tempatan bernombor pendaftaran PPF 972 jatuh laut di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Teluk Bahang, ditemukan sekitar jam 4.12 pagi tadi.

Terdahulu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang melalui Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (OP CARILAMAT) sejurus menerima panggilan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Batu Kawan berhubung kejadian itu di jeti LKIM Teluk Bahang pada jam 5.00 petang semalam.

Justeru itu, bot PERKASA 1221 diatur gerak ke lokasi untuk membuat pencarian dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Maritim Malaysia ditubuhkan di jeti LKIM Teluk Bahang.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak bin Mohamed berkata, mayat mangsa Chan Eng Liong, 53, tinggal di Salak South Garden, Kuala Lumpur ditemukan terapung oleh pasukan Bomba Teluk Bahang di lokasi mangsa itu jatuh pada sekitar jam 4.12 pagi tadi.

Sejurus penemuan itu, mayat dibawa oleh anggota Polis dari Balai Polis Teluk Bahang ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk tindakan lanjut selepas pengecaman dibuat oleh ahli keluarga mangsa.

Maritim Malaysia merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada rakan strategik yang turut membantu, OP CARILAMAT ditamatkan pada jam 7.30 pagi tadi.

Sebarang penemuan dan insiden kecemasan atau kemalangan di laut, orang awam diminta agar melaporkannya ke MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2023 03 06 at 08.35.00

LANGGAR SYARAT SAH LESEN, SEBUAH BOT NELAYAN TEMPATAN DITAHAN

KUALA KURAU, 3 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan sebuah bot gentian kaca bersama tiga kru nelayan di kedudukan 1.1 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau pada sekitar jam 12.05 tengahari semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang, pasukan bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan bot itu dan dirapati untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan menemukan seramai tiga kru nelayan di atas bot iaitu tekong warga tempatan manakala selebihnya warga Myanmar yang merupakan pemegang kad pelarian United Nations High Commissioner for Refugee (UNCHR) berumur dalam lingkungan antara 21 hingga 37 tahun.

Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, bot terbabit memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya tambahan pula jentera utama bot telah diubah suai melanggar spesifikasi seperti yang tercatat dalam lesen.

Tekong juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Kesemua kru nelayan ditahan manakala bot, peralatan menangkap ikan dan hasil ikan campur sebanyak 150 kilogram dirampas sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemilik, mengubah spesifikasi asal jentera utama dan tiada kebenaran kru warga asing yang sah.

Maritim Malaysia akan terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang di perairan negara demi kesejahteraan bersama.

Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

.

KOMANDER MARITIM MOHD NAJHAN BIN AZMAN HAMID

PENGARAH ZON MARITIM KUALA KURAU

 

WhatsApp Image 2023 03 03 at 11.30.37 1

OP CARILAMAT | PENCARIAN KANAK-KANAK DIKHUATIRI LEMAS DI PANTAI KEMAYANG, BACHOK

PASIR PUTEH, 5 Mac - Maritim Negeri Kelantan hari ini mengaktifkan OP CARILAMAT terhadap seorang kanak-kanak yang dikhuatiri lemas di perairan Pantai Kemayang, Bachok.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli bin Syed Ab Rahman berkata, Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan OP CARILAMAT pada jam 8.40 pagi tadi melibatkan sektor pencarian seluas 4.2 batu nautika oleh bot PERKASA 33.

Pengadu, Mohd Nor Syazlin, abang ipar kepada mangsa berkata, adik ipar beliau yang disyaki lemas, Ahmad Fadhlullah bin Mohamad, 12, dilihat kali terakhir memakai baju hitam dan seluar panjang hitam.

Mangsa disyaki lemas semasa cuba menyelamatkan anak saudaranya, Mohd Nabil Irfan bin Ismail, 11, yang tergelincir daripada batu.

Namun difahamkan kedua-duanya jatuh laut.

Melihat kejadian itu kakak mangsa, Nurul Afiqah bin Mohamad, 19, cuba menyelamatkan kedua-dua mangsa namun turut ditarik arus deras.

Seorang lagi saudara perempuan mangsa, Shakira binti Mohamad, 30, yang berada di lolasi kejadian cuba menyelamatkan ketiga-tiga mangsa namun hanya Mohd Nabil Irfan yang sempat diselamatkan.

Mangsa yang berjaya diselamatkan kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Panchor untuk rawatan lanjut manakala Nurul Afiqah telah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di Pantai Kemayang, Bachok.

Seramai 54 pegawai dan anggota terdiri daripada Maritim Negeri Kelantan, Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terlibat dalam OP CARILAMAT yang dikoordinasikan oleh MRSC Kuantan ini.

Tiada sebarang penemuan sehingga petang tadi oleh Maritim Malaysia dan agensi sahabat.

OP CARILAMAT pada petang tadi ditangguhkan pada jam 7 petang dan akan disambung semula pada jam 7 pagi esok.

Maritim Negeri Kelantan akan terus komited memastikan perairan negara sentiasa terpelihara, sebarang maklumat mengenai insiden ini orang ramai boleh menyalurkannya ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan (09 - 778 0070) untuk maklum balas segera.

WhatsApp Image 2023 03 05 at 19.11.53 1   WhatsApp Image 2023 03 05 at 19.11.54 2

BOT NELAYAN FIBER TANGKAP IKAN TANPA LESEN DITAHAN DAN 7 SET BUBU NAGA DIRAMPAS

PELABUHAN KLANG, 3 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas fiber tanpa nombor pendaftaran ketika sedang menangkap ikan di sekitar perairan Sungai Janggut, tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, bot nelayan itu ditahan ketika dalam rondaan OP EHSAN pada kedudukan 1.2 batu nautika barat laut Sungai Janggut.

Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu tidak pempunyai lesen menangkap ikan dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong warga tempatan berusia antara 15 hingga 44 tahun.

Tidak jauh dari kedudukan bot nelayan itu, bot PERKASA 35 berjaya mengesan satu pelampung berwarna merah yang mencurigakan di lokasi berhampiran.

Hasil pemeriksaan ke atas pelampung tersebut, terdapat tujuh set bubu naga diikat pada pancang kayu dan setelah menunggu hampir 30 minit tiada bot nelayan yang menghampiri kawasan itu.

Bot dan kru ditahan manakala peralatan bubu naga yang ditemukan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2023 03 03 at 12.02.39 1   WhatsApp Image 2023 03 03 at 12.02.39 2

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON