20
Mon, May

KAPAL TANGKI LAKUKAN 15 KESALAHAN DITAHAN

LABUAN, 6 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Labuan telah menahan sebuah kapal tangki kerana melakukan 15 kesalahan termasuk membawa diesel 190,000 liter tanpa sijil atau memiliki lesen dengan nilai anggaran melebihi RM400 ribu pada Sabtu, 5 Ogos 2023.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin bin Jusoh berkata, kapal peronda yang sedang dalam rondaan OP SEJAHTERA, OP NAGA TIMUR, OP KHAS KUDA LAUT dan OP TIRIS di sekitar perairan kawasan Galian Minyak Samarang telah mengesan sebuah kapal tangki berbendera Malaysia lebih kurang jam 2.10 petang Sabtu di kedudukan 45.7 batu nautika Barat Laut Pulau Labuan.

Hasil pemeriksaan ke atas kapal itu mendapati terdapat tujuh kru kapal di mana enam kru ialah warga Indonesia dan seorang kru warga India berumur dalam lingkungan 20 hingga 55 tahun.

Setelah diperiksa, kesemua kru kapal tangki berkenaan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Hasil pemeriksaan lanjut turut menemukan pelbagai kesalahan lain iaitu vesel tiada 'Master', lesen perkapalan dalam negeri (DSL) telah tamat tempoh, tiada senarai krew, tiada 'Cargo Manifest', tiada 'Declaration On Anti-Fouling Certificate', tiada dokumen insurans kapal, dokumen 'Safety Equipment' tamat tempoh, dokumen 'International Load Line' tamat tempoh, dokumen 'Cargo Ship Safety Certificate' tamat tempoh dan dokumen IOPP/Form B (Marpol Annex 1) tamat tempoh.

Selain itu tiga kesalahan lain yang dikesan ialah kapal membawa diesel kira-kira 190,000 liter tanpa sijil / lesen Petroleum Development Act (PDA), tiada resit / invoice pembelian bahan bakar serta disyaki menyeludup diesel dan tiada lesen bagi mengendali serta membawa bahan bakar (diesel).

Kes berkenaan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Akta Petroleum 1984 / Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Pihak Maritim Malaysia juga mengesan satu kesalahan dilakukan di bawah Akta Kastam 1967 iaitu tiada 'port clearance' semasa pemeriksaan di samping satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu tiada dokumen Surat 'Control Supplies Act' (CSA).

Kapal serta barangan disita dan diiring ke Jeti Zon Maritim Labuan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia mengingatkan orang ramai untuk melaporkan sebarang kejadian salah laku, kecemasan atau kemalangan di laut ke talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 untuk maklum balas segera.

 

KAPAL TANGKI LABUAN 2
 
KAPAL TANGKI LABUAN

BOT PUKAT RAWA SORONG DITAHAN, BEROPERASI TANPA LESEN YANG SAH

KUALA KURAU, 3 Julai – Sebuah bot nelayan tempatan jenis pukat rawa sorong ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Kurau di kedudukan 5.9 batu nautika barat daya Pulau Sangga Besar pada sekitar jam 11.50 malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata, bot itu ditahan dalam keadaan mencurigakan oleh pasukan operasi Maritim Malaysia ketika melakukan rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang sebelum dirapat untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan menemukan, terdapat dua nelayan tempatan termasuk tekong masing-masing berumur 29 dan 57 tahun berada di atas bot.

Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati bot itu tidak memiliki lesen yang sah.

Selain itu, peralatan menangkap ikan jenis pukat rawa sorong turut ditemukan dan disyaki digunakan sebagai peralatan menangkap ikan.

Kesemua nelayan ditahan manakala bot dan alat perikanan dirampas sebelum dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu mengendalikan vesel tanpa lesen yang sah dan Seksyen 11 (b) akta yang sama kerana memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan.

Maritim Malaysia mengingatkan kepada semua komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama.

Sebarang aduan, insiden dan kecemasan yang berlaku, orang ramai boleh melaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2023 08 03 at 10.37.17

 

WARGA INDONESIA DICEKUP BERSAMA BEG BERISI DADAH

KUALA LINGGI, 31 Julai – Seorang lelaki warga Indonesia telah berjaya ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Negeri Melaka dan Negeri Sembilan kerana cubaan menyeludup keluar lebih kurang 10 kilogram dadah dipercayai jenis syabu dengan anggaran nilai RM400 ribu ke negara jiran awal pagi Jumaat lalu.

Hasil daripada maklumat risikan mengenai kehadiran sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di perairan Tanjung Keling lebih kurang pukul 1.00 pagi 28 Julai, aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan OP MURNI atau OP TIRIS telah bergegas ke lokasi bagi melaksanakan pemantauan penguatkuasaan.

Setiba di lokasi, bot suspek dikesan berada di pesisir Pantai Kundur, Tanjung Keling. Menyedari kehadiran aset Maritim Malaysia, suspek telah memecut laju melarikandiri dari pantai tersebut dan meninggalkan seorang lelaki disyaki rakan suspek.

Hasil pemeriksaan ke atas lelaki tersebut merupakan warganegara Indonesia berusia 38tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Turut ditemui bersama suspek ialah sebuah beg pakaian berwarna merah dan hitam mengandungi tujuh bungkusan teh cina berwarna merah jenama Jin Xuan Tea, dan tiga bungkusan berwarna putih dan kesemuanya berisi ketulan mampat dadah disyaki jenis syabu.

Suspek seterusnya ditahan dan kesemua barang turut dirampas dikedudukan lebihkurang0.1 batu nautika barat daya Pantai Kundur lebih kurang pukul 2.30 pagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen5(2) AktaImigresen 1963.

 

DADAH INDO 2 
 
DADAH INDO 3

CARILAMAT | BOT TERBALIK : LIMA MANGSA SELAMAT SEORANG KANAK-KANAK DIKHUATIRI LEMAS

SANDAKAN, 1 Ogos – Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas apabila bot yang dinaiki beliau bersama lima lagi penumpang karam di 0.2 batu nautika Tanjung Batu, Sandakan petang tadi.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin bin Mohd Zuki berkata Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan pada jam 4.00 petang bagi mengesan kanak-kanak malang berkenaan di samping itu Pangkalan Hadapan CARILAMAT diwujudkan bagi mengkoordinasi pencarian tersebut.

Mangsa Romy bin Azlan, 7 tahun berbangsa Suluk dimaklumkan bersama keluarga menaiki bot terbabit dipercayai bertolak dari jeti Pulau Timbang menuju Ke Kampung Mumiang dengan membawa enam orang penumpang termasuk dua orang kanak-kanak.

Bot tersebut kemudiannya dipercayai terlanggar satu objek terapung menyebabkan ia telah hilang kawalan lalu terbalik.

Kepten Maritim Zainudin turut memaklumkan, BOT PERONDA BANGGI 14 dan BOT KILAT 8 dari Zon Maritim Sandakan telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk melaksanakan pencarian awal mangsa.

Turut membantu pencarian Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bot nelayan tempatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut diminta berhubung secara terus kepada Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Sandakan ditalian 089-229504 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah 088-387774 yang beroperasi 24 jam.

 

CARILAMAT SANDAKAN

LANGGAR SYARAT SAH LESEN, ENAM KRU ASING DITAHAN

LANGKAWI, 30 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas A di kedudukan lebih kurang 0.3 batu nautika dari Barat Laut Pulau Singa Besar lebih kurang pukul 12 tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, bot nelayan itu dikesan sedang berlabuh di perairan pulau tersebut.

Melalui pemeriksaan yang dilakukan, bot nelayan tersebut dikendalikan oleh seorang tekong bersama lima kru.

Tiga daripadanya adalah warga Thailand dan tiga lagi merupakan warga Kemboja yang kesemuanya berumur dalam lingkungan 29 hingga 55 tahun.

Hasil tangkapan bot nelayan itu dianggarkan sebanyak 500 kilogram ikan campur.

Bot dan kesemua kru ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu nama nakhoda tiada tercatat dalam buku lesen dan semua kru tidak memiliki pas lawatan kerja sementara.

Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal daripada sebarang pelanggaran undang-undang termasuk aktiviti perikanan tanpa permit, pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia dan salah laku yang lain.

Komuniti maritim setempat juga perlu bekerjasama memantau perkara ini dan melaporkan kepada Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999 untuk maklum balas segera, demi memastikan perairan negeri sentiasa aman dan selamat.

 

LANGGAR SYARAT LESEN 
 
LANGGAR SYARAT LESEN 3
 
 LANGGAR SYARAT LESEN 4

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON