10
Fri, May

MARITIM MALAYSIA RAMPAS 53 UNIT BUBU NAGA DI PERAIRAN PERAK

KUALA KURAU, 1 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Kurau telah merampas 53 unit bubu naga di kedudukan 7.4 batu nautika barat Pulau Sangga Besar, Perak pada sekitar jam 2.10 petang, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata semasa rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang, pasukan bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan pelampung yang mencurigakan disyaki penanda kepada bubu naga tersebut.

Hasil pemeriksaan ke atas pelampung itu telah menemukan sebanyak 53 unit bubu naga berada di lokasi terbabit.

Kesemua bubu naga yang dirampas telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Zon Maritim Kuala Kurau telah merampas sebanyak 45 unit bubu naga di dua lokasi berbeza di perairan Tanjung Piandang Perak pada jam sekitar 3.00 petang kelmarin.

Rampasan pertama telah dilakukan melibatkan sebanyak 20 unit bubu naga di kedudukan 1.25 batu nautika barat daya Tanjung Piandang dan selebihnya di 1.55 batu nautika barat daya perairan yang sama.

Anggaran jumlah nilai rampasan kesemua bubu naga ialah RM 6,860 dengan nilai RM 70 untuk setiap unit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 11 (3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Maritim Malaysia mengingatkan kepada semua komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama.

Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk tindakan segera.

 

BUBU NAGA KURAU 2

OP CARILAMAT | PENYEWA JETSKI HILANG KETIKA BERIADAH DITEMUKAN

GEORGETOWN, 1 April – Seorang pelancong yang menyewa jet ski untuk beriadah dan dilaporkan hilang di perairan Pulau Tikus petang semalam telah ditemukan selamat.

Mangsa Mohd Rabbila Suad bin Zainal Abidin, 50 tahun dari Simpang Ampat Pulau Pinang telah meninggalkan dompet serta dokumen pengenalan diri termasuk telefon bimbit kepada pemilik jet ski sebelum keluar beriadah.

Terdahulu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan operasi CARILAMAT pada jam 12.00 tengah malam sebaik Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang menerima maklumat daripada Balai Polis Tanjung Tokong sekitar jam 11.55 malam tadi.

Maklumat awal yang diterima sebelum ini, pengadu telah melakukan pencarian setelah menyedari jet ski yang disewa oleh mangsa sekitar jam 5.00 petang hilang dari penglihatan dan hasil pencarian yang dilakukan hanya jet ski yang disewakan ditemukan berada di laut.

Laporan polis kemudian dibuat oleh pengadu di Balai Polis Tanjung Tokong berhubung kejadian tersebut.

Menurut Pengarah Kepten Maritim Abd Razak bin Mohammed, lebih kurang jam 10.20 pagi, Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang telah mendapat panggilan daripada Balai Polis Tanjong Tokong dan memaklumkan mangsa telah ditemukan selamat dengan berenang ke pantai berhampiran Penang Swimming Club.

Mangsa berada dalam keadaan yang baik dan dibawa ke Balai Polis Tanjong Tokong untuk siasatan lanjut.

Operasi CARILAMAT telah ditamatkan pada jam 10.42 pagi dan Maritim Malaysia merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pasukan Polis Marin Batu Uban, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Agensi Pertahanan Awam (JPA) yang turut serta membantu dalam operasi CARILAMAT ini.

Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau insiden di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

 

CARILAMAT JETSKI 2

GUNA DOKUMEN MERAGUKAN, TUJUH PATI WARGA MYANMAR DITAHAN

KUALA KEDAH, 30 Mac – Empat lelaki dan tiga wanita disyaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar telah ditahan dalam satu pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah feri penumpang di kedudukan 1.08 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah pada pukul 9.45 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, hasil maklumat risikan, mereka didapati menaiki feri penumpang terbabit dalam perjalanan dari Pulau Langkawi menuju ke Kuala Kedah tanpa membawa dokumen pengenalan diri yang sah.

Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas feri berkenaan, anggota penguat kuasa mendapati mereka hanya memiliki salinan surat permohonan United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) yang meragukan memandangkan permohonan pemilikan kad terbabit telah dihentikan.

Berikutan itu, kesemua PATI terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebat tidak lebih dari enam kali sebatan, jika disabit kesalahan.

Mereka kemudiannya ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.

Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

CEROBOH PERAIRAN NEGARA, LAGI BOT NELAYAN INDONESIA DITAHAN

GEORGETOWN, 1 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang telah menahan sebuah bot nelayan asing Indonesia pada jam 12.20 tengahari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak bin Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia melakukan penahanan ke atas bot nelayan tersebut di kedudukan 43 batu nautika barat daya Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung.

Pemeriksaan awal mendapati, bot yang berpangkalan di Pantai Labu, Deli Serdang Sumatera Utara dikendalikan oleh lima kru termasuk tekong warga Indonesia yang berumur dalam lingkungan antara 13 hingga 37 tahun.

Ketika diperiksa Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Bot dan kru serta peralatan menangkap ikan disita dan ditahan seterusnya dibawa di Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.

 

NELAYAN GEORGETOWN

OP TANJUNG | GAJIKAN PATI, BOT NELAYAN DITAHAN

GEORGETOWN, 30 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan sekitar jam 12.10 tengahari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak bin Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas C dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin OP TANJUNG.

Bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Pantai Remis, Perak itu ditahan pada kedudukan 32.7 batu nautika barat laut Muka Head.

Hasil pemeriksaan mendapati, bot dikendalikan lima warga Myanmar termasuk tekong berumur dalam lingkungan 26 hingga 47 tahun yang kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta melanggar syarat sah lesen bot.

Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Bot serta kesemua kru ditahan bersama kira-kira 500 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah diberikan sebelum ini.

Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

OP TANJUNG

 

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON