PUTRAJAYA, 3 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima kunjungan hormat dari Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Ketua Pesuruhjaya RELA Lokman Effendi bin Ramli @ Zakaria bagi memperkukuh hubungan kerjasama antara kedua-dua agensi, di sini hari ini.
Kunjungan tersebut disambut oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah yang turut mengalu-alukan usaha meningkatkan kerjasama strategik antara Maritim Malaysia dan RELA.
Ketibaan beliau turut diiringi oleh Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Vincent A/L Rajamony dengan Kawalan Kehormatan Setempat (KKS) yang diadakan di perkarangan lobi utama Ibu Pejabat.
Dalam pertemuan ini, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai isu keselamatan yang perlu ditangani sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan tahap keselamatan negara berada dalam tahap terbaik selain memastikan kesiagaan anggota dan pegawai sentiasa optimum dalam menghadapi cabaran operasi.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim; Pemangku Pengarah Bahagian Sumber Manusia, Encik Abdul Malik bin Othman serta pegawai-pegawai kanan mewakili Jabatan RELA.





















.svg.png)

