SANDAKAN, 10 Ogos – Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, hari ini mengetuai lawatan tinjauan keselamatan ke Pulau Bakungan Kecil dan Pulau Selingan bersama 14 wakil dari 10 negara serta Kesatuan Eropah (EU) bagi meninjau sendiri tahap keselamatan, kesiapsiagaan agensi keselamatan dan keberkesanan kawalan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
Lawatan tersebut turut disertai Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim; Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar bin Abd. Majid @ Razali; Ketua Staf Bahagian Operasi Laut Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Laksamana Pertama Maritim Abdul Razak Mohamed; Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain, serta pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri, Maritim Malaysia dan agensi keselamatan berkaitan.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan untuk memberikan pendedahan secara langsung kepada delegasi antarabangsa mengenai situasi keselamatan semasa, tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan serta keberkesanan mekanisme kawalan yang dilaksanakan bagi memastikan ESSZONE kekal selamat, stabil dan kondusif.
Rombongan bertolak dari Jeti Maritim Malaysia, Ibu Pejabat Maritim Zon Sandakan menuju ke Pulau Bakungan Kecil sebelum meneruskan lawatan ke Pulau Selingan.
Di Pulau Bakungan Kecil, delegasi diberikan walking brief berkaitan aspek keselamatan kawasan sebelum menerima taklimat daripada Taman-Taman Sabah mengenai pengurusan kawasan perlindungan marin, usaha pemuliharaan biodiversiti dan pembangunan ekopelancongan. Rombongan turut menandatangani buku pelawat, menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada petugas serta mengadakan sesi bergambar.
Lawatan kemudiannya diteruskan ke Pulau Selingan bagi meninjau kawasan penetasan penyu serta menyaksikan pelaksanaan Program Turtle Nest Adoption, antara inisiatif pemuliharaan spesies penyu yang dilaksanakan oleh Taman-Taman Sabah. Delegasi turut menerima taklimat keselamatan dan berinteraksi dengan wakil agensi yang terlibat.
Sepanjang lawatan, delegasi turut diberi penerangan mengenai pelaksanaan rondaan bersepadu, kesiapsiagaan aset serta kerjasama strategik antara Maritim Malaysia, ESSCOM dan agensi keselamatan lain dalam memastikan keselamatan ESSZONE sentiasa berada pada tahap terbaik.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memperkukuh keselamatan dan kedaulatan negara, di samping meningkatkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap Sabah sebagai destinasi yang selamat untuk pelancongan, pelaburan dan pembangunan.
Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan, operasi penguatkuasaan dan kerjasama strategik bersama Kementerian Dalam Negeri, ESSCOM serta agensi keselamatan lain bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan Sabah Timur sentiasa terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Sandakan di talian 089-229 504 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.













.svg.png)

