Selamat datang ke laman web rasmi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia). Laman web ini bertujuan untuk memperkenalkan Maritim Malaysia kepada masyarakat umum dan sebagai salah satu saluran penyebaran maklumat berkaitan agensi dan perkhidmatan kami di arena penguatkuasaan Maritim Malaysia melalui teknologi maklumat dan komunikasi.
Adalah diharapkan melalui laman web ini, pengunjung akan dapat mengetahui fungsi dan peranan Maritim Malaysia diantaranya untuk mengawal, melindung dan menyelamat di Zon Maritim Malaysia (ZMM). Pengunjung juga akan mendapat gambaran mengenai aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh anggota-anggota agensi ini.
Sebagai pemimpin tertinggi sebuah agensi penguatkuasaan maritim di negara ini dan seiring reputasi ini, agensi sentiasa berusaha untuk memantapkan lagi segala jurang hardware, software dan humanware yang wujud supaya agensi ini dapat melaksanakan peranan ini dengan berkesan. Usaha pencegahan (preventive) yang dilaksanakan oleh Maritim Malaysia dalam mendidik komuniti maritim tentang pentingnya kepatuhan, keselamatan (safety) dan keperluan menghormati perundangan negara terus dihargai.
Adalah menjadi harapan saya supaya orang ramai dapat memahami peranan kami dalam menjaga keselamatan perairan di ZMM dengan bekerjasama dan berganding bahu menjadi mata dan telinga agar perairan kita terkawal, aman dan selamat. Laman web ini menyediakan maklumat mengenai pegawai-pegawai yang boleh dihubungi sekiranya orang ramai mempunyai maklumat yang dapat membantu kami dalam menjalankan tugas dengan lebih berkesan.
Pengunjung juga berpeluang untuk mengemukakan cadangan kepada agensi ini melalui ruangan cadangan yang disediakan. Saya mengalu-alukan sebarang cadangan yang boleh mempertingkat dan memantapkan lagi maklumat di dalam laman web ini. Sekian, selamat melayari laman web rasmi Maritim Malaysia.
Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
MARITIM MALAYSIA KONGSI KEPAKARAN PENGUATKUASAAN LAUT BERSAMA 60 PESERTA OSTEX 2026
KOTA KINABALU, 9 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berkongsi kepakaran operasi penguatkuasaan di laut bersama 60 peserta Operational Sea Training Exercise (OSTEX) East Siri 1/2026 dalam satu sesi Subject Matter Expert (SME) yang diadakan di atas KD Kedah, Pangkalan TLDM Sepanggar, baru-baru ini.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, perkongsian tersebut memberi fokus kepada pemindahan ilmu praktikal dan kefahaman menyeluruh berkaitan pelaksanaan penguatkuasaan maritim.
“Pendekatan ini membolehkan peserta memahami secara langsung aspek penguatkuasaan di laut termasuk prosedur, risiko dan tindakan yang perlu diambil secara profesional serta mematuhi undang-undang,” katanya.
Menurut beliau lagi, penglibatan pegawai dan anggota berpengalaman sebagai SME memberi nilai tambah kepada latihan apabila peserta didedahkan dengan situasi sebenar operasi di lapangan.
Sesi berkenaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Keselamatan Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Leftenan Maritim Mohd Shahril Samsudin bersama beberapa anggota berpengalaman yang berkongsi aspek perundangan, prosedur operasi standard (SOP) serta teknik penggeledahan vesel.
Antara pengisian utama termasuk pemeriksaan keselamatan sebelum penggeledahan, kaedah mengenal pasti ancaman serta taktik operasi di kawasan berisiko tinggi.
Peserta turut didedahkan dengan pengendalian situasi kecemasan, prosedur pemeriksaan tubuh serta penggunaan kekerasan secara berhemah selaras dengan garis panduan operasi semasa.
Perkongsian ini dilihat memperkukuh tahap pengetahuan dan kemahiran peserta OSTEX, sekali gus meningkatkan kecekapan pelaksanaan operasi di laut secara lebih tersusun, selamat dan berkesan.
Dalam masa sama, inisiatif tersebut turut memperkukuh peranan Maritim Malaysia sebagai agensi penguatkuasaan utama negara dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara terus terpelihara.