10
Wed, Jun

30 SET BUBU NAGA DIRAMPAS DI PERAIRAN PULAU TALANG

LUMUT, 7 NOVEMBER – Maritim Negeri Perak merampas sebanyak 30 set bubu naga atau bubu kamban di kedudukan sekitar 0.4 batu nautika dari timur laut Pulau Talang, Perak pada jam 12.55 tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, bubu yang berukuran kira-kira 10 meter panjang setiap satu itu didapati dipasang secara berangkai telah dikesan Maritim Malaysia ketika sedang melaksanakan rondaan rutin dengan penemuan bendera yang mencurigakan di lokasi berkenaan.

Tinjauan secara dekat oleh anggota bot ronda Maritim Malaysia mengesahkan, bendera yang terapung di permukaan air itu diikat pada pancang kayu adalah sebagai penanda bubu naga yang dipasang oleh individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai hampir tiga ribu ringgit itu dirampas dan kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Maritim Negeri Perak menegaskan akan menggandakan rondaan dan terus membuat rampasan ke atas bubu naga serta tidak akan berkompromi dalam mengenakan tindakan ke atas pesalah yang melakukan aktiviti menyalahi undang-undang ini.

Orang ramai diseru agar terus berkongsi maklumat bagi sebarang pelanggaran undang-undang di laut dengan menyalurkannya ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk maklum balas segera.

 

BUBU TALANG 2
 
BUBU TALANG
 
BUBU TALANG 4

BOT TUNDA BEROPERASI TANPA NAKHODA YANG SAH. DITAHAN DI PERAIRAN BINTULU

BINTULU, 7 NOVEMBER  – Zon Maritim Bintulu telah menahan sebuah bot tunda di kedudukan 2.6 batu nautika barat laut Kuala Kemena, Bintulu pada jam sekitar 09.30 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah berkata, penahanan itu dibuat oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam OP PERMAI 01/2019 dan OP TIRIS 3.0 ketika memeriksa bot tunda berwarna putih yang sedang merapat di sisi sebuah tongkang yang membawa muatan kontena.

Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot tunda itu dikendalikan oleh dua kru warga tempatan termasuk nakhoda, tiga kru warga Indonesia, tiga kru warga Myanmar dan dua kru warga india di mana kesemua mereka dalam lingkungan umur 19 hingga 56 tahun.

Bot tunda itu disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu tidak memaklumkan secara bertulis kepada Pendaftar Kapal berhubung pertukaran nakhoda dalam sijil pendaftaran kapal yang memperuntukan hukuman kompaun sebanyak RM2,500.

Bot tunda berserta kru ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia mengingatkan agar semua komuniti maritim agar sentiasa mematuhi segala peraturan atau undang-undang serta mengamalkan prosedur keselamatan di laut bagi mengelakkan serta mengurangkan risiko insiden yang tidak diingini berlaku.

Sebarang maklumat, aduan serta insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke talian kecemasan NG 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) untuk maklum balas segera.

 

BINTULU MSO
 
BINTULU MSO 2

ZON MARITIM MIRI TAHAN DUA BOT TUNDA ATAS KESALAHAN ORDINAN PERKAPALAN SAUDAGAR 1952

MIRI, 6 NOVEMBER – Zon Maritim Miri menahan dua bot tunda secara berasingan pada jarak sekitar 3.5 batu nautika barat daya, Kuala Baram hari ini.

Pengarah Zon Maritim, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, kedua-dua vesel ditahan pada pukul 10.30 pagi dan 11.05 pagi semasa pasukan bot ronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan OP PERMAI 01/2019 dan OP TIRIS 3.0 di perairan Miri siang tadi.

Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua vesel berkenaan dikendalikan oleh enam kru terdiri daripada seorang warga tempatan, empat warga Indonesia dan seorang warga India yang berusia dalam lingkungan antara 22 hingga 59 tahun di mana masing-masing didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Kedua-dua vesel bersama kru telah diiring ke Jeti Pusat Tahan Vesel (PTV) Pulau Melayu untuk tindakan lanjut. Les disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu gagal mengemukakan dokumen pertukaran nakhoda semasa pemeriksaan dilakukan.

Maritim Malaysia terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang di perairan negara dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang ingkar.

Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim (PUSOP) Zon Maritim Miri di talian 085-649 111 / PUSOP Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544/ 082-432016 untuk maklum balas segera.

 

SWK MSO 2
 
SWK MSO 3
 
SWK MSO 4

GAGAL SELUDUP KELUAR PETROL KE NEGARA JIRAN, SEORANG WARGA TEMPATAN DITAHAN

KUALA PERLIS, 6 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis telah menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) tanpa nombor pendaftaran di kedudukan 1.09 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis, lewat petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain berkata, bot ronda Zon Maritim Kuala Perlis yang sedang melakukan rondaan OP AMAN dan OP TIRIS di sekitar perairan Perlis telah menghampiri sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit yang berpengkalan di Perlis itu menggunakan alasan membawa bekalan minyak petrol untuk kegunaan sendiri.

Namun setelah diperiksa, dianggarkan lebih 600 liter minyak petrol iaitu 16 tong hitam yang dianggarkan 20 liter setiap tong, tiga tong biru yang dianggarkan 30 liter setiap tong dan satu tong putih yang dianggarkan 200 liter telah dimiliki suspek.

Ketika ditahan, bot yang dikemudikan seorang tekong warga tempatan berumur 26 tahun itu disyaki sedang melakukan aktiviti menyeludup keluar minyak petrol.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan, Seksyen 8 (a), Akta Perikanan 1985 iaitu mana-mana orang yang mengusahakan apa-apa aktiviti penangkapan ikan, mengendali, atau membenar dikendalikan, di perairan perikanan Malaysia apa-apa vesel penangkapan ikan tempatan bagi maksud menangkap ikan tanpa lesen yang sah serta Seksyen 49, Akta Kastam 1967 iaitu larangan membawa barang berduti dalam vesel tempatan.

Jelas beliau lagi, kesemua hasil tangkapan yang dianggarkan lebih RM70 ribu bersama-sama seorang suspek diiringi ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Modus operandi penyeludup ialah menggunakan stesen-stesen minyak tempatan untuk mengisi petrol dalam lingkungan yang maksimum dan menggunakan kenderaan yang berbeza ketika melakukan pengisian minyak.

Maritim Malaysia meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian kecemasan 999 untuk maklumbalas segera.

 

KPERLIS SELUDUP 2
 
KPERLIS SELUDUP 3
 
KPERLIS SELUDUP 4
 
KPERLIS SELUDUP 5

CEROBOH PERAIRAN MALAYSIA, DUA WARGA THAILAND DITAHAN

KUALA PERLIS, 5 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis telah menahan sebuah vesel nelayan asing (VNA) tanpa nombor pendaftaran di kedudukan 3.6 batu nautika dari barat daya Kuala Perlis, Perlis pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain berkata, bot ronda Zon Maritim Kuala Perlis yang sedang melakukan rondaan OP AMAN di sekitar perairan Perlis telah menghampiri sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit yang berpengkalan di negara jiran masih menggunakan alasan yang sama iaitu mempunyai saudara mara di sempadan menyebabkan mereka bebas untuk memasuki dan keluar dari negara.

Ketika ditahan, bot yang dikemudikan seorang tekong dan seorang awak - awak warga Thailand berumur 26 dan 43 tahun itu disyaki sedang melakukan aktiviti memukat udang lipan.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 15 (1) (a) iaitu menangkap ikan dan sebagainya oleh vesel penangkapan ikan asing di perairan perikanan Malaysia tertakluk kepada subseksyen (2) iaitu menangkap ikan atau cuba menangkap ikan dan Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 (1) (c) iaitu tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.

Dalam kejadian berasingan, Zon Maritim Kuala Perlis turut berjaya merampas 20 set bubu naga di kedudukan 0.79 batu nautika dari barat pesisir pantai Kuala Sanglang, Perlis, kelmarin.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 ,Seksyen 11 (3) (c) iaitu memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Jelas beliau lagi, kesemua hasil tangkapan dan rampasan yang dianggarkan lebih RM20 ribu bersama-sama dua suspek diiringi ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian kecemasan 999 untuk maklumbalas segera.

 

THAI CEROBOH PERLIS
 
THAI CEROBOH PERLIS 3
 
THAI CEROBOH PERLIS 4
 
THAI CEROBOH PERLIS 5

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON