08
Tue, Sep

MONSUN TIMUR LAUT | MRSC KOTA KINABALU LAKSANA PREVENTIVE SAR DEMI KESELAMATAN KOMUNITI MARITIM

KOTA KINABALU, 20 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kota Kinabalu, telah melaksanakan program hebahan 'Preventive SAR' terhadap komuniti maritim di sekitar perairan Sabah, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik berkata, aset Maritim Malaysia iaitu BOT KILAT 39 telah diatur gerak untuk melaksanakan hebahan tersebut sebagai langkah waspada dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Dalam hebahan itu, komuniti maritim telah diberi taklimat mengenai kepentingan memakai jaket keselamatan, menyemak keadaan cuaca, penggunaan Personal Locator Beacon (PLB) dan memeriksa keadaan vesel atau bot sebelum turun ke laut.

Turut diedarkan ialah pelekat yang tertera talian kecemasan 999 dan Pusat Operasi Maritim Negeri sebagai rujukan sekiranya berlaku sebarang insiden ketika berada di laut.

Secara keseluruhannya, program ini dilihat telah mendapat sambutan yang positif daripada golongan sasar seperti pengendali bot dan kapal, pelancong serta penduduk setempat.

MRSC Kota Kinabalu akan meneruskan program seperti ini di lokasi lain pada masa hadapan dan sebarang kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 088-387774 / 088-387776 / 010-3393442.

 

MTL SABAH
 
MTL SABAH 2
 
MTL SABAH 5
 
MTL SABAH 4

SEPULUH WARGA ASING DITAHAN TANPA PERMIT SAH

PULAU PINANG, 20 NOVEMBER – Maritim Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan dua tangkapan berasingan terhadap pekerja asing tanpa izin (PATI) di beberapa buah sangkar ikan di perairan Batu Kawan, baru-baru ini.

Pengarahnya, Kepten Maritim Razali bin Kasim berkata, pemeriksaan pertama yang telah dilakukan pada sebelah pagi oleh aset Maritim Malaysia mendapati, terdapat dua pekerja warga Myanmar gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ditahan di salah sebuah sangkar ikan yang diserbu anggota penguat kuasa.

Dalam masa sama, sebuah lagi aset Maritim Malaysia telah melakukan tangkapan terhadap lapan pekerja asing sangkar ikan yang berada di kedudukan 1.4 batu nautika selatan Pulau Aman, di mana kesemuanya juga warga Myanmar dengan kesalahan yang serupa.

Kesemua yang ditahan adalah dalam lingkungan umur 20 hingga 44 tahun disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa memiliki dokumen yang sah.  

Kesemua mereka kini telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

 

PATI PENANG 2

MARITIM MALAYSIA TAHAN BOT PENUMPANG JADI RUNNER MINYAK

TAWAU, 18 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau telah berjaya menahan sebuah bot penumpang disyaki 'runner minyak’ yang membawa muatan bahan api jenis petrol dan diesel tanpa sebarang permit dalam kejadian awal pagi Sabtu lalu.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan bin Raman berkata, berdasarkan maklumat risikan, pihaknya telah mengesan aktiviti penyeludupan barang kawalan secara haram di lokasi yang telah dikenalpasti.

Tambah beliau, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan OP PLUTO TIMUR dan OP TIRIS telah diatur gerak bagi memintas sebuah bot penumpang yang bergerak laju di kedudukan 2.5 batu nautika selatan Sungai Kinabutan pukul 12.30 pagi pada hari kejadian.

Pemeriksaan ke atas bot penumpang yang dikendali oleh seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun itu menemukan 13 gelen petrol dan tujuh gelen diesel anggaran 500 liter dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang permit kebenaran.

Bot bersama juragan serta muatan tersebut dirampas seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen JPDS 2002.

Kesemua barangan termasuk bot penumpang, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM25 ribu.

Sementara itu Shahrizan turut memaklumkan, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan membawa barang kawalan tersebut dalam kuantiti yang kecil secara berulang dengan menjalankan aktiviti berkenaan pada lewat malam bagi mengelakkan dikesan oleh penguat kuasa.

Berikutan kejayaan berkenaan, beliau memaklumkan pihaknya akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau.

Maritim Malaysia memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan, justeru aset-aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi.

Sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut, salurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau dengan menghubungi talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

 

RUNNER MINYAK

 

 

MARITIM NEGERI KELANTAN GAGALKAN DUA CUBAAN SELUDUP 800,000 BATANG ROKOK PUTIH

PASIR PUTEH, 18 NOVEMBER – Maritim Negeri Kelantan telah berjaya menggagalkan dua cubaan menyeludup kira-kira 800,000 batang rokok putih dengan anggaran nilai RM300 ribu di perairan Tumpat dan Kuala Besar,Kelantan.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah bin Soahdi berkata, bagi tangkapan pertama, cubaan menyeludup rokok menggunakan sebuah bot pancung berjaya dikesan hasil dari maklumat risikan kira-kira pukul 4.00 pagi Jumaat lalu.

Bot pancung tanpa nombor pendaftaran itu dikesan bergerak dalam keadaan laju dan mencurigakan di muara Sungai Tumpat sebelum bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran bot peronda Maritim Negeri Kelantan.

Bot Peronda Maritim bertindak mengejar bot pancung berwarna biru tersebut hampir 20 minit sehingga memasuki kawasan hutan bakau dan penyeludup telah bertindak merempuh pokok bakau di kawasan tersebut.

Bot pancung tersebut seterusnya berjaya ditahan di kedudukan kira-kira 5 batu nautika dari Muara Pengkalan Kubor lebih kurang pukul 4.20 pagi namun suspek telah berjaya meloloskan diri dipercayai melarikan diri ke dalam hutan paya bakau berhampiran.

Keadaan air surut, gelap dan berlumpur menyukarkan pasukan operasi mengeluarkan bot pancung bersama muatan yang terkandas itu untuk dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan bagi tindakan lanjut.

Bot pancung yang membawa 51 peti yang mengandungi lebih 500,000 batang rokok putih bersama tiga enjin 200 kuasa kuda setiap satu telah dirampas.

Maklumat risikan juga telah membawa kepada kejayaan tangkapan kedua dimana 28 peti yang mengandungi kira-kira 300,000 batang rokok putih berjaya dirampas lebih kurang jam 12.30 pagi hari ini.

Rampasan dilakukan oleh sebuah bot peronda agensi yang diatur gerak ke lokasi tangkapan sejurus mendapat maklumat dari unit risikan dimana anggota operasi mendapati kesemua peti rokok tersebut ditinggalkan suspek di tebing sebuah sungai berdekatan dengan Pulau Gagak, Kuala Besar, Kelantan.

Hasil keseluruhan rampasan bagi kedua-dua tangkapan dianggarkan bernilai kira-kira RM600 ribu. Kes akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

 

SELUDUP ROKOK
 
ROKOK SANDAKAN 6
 
SELUDUP ROKOK 2
 
ROKOK SANDAKAN 4

 

 

MARITIM MALAYSIA RAMPAS 30,000 BATANG ROKOK PUTIH TIDAK BERCUKAI

SANDAKAN, 18 NOVEMBER – Zon Maritim Sandakan merampas 30 ribu batang rokok putih tidak bercukai di atas sebuah vesel tanpa nombor pendaftaran berhampiran Pulau Tigowis baru-baru ini.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, rampasan itu dibuat oleh anggota penguat kuasa Maritim Malaysia dalam OP PLUTO TIMUR / OP KHAS CEGAH PATI (OCP) dan OP TIRIS yang telah mengesan sebuah vesel dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 1.3 batu nautika Timur Laut Pulau Tigowis.

Berikutan itu, pasukan operasi Maritim Malaysia kemudiannya mengejar dan merapat di vesel berkenaan untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan ke atas vesel tersebut menemukan, sebanyak 30 ribu batang rokok putih yang tidak bercukai disyaki dibawa masuk dari negara jiran.

Seorang lelaki bukan warga tempatan dipercayai tekong vesel terbabit berumur 31 tahun telah diperiksa dan didapati tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah.

Nilai rampasan termasuk rokok, enjin sangkut dan bot dianggarkan berjumlah lebih RM13 ribu.

Kesemua rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia, kes di siasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana membawa barang larangan tanpa permit yang sah dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 kerana gagal mempamerkan lesen vesel yang sah.

 

ROKOK SANDAKAN 3
 
ROKOK SANDAKAN 2

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON