KOTA KINABALU, 22 OKTOBER – Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah menahan sebuah bot pukat tunda yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di kedudukan 1.2 batu nautika Barat Laut Tanjung Kunit, Pulau Usukan, Sabah baru-baru ini.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik memaklumkan bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rutin operasi rondaan telah menahan sebuah bot pukat tunda hasil daripada pemantauan yang dilakukan berterusan dan laporan yang diterima daripada Pusat Pengawasan Laut Maritim Negeri Sabah (SWASLA).
Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut telah melanggar syarat sah lesen kerana menunda di bawah 3 batu nautika.
Pemeriksaan seterusnya mendapati juragan bersama lapan orang awak-awak warganegara Indonesia turut melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti menangkap ikan jarak kurang dari 12 batu nautika seperti yang dibenarkan dalam syarat sah lesen.
Bot beserta ikan campur yang dianggarkan lebih kurang 700kg telah ditahan bersama- sama kru bot seterusnya diiring ke Jeti Maritim Malaysia, Sepanggar untuk siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.6 juta.
Datuk Che Engku Suhaimi turut memaklumkan, SWASLA sering memantau kawasan tumpuan di mana aktiviti ini sering dilakukan oleh bot-bot nelayan yang ingkar dan telah mengabaikan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
Bagi mengekang aktiviti ini daripada berleluasa, beliau menyeru kepada orang awam terutamanya komuniti maritim untuk terus menyalurkan sebarang maklumat sekiranya terdapat apa-apa aktiviti yang mencurigakan melalui saluran yang betul untuk tindakan segera.
Sebarang maklumat dan aduan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-270165 atau talian kecemasan 999 bagi maklumbalas segera.









