PUTRAJAYA, 10 APRIL – Satu majlis penuh istiadat dan bermakna telah berlangsung di Auditorium, Ibu Pejabat Maritim Malaysia hari ini sempena pemakaian pangkat Laksamana Pertama Maritim kepada Kepten Maritim Mohd Khairulanuar bin Abd Majid @ Razali.
Majlis telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli bin Abdullah, dan disaksikan oleh barisan pengurusan tertinggi termasuk Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim serta seluruh warga agensi yang turut menyaksikannya secara fizikal dan dalam talian dari seluruh negara.
Dalam ucapannya, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli menegaskan bahawa penganugerahan pangkat ini adalah pengiktirafan atas kecemerlangan dan komitmen pegawai yang telah menunaikan amanah dengan penuh integriti.
“Semoga Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar terus memainkan peranan penting dalam memacu misi dan visi agensi ke tahap lebih cemerlang, termasuk ke persada antarabangsa,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat yang sentiasa menjadi tulang belakang kejayaan pegawai.
Dalam majlis tersebut, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar turut merakamkan ucapan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan agensi.
“Segala pencapaian ini tidak akan tercapai tanpa doa kedua ibu bapa saya. Sesungguhnya, kenaikan pangkat ini adalah suntikan semangat untuk berkhidmat dengan lebih baik. Seperti kata pepatah — ‘With great power comes great responsibility’,” katanya penuh semangat.
Beliau kini bakal menyandang jawatan sebagai Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Seluruh warga Maritim Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas atas penganugerahan pangkat ini. Semoga terus maju jaya dalam memikul amanah menjaga kedaulatan maritim negara.













