25
Sat, Jul

MARITIM MALAYSIA PERKUKUH PEMANTAUAN PERAIRAN, ORANG RAMAI DINASIHATKAN TIDAK MENYEBARKAN MAKLUMAT BELUM DISAHKAN

KUALA KEDAH, 21 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis mengambil maklum mengenai penyebaran mesej tular di media sosial yang mendakwa terdapat beberapa bot cuba menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Rohingya melalui pesisir pantai Kuala Muda, Kuala Kedah, Yan dan Pulau Pinang.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya. Penyebaran maklumat yang tidak tepat bukan sahaja boleh mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat, malah berpotensi mengganggu usaha pemantauan, risikan dan penguatkuasaan yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, Maritim Malaysia sentiasa memandang serius setiap maklumat yang diterima berkaitan ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

"Setiap maklumat yang diterima akan dinilai, disemak dan disahkan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil. Orang ramai diminta mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta tidak menyebarkan dakwaan yang belum dipastikan kesahihannya kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa mempertingkat tahap kesiapsiagaan operasi melalui rondaan berterusan, pemantauan berasaskan risikan serta kerjasama strategik bersama agensi-agensi keselamatan lain bagi membanteras sebarang cubaan pencerobohan atau kemasukan PATI melalui laluan laut.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang mengancam keselamatan dan kedaulatan perairan negara. Setiap maklumat risikan akan disusuli dengan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya bagi memastikan sempadan maritim negara sentiasa terkawal, selamat dan terpelihara," tambah beliau.

Dalam masa yang sama, masyarakat pesisir pantai, komuniti nelayan serta pengguna laut diseru agar terus memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut atau kawasan pesisir.

Maritim Malaysia turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap individu yang disyaki melakukan kesalahan. Sebarang tindakan penguatkuasaan, termasuk menahan atau menangkap individu, hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa.

Sebaliknya, maklumat hendaklah disalurkan segera melalui saluran rasmi Maritim Malaysia atau agensi keselamatan berkaitan supaya tindakan pengesahan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan cepat, berkesan dan selamat.

VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C DITAHAN DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN PERIKANAN

LUMUT, 21 Julai – Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Perak menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C bersama empat nelayan warga Thailand termasuk seorang tekong kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel berkenaan ditahan pada kedudukan kira-kira 11.8 batu nautika barat Pulau Talang, Perak sekitar pukul 9.00 pagi semalam ketika dikesan sedang menjalankan aktiviti perikanan oleh kapal ronda Maritim Malaysia yang melaksanakan rondaan rutin menerusi Op Sayong/Op Khas Tanjung 2 dan Op Tiris di perairan negeri Perak.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh seorang tekong bersama tiga kru warga Thailand yang berumur antara 28 hingga 44 tahun.

"Hasil semakan dokumen mendapati vesel berkenaan disyaki melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai serta menggunakan pukat yang mempunyai saiz mata kurang daripada 38 milimeter," katanya.

Kesemua nelayan terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan, manakala vesel, hasil tangkapan ikan dianggarkan seberat 150 kilogram serta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan kepada komuniti nelayan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan syarat-syarat lesen yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil.

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN 15 PATI KELUAR NEGARA MELALUI LALUAN TIDAK DIWARTAKAN

PORT DICKSON, 20 Julai – Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 15 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), termasuk seorang tekong, melalui laluan laut yang tidak diwartakan dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Port Dickson, malam semalam.

Timbalan Pengarah Operasi yang menjalankan tugas Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Norrimi bin Hassan berkata, hasil maklumat pengesanan radar daripada Sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA) Lumut membawa kepada kejayaan Maritim Malaysia menahan kegiatan penyeludupan migran yang dikesan masih aktif menggunakan laluan laut bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa.

Tambahnya, kira-kira jam 9.00 malam pada 19 Julai, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Murni dan Op Tiris mengesan sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan kira-kira 10 batu nautika ke barat Tanjung Tuan, Negeri Sembilan.

Bot berkenaan diarahkan berhenti untuk tujuan pemeriksaan, namun tekong bertindak memecut laju dan cuba meloloskan diri daripada diperiksa. Anggota Maritim Malaysia kemudian melaksanakan tindakan pengejaran sebelum berjaya memintas dan menahan bot tersebut. Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa seramai 15 individu berusia antara 20 hingga 47 tahun, terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita warganegara Indonesia serta tiga lelaki warganegara Bangladesh.

Semakan awal juga mendapati lima individu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan, manakala 10 lagi memiliki pasport tetapi dipercayai tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia sebelum cuba keluar dari negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan.

Menurut beliau, modus operandi sindiket adalah menggunakan bot pancung untuk membawa keluar PATI melalui laluan laut yang sukar dikesan bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa. Kesemua PATI bersama seorang tekong serta sebuah bot pancung telah ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan migran dan akan terus memperhebat rondaan serta operasi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN VIETNAM CEROBOH PERAIRAN BINTULU, DISYAKI TANGKAP IKAN SECARA HARAM

BINTULU, 20 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Zon Maritim Bintulu menahan sebuah Vesel Nelayan Asing (VNA) Vietnam yang disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Malaysia, kira-kira 95 batu nautika di barat laut Tanjung Kidurong pada 18 Julai lalu.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, penahanan dilakukan sekitar jam 12.50 tengah hari hasil maklumat risikan dan tindakan pantas aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op TIRIS 4.0, Op PERMAI 01/2019 dan Op NAGA.

Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh tujuh kru warga Vietnam termasuk nakhoda, berusia antara 30 hingga 52 tahun.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati vesel tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a), Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Menurut beliau, jika disabitkan kesalahan, pemilik vesel boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta, manakala setiap kru boleh dikenakan denda sehingga RM100,000.

Vesel bersama tujuh kru terbabit kemudian ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Muhammad Suffian berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan serta penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti pencerobohan dan perikanan haram yang mengancam kelestarian sumber marin serta kedaulatan Zon Maritim Malaysia.

Beliau turut menggesa komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa serta segera menyalurkan maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999, Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di talian 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 untuk tindakan segera.

MARITIM MALAYSIA SELAMATKAN KRU KAPAL LNG DALAM OPERASI MEDEVAC

BINTULU, 16 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Zon Bintulu berjaya melaksanakan operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) terhadap seorang kru kapal dagang gas asli cecair (Liquefied Natural Gas– LNG) yang mengalami simptom apendisitis pada kedudukan kira-kira 15 batu nautika barat laut Tanjung Kidurong, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching menerima emel daripada Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya berhubung permohonan bantuan kecemasan bagi memindahkan seorang kru kapal yang memerlukan rawatan perubatan segera.

Susulan itu, aset Maritim Malaysia, KILAT 44, yang sedang melaksanakan rondaan operasi telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi MEDEVAC dengan segera.

Sebaik tiba di lokasi, anggota Maritim Malaysia telah memberikan bantuan awal kecemasan sebelum mangsa dipindahkan ke bot ronda Maritim Malaysia untuk dibawa ke jeti berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Mangsa dikenali sebagai John Michael, 28 tahun, warganegara Filipina, sebelum diserahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pelabuhan Bintulu dan seterusnya dibawa menaiki ambulans ke Hospital Kemena untuk menerima rawatan.

Menurut beliau, kejayaan operasi itu membuktikan kesiapsiagaan aset dan anggota Maritim Malaysia dalam memberikan tindak balas pantas terhadap sebarang kecemasan di laut, khususnya yang membabitkan keselamatan nyawa komuniti maritim.

Beliau turut menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut serta segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang insiden kecemasan.

Maritim Malaysia akan terus komited memperkukuh keupayaan operasi mencari dan menyelamat serta bantuan kecemasan maritim bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan komuniti maritim sentiasa terpelihara.

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON