MIRI, 21 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah mengadakan Program Semarak Kasih Ramadhan di Pusat Jagaan Anak Kesayangan Kami (PJAKK) di Pujut, Miri semalam.
Program dimulai dengan aktiviti gotong royong warga ZMM membersih kawasan sekitar bangunan, seterusnya menyediakan juadah berbuka puasa kepada penghuni PJAKK.
Pengarah Zon Maritim Miri Kepten Maritim Mohd Shafie bin Haji Paing berkata, kesedaran membantu serta menjaga kebajikan anak- anak yatim dan golongan asnaf wajar dipupuk dan dijadikan budaya masyarakat, sejajar dengan konsep Aspirasi Keluarga Malaysia.
Sumbangan kepada PJAKK telah disampaikan melalui Penyelia PJAKK Puan Syakirah binti Husin.
Program seperti ini wajar diteruskan pada masa hadapan agar ianya dapat mendidik rasa keperihatinan kepada golongan anak-anak yatim dan asnaf.
LAWATAN KERJA RASMI YBHG. KETUA PENGARAH MARITIM MALAYSIA KE IBU PEJABAT MARITIM NEGERI PAHANG DAN MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC) 2021
KUANTAN, 21 April - Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Dato’ Mohd Zubil Bin Mat Som, buat julung kalinya telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang seterusnya menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2021.
Ketibaan Yang Berbahagia Dato’Ketua Pengarah Maritim Malaysia disambut dengan Kawalan Kehormatan Setempat Alpha (KKS (A)) dan diiringi oleh Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Bin Jusoh.
Sepanjang lawatan, beliau turut menyampaikan nasihat dan amanat agar warga Maritim Negeri Pahang sentiasa mengekalkan tahap disiplin yang tinggi dari semua aspek dan berintegriti serta bertanggungjawab sepanjang menjalankan tugas yang diamanahkan.
Turut hadir bersama ialah Yang Berbahagia Laksamana Madya Maritim Dato’ Kamaruszaman Bin Haji Abu Hassan, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) dan Yang Berbahagia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik).
Seramai 19 pegawai serta anggota telah disenarai sebagai penerima APC tahun 2021 dan majlis penyampaian anugerah telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Ketua Pengarah Maritim Malaysia.
MAJLIS BERBUKA PUASA DAN PENYAMPAIAN ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC) BERSAMA KETUA PENGARAH APMM
PELABUHAN KLANG–Ketua Pengarah Laksamana (M) Dato Mohd Zubil Bin Mat Som, Telah Menghadiri majlis berbuka puasa, solat terawih dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada anggota Maritim Negeri Selangor di perkarangan ibu pejabat Maritim Negeri Selangor.
Majlis anjuran Maritim Negeri Selangor ini turut dihadiri pegawai-pegawai tinggi Maritim Malaysia, Pengarah Maritim Negeri Selangor, serta warga Maritim Negeri Selangor.
Para tetamu turut menunaikan solat magrib,isyak dan solat sunat terawih berjemaah yang diimamkan oleh Kepten (M) Nik Kamaruddin bin Nik Yunoh.
MAJLIS BERBUKA PUASA, PROGRAM ‘SEMBANG MOREH’ DAN PENYERAHAN SUMBANGAN RAYA
KUANTAN, 21 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Pahang dan Pos Maritim Teluk Gading telah mengadakan majlis berbuka puasa, program ‘Sembang Moreh’ dan penyerahan sumbangan raya bersama komuniti maritim dengan jayanya.
Majlis berbuka puasa dan solat sunat tarawih secara berjemaah telah diadakan di Pos Maritim Teluk Gading yang telah dihadiri oleh Timbalan Pengarah Operasi Negeri, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain serta pegawai dan anggota SAR Maritim Negeri Pahang.
Seterusnya, program ‘Sembang Moreh’ telah diadakan bersama 20 orang wakil dari Persatuan Nelayan Kawasan, nelayan-nelayan bot fiber dan tradisional.
Antara pengisian program adalah meningkatkan kesedaran dan kepentingan mengenai keselamatan di laut dalam kalangan komuniti maritim dan mengenai isu-isu penguatkuasaan, edaran poster dan pelekat hotline.
Program juga turut diadakan sesi penyerahan cenderahati dan sumbangan Ramadhan kepada komuniti maritim oleh Timbalan Pengarah Operasi Negeri.
MARITIM SELANGOR TERIMA LAWATAN SAMBIL BELAJAR DARI KOLEJ KEMAHIRAN TINGGI MARA MELAKA
KLANG, 21 April - Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor menerima lawatan sambil belajar daripada pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan dalam bidang Automotif, Polimer Komposit, Plastik dan Seramik pada 10.30 pagi semalam .
Satu taklimat mengenai peranan dan fungsi utama Maritim Malaysia dalam menguatkuasakan undang-undang di zon Maritim Malaysia diberikan kepada pelajar kolej seramai 4 orang bersama 3 orang pensyarah mereka.
Sesi lawatan ke hovercraft turut diadakan dan lawatan diakhiri dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderahati dari wakil pelajar kolej.
MARITIM MALAYSIA KONGSI KEPAKARAN PENGUATKUASAAN LAUT BERSAMA 60 PESERTA OSTEX 2026
KOTA KINABALU, 9 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berkongsi kepakaran operasi penguatkuasaan di laut bersama 60 peserta Operational Sea Training Exercise (OSTEX) East Siri 1/2026 dalam satu sesi Subject Matter Expert (SME) yang diadakan di atas KD Kedah, Pangkalan TLDM Sepanggar, baru-baru ini.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, perkongsian tersebut memberi fokus kepada pemindahan ilmu praktikal dan kefahaman menyeluruh berkaitan pelaksanaan penguatkuasaan maritim.
“Pendekatan ini membolehkan peserta memahami secara langsung aspek penguatkuasaan di laut termasuk prosedur, risiko dan tindakan yang perlu diambil secara profesional serta mematuhi undang-undang,” katanya.
Menurut beliau lagi, penglibatan pegawai dan anggota berpengalaman sebagai SME memberi nilai tambah kepada latihan apabila peserta didedahkan dengan situasi sebenar operasi di lapangan.
Sesi berkenaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Keselamatan Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Leftenan Maritim Mohd Shahril Samsudin bersama beberapa anggota berpengalaman yang berkongsi aspek perundangan, prosedur operasi standard (SOP) serta teknik penggeledahan vesel.
Antara pengisian utama termasuk pemeriksaan keselamatan sebelum penggeledahan, kaedah mengenal pasti ancaman serta taktik operasi di kawasan berisiko tinggi.
Peserta turut didedahkan dengan pengendalian situasi kecemasan, prosedur pemeriksaan tubuh serta penggunaan kekerasan secara berhemah selaras dengan garis panduan operasi semasa.
Perkongsian ini dilihat memperkukuh tahap pengetahuan dan kemahiran peserta OSTEX, sekali gus meningkatkan kecekapan pelaksanaan operasi di laut secara lebih tersusun, selamat dan berkesan.
Dalam masa sama, inisiatif tersebut turut memperkukuh peranan Maritim Malaysia sebagai agensi penguatkuasaan utama negara dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara terus terpelihara.