01
Mon, Jun

KAPAL KARGO TEMPATAN GAGAL KEMUKA DOKUMEN DITAHAN

MIRI, 1 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah menahan sebuah kapal kargo tempatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, kapal berkenaan telah ditahan oleh aset Maritim Malaysia sekitar pukul 5.05 petang semalam di kedudukan kira-kira 1.8 batu nautika barat laut Kuala Lawas.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan gagal mengemukakan dokumen stabiliti kapal semasa pemeriksaan dijalankan, yang merupakan satu kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, kapal tersebut dikendalikan oleh sembilan kru, terdiri daripada seorang warga tempatan, empat warga Indonesia dan empat warga Myanmar, yang kesemuanya berumur antara 21 hingga 56 tahun,” katanya.

Tambah beliau, susulan kesalahan yang dikesan, perintah tahanan telah dikeluarkan dan master bersama seorang kru telah diiring kemudian diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara serta memastikan komuniti maritim mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-649111 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 / 082-432016 untuk tindakan segera.

MIRI KARGO2

MARITIM MALAYSIA TAHAN DUA BOT LAKUKAN KESALAHAN DI PERAIRAN TAWAU

TAWAU, 26 FEBRUARI – Dua bot ditahan dalam tempoh kurang sejam oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau dalam operasi awal pagi tadi selepas dikesan melanggar syarat lesen serta membawa muatan tanpa permit sah.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, tindakan berkenaan dilaksanakan oleh sepasukan penguat kuasa Maritim Malaysia ketika menjalankan OP SEJAHTERA, OP PLUTO TIMUR dan OP TIRIS di perairan selatan Batu 3, Tawau.

Kata beliau, tangkapan pertama dilakukan kira-kira pukul 2.00 pagi melibatkan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang dikesan menunda pukat pada jarak kurang daripada dua batu nautika dari daratan, iaitu kira-kira 1.7 batu nautika selatan Batu 3.

Pemeriksaan awal mendapati, empat kru lelaki warga Indonesia berusia antara 34 hingga 44 tahun memiliki dokumen pengenalan diri dan lesen perikanan yang sah. Namun, semakan lanjut mendapati, vesel berkenaan melanggar syarat lesen kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan di bawah jarak yang dibenarkan.

Tidak sampai sejam kemudian, sebuah bot kargo pula ditahan pada kedudukan 2.1 batu nautika selatan Batu 3 selepas juragan tempatan berusia 27 tahun gagal mengemukakan permit membawa 12 tong gas petroleum cecair (LPG) berisi.

Hasil pemeriksaan mendapati, nama juragan terbabit tiada dalam daftar lesen bot, sekali gus melanggar syarat sah lesen yang ditetapkan pihak berkuasa.

Kesemua individu bersama bot dan muatan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk dua bot, enjin dan muatan dianggarkan hampir RM85 ribu.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim.

“Operasi penguatkuasaan akan dipertingkat khususnya menjelang musim perayaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman perairan sentiasa terpelihara,” tegasnya.

Maritim Malaysia menyeru orang ramai supaya terus menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.

TAWAU LESEN2
 
TAWAU LESEN3

BOT TUNDA DITAHAN ZON MARITIM MIRI LAKUKAN KESALAHAN ORDINAN PERKAPALAN SAUDAGAR

MIRI, 27 FEBRUARI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah menahan sebuah vesel tunda yang disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, semasa pemeriksaan rutin di perairan Lawas, semalam.

Pengarah Zon Maritim, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, penahanan itu dibuat pada sekitar pukul 1.05 petang, di kedudukan lebih kurang 2.5 batu nautika utara Kuala Lawas, oleh Kapal Maritim ketika rondaan OP PERMAI 01/19 dan OP TIRIS 3.0.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati vesel tunda berkenaan gagal mengemukakan dokumen Domestic Shipping Licence (DSL) yang sah ketika pemeriksaan dan tidak mengibarkan National Ensign Flag (Jalur Gemilang) semasa beroperasi, yang menjadi satu kesalahan di bawah MSO 1952.

Vesel tunda tersebut dikendalikan oleh seorang nakhoda bersama dua kru warga tempatan dan seorang kru warga Indonesia dalam lingkungan umur 20 hingga 50 tahun, ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah MSO 1952 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang memperuntukkan denda, kompaun atau tindakan lain yang sewajarnya.

Beliau turut menegaskan, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua vesel mematuhi undang-undang perkapalan serta menjamin keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta untuk menghubungi talian kecemasan Maritim Malaysia 999, atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-649111, atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 / 082-432016 untuk tindakan segera.

 

TUNDA MIRI2

MARITIM NEGERI KELANTAN TAHAN VESEL NELAYAN TEMPATAN LANGGAR SYARAT SAH LESEN

PASIR PUTEH, 28 FEBRUARI – Maritim Negeri Kelantan telah berjaya menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C yang menggunakan peralatan jenis pukat jerut dalam satu operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di kawasan perairan berhampiran Pulau Perhentian Besar, pada Khamis.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal bin Mohamad berkata, vesel berkenaan mempunyai seramai 18 orang kru yang terdiri daripada lapan orang warganegara Malaysia termasuk tekong serta 10 orang warganegara Thailand.

Hasil pemeriksaan mendapati, vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, iaitu menggaji kru asing yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang telah tamat tempoh.

Selain itu,vesel tersebut juga disyaki melanggar Akta Perikanan 1985 kerana dipercayai menjalankan aktiviti penangkapan ikan di bawah 12 batu nautika dari daratan, yang merupakan satu pelanggaran terhadap syarat lesen bagi vesel Kelas C.

Kesemua kru telah ditahan bagi tujuan siasatan lanjut, manakala vesel bersama peralatan menangkap ikan telah dirampas dan dibawa ke jeti Maritim Negeri Kelantan dan diserahkan kepada unit siasatan untuk tindakan selanjutnya.

Maritim Negeri Kelantan akan terus meningkatkan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang pelanggaran yang boleh menjejaskan keselamatan perairan dan kelestarian sumber perikanan negara.

Maritim Malaysia menyeru agar semua pengusaha bot nelayan agar sentiasa memastikan dokumen kru adalah sah dan mematuhi semua syarat lesen yang ditetapkan, bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang dan memastikan aktiviti perikanan dijalankan secara bertanggungjawab serta selamat.

KELATAN VESEL
 
KELATAN VESEL3
 
KELATAN VESEL4

OP KHAS PAGAR LAUT : 800 PENGUAT KUASA MARITIM MALAYSIA JAGA PERAIRAN NEGARA SEMPENA MUSIM PERAYAAN

PUTRAJAYA, 26 FEBRUARI – Operasi Op Khas Pagar Laut akan diaktifkan kembali bermula 27 Februari hingga 10 April ini bagi mengekang peningkatan risiko jenayah rentas sempadan sepanjang Ramadan dan Syawal.

Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, operasi berskala besar itu melibatkan 800 pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang diatur gerak di seluruh perairan negara.

Tambah beliau, sebanyak 275 aset terdiri daripada kapal, bot peronda dan pesawat udara akan bersiapsiaga dengan rondaan serta pemantauan dilaksanakan 24 jam sepanjang tempoh operasi.

“Op Khas Pagar Laut dilaksanakan setiap tahun sempena Ramadan dan Syawal, kerana tempoh ini sering dimanipulasi sindiket untuk aktiviti penyeludupan dan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI),” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika hadir mengadakan tinjauan pelaksanaan Op Khas Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) TUN FATIMAH di sekitar perairan Klang, Selangor hari ini.

Turut hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah serta Ketua-ketua Jabatan dan Agensi di bawah KDN.

YB Datuk Seri Saifuddin turut memaklumkan, pelaksanaan operasi tahun ini dirangka dalam empat fasa meliputi Fasa Persediaan, Fasa Penguatkuasaan Pra-Perayaan, Fasa Penguatkuasaan Semasa Perayaan dan Fasa Pemantauan serta Post Exercise Debrief (PXD) bagi memastikan operasi ini dilaksanakan pada tahap optimum.

Mengulas pencapaian sebelum ini, Saifuddin berkata, sepanjang tempoh 2020 hingga 2025, sebanyak 344 kes tangkapan pelbagai kesalahan direkodkan menerusi Op Khas Pagar Laut dengan nilai rampasan hampir RM106.7 juta.

“Sabah mencatatkan rekod tertinggi dengan 90 kes, diikuti Perak sebanyak 71 kes dan Johor 52 kes.

“Dalam tempoh sama juga, kita berjaya mematahkan 863 kes cubaan kemasukan PATI melibatkan 3,700 individu,” jelasnya.

Jelas beliau, statistik itu membuktikan Kerajaan konsisten dan tegas dalam memperkukuh kawalan sempadan maritim negara dalam usaha mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.

Sementara itu, YB Datuk Seri Saifuddin menegaskan, kejayaan operasi berkenaan hasil pelaksanaan secara pendekatan bersepadu.

Katanya, perkongsian risikan dan operasi secara bersepadu dilaksanakan dengan agensi di bawah KDN termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Kerjasama turut diperluaskan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM).

Selain rondaan dan penguatkuasaan, Maritim Malaysia turut bersiap siaga untuk sebarang Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) sekiranya berlaku insiden yang membabitkan kapal atau bot yang membawa penumpang dan lain-lain.

OP KHAS PAGAR LAUT
 
OP KHAS PAGAR LAUT2
 
OP KHAS PAGAR LAUT3
 
OP KHAS PAGAR LAUT6

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON