29
Mon, Apr

CUBAAN SELUDUP MASUK MINUMAN KERAS DAN ROKOK GAGAL

LAHAD DATU, 14 Januari – Zon Maritim Lahad Datu berjaya menahan sebuah bot enjin sangkut warna hijau tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.5 batu nautika di kawasan Barat Daya rumah api Tanjung Labian kerana disyaki cuba menyeludup masuk minuman keras dan rokok pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam bin Nik Mohd Fauzi berkata, bot ronda Maritim Malaysia berjaya mengesan sebuah bot enjin sangkut setelah menerima maklumat awam kira-kira pada jam 4.50 pagi.

Ujar Nik Mohd Rizam, menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, bot suspek telah memecut laju ke arah daratan berdekatan namun dua suspek berjaya meloloskan diri dengan terjun di perairan cetek.

Hasil pemeriksaan ke atas bot mendapati terdapat sebanyak 24 botol dan dua tin minuman keras pelbagai jenama serta 70 kotak rokok dipercayai cuba diseludup masuk dari Filipina.

Kesemua barang rampasan, bot dan sebuah enjin sangkut dianggarkan berjumlah RM 20 ribu dirampas untuk disiasatan di bawah Akta Kastam 1967.

Sebarang aduan, aktiviti jenayah atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh melaporkannya kepada Maritim Malaysia menerusi talian 089-885727 (Pusat Operasi Lahad Datu) atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

ARAK LAHAD DATU 2
 
 ARAK LAHAD DATU 3

GUNA DOKUMEN MERAGUKAN, LIMA PATI WARGA MYANMAR DITAHAN

ALOR SETAR, 13 Januari – Lima lelaki disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah feri penumpang di kedudukan 6.6 batu nautika barat laut muara Kuala Kedah pada pukul 3.45 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, bot ronda, PERKASA 1226 sedang melaksanakan rondaan rutin Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah sebelum menerima maklumat risikan dan menahan feri berkenaan yang dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah.

Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas feri berkenaan, anggota penguat kuasa mendapati lima orang warga Myanmar hanya memiliki sekeping kad yang meragukan kerana kad terbabit tidak mempunyai data pengenalan diri dan dokumen perjalanan yang sah.

Berikutan itu, kesemua PATI terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebatan tidak lebih dari enam kali, jika disabit kesalahan.

Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.

Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

 

PATI KEDAH

DUA KAPAL PENGANGKUT DITAHAN KERANA BERSAUH TANPA KEBENARAN

KOTA TINGGI, 9 Januari – Dua vesel jenis kapal pengangkut telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Sedili kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria berkata, kapal pertama yang berdaftar dari Basseterre ditahan bot ronda Maritim Malaysia pada pukul 1.00 tengah hari di kedudukan 8.0 batu nautika timur Tanjung Siang.

Manakala kapal kedua pula yang didaftarkan di Majuro ditahan bot ronda Maritim Malaysia di kedudukan 11.8 batu nautika timur Tanjung Lompat pada pukul 1.10 tengah hari.

Nurul Hizam turut memaklumkan, kedua-dua nakhoda kapal terbabit telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia ketika diperiksa dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Kapal pengangkut yang berdaftar di Basseterre itu turut disiasat di bawah Seksyen 361 (1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana tidak memiliki insuran wajib.

Beliau menambah, sepanjang tahun 2023 Op Jangkar Haram telah merekodkan sebanyak 88 buah tangkapan dengan jumlah denda keseluruhan RM2.21 juta. Justeru, diingatkan kepada pengusaha perkapalan atau nakhoda kapal supaya segala peraturan dan prosedur dipatuhi kerana usaha mengekang aktiviti bersauh secara haram ini akan digiatkan lagi tanpa kompromi.

Maritim Malaysia juga ingin menasihatkan kepada orang ramai terutamanya komuniti maritim supaya lebih berwaspada dengan perubahan cuaca dan mengutamakan keselamatan berikutan negara kini berada dalam fasa monsun timur laut. Tangguhkan sebarang aktiviti sekiranya keadaan tidak mengizinkan. Sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404.

 

KAPAL DAGANG 3   KAPAL DAGANG 2   KAPAL DAGANG 4

30 SET BUBU NAGA DIRAMPAS MARITIM NEGERI PERAK

LUMUT, 15 Januari – Maritim Negeri Perak telah merampas sebanyak 30 set bubu naga (bubu kambang) di kedudukan sekitar 1.5 batu nautika barat laut muara Sungai Beruas, Perak kira-kira pada jam 4.05 petang semalam. 

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali bin Ya’akup berkata, bubu naga ini dikesan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP SAYONG / OP PINTAS / OP TANJUNG dan OP TIRIS di perairan Perak ketika menyusuri kawasan terbabit dan melihat pancang kayu yang mencurigakan di permukaan air.

Hasil tinjauan mendapati, pancang kayu berkenaan adalah penanda lokasi bubu naga yang dipasang oleh individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kesemua bubu naga itu dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Pemantauan dan risikan oleh Maritim Negeri Perak akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti penangkapan ikan menggunakan kaedah bubu naga daripada terus berleluasa.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh terus menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk tindakan segera.

 

WhatsApp Image 2024 01 14 at 10.18.41 PM
 
WhatsApp Image 2024 01 14 at 10.18.42 PM 1

MARITIM NEGERI PERAK RAMPAS 32 SET BUBU NAGA

LUMUT, 8 Januari – Aktiviti menangkap ikan menggunakan bubu naga masih berleluasa dan kali ini Maritim Negeri Perak merampas sebanyak 32 set bubu naga (bubu kambang) di kedudukan sekitar 1.1 batu nautika barat Pulau Talang, Perak kira-kira pada jam 4.20 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali bin Ya’akup berkata, bubu naga ini dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP SAYONG / OP PINTAS / OP TANJUNG dan OP TIRIS di perairan Perak ketika menyusuri kawasan itu dan melihat terdapat pelampung diikat pada pancang kayu berserta bendera yang mencurigakan di permukaan air.

Hasil tinjauan mendapati, pelampung berkenaan adalah penanda lokasi bubu naga yang dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

Kesemua bubu naga itu dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Penggunaan bubu naga boleh mengakibatkan anak-anak ikan dan udang mudah untuk masuk ke perangkap jaring alat itu dan menjejaskan biodiversiti marin serta mengakibatkan hasil laut semakin berkurangan.

Pemantauan dan risikan oleh Maritim Negeri Perak akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti penangkapan ikan menggunakan kaedah bubu naga daripada terus berleluasa.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh terus menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk tindakan segera.

 

WhatsApp Image 2024 01 08 at 9.56.16 AM
 
WhatsApp Image 2024 01 08 at 9.56.15 AM

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON