KUALA KURAU, 8 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) selepas menerima aduan berhubung sebuah bot pancing yang dilaporkan putus hubungan ketika dalam perjalanan pulang ke Jeti Kuala Gula, semalam.
Aduan diterima Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau pada jam 9.14 malam, 7 Oktober daripada seorang pengadu yang memaklumkan bot milik mangsa tidak dapat dihubungi ketika dalam perjalanan pulang ke jeti.
Mangsa dikenali sebagai Saidan bin Ellis, 45 tahun, warga Malaysia.
Susulan aduan tersebut, maklumat kejadian disalurkan kepada pihak berkaitan sebelum Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan Operasi CARILAMAT.
Aset Maritim Malaysia, Bot BENTENG 03, kemudian digerakkan dari Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau pada jam 10.20 malam menuju ke lokasi yang dilaporkan.
Bagaimanapun, pada jam 12.00 tengah malam, 8 Oktober, Maritim Malaysia menerima maklumat bahawa mangsa berjaya menghubungi pengadu dan memaklumkan bahawa beliau berada dalam keadaan selamat.
Bot mangsa turut dilaporkan telah dibantu oleh sebuah bot nelayan tempatan dan dibawa ke kawasan sangkar ikan Kuala Kurau.
Bot BENTENG 03 tiba di lokasi pada jam 1.10 pagi sebelum mengiringi bot mangsa pulang ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau. Kedua-dua bot tiba dan selamat merapat di jeti pada jam 2.05 pagi.
Saidan berkata, keadaan jerebu tebal pada malam kejadian telah mengehadkan jarak penglihatan dan menyebabkan beliau bersama rakannya kehilangan panduan untuk kembali ke jeti.
“Saya amat berterima kasih kepada Maritim Malaysia khususnya Maritim Kuala Kurau serta komuniti nelayan tempatan yang membantu kami ketika berada dalam situasi genting. Syukur kami akhirnya dapat kembali kepada keluarga dengan selamat,” katanya.
Operasi CARILAMAT ditamatkan selepas mangsa dan botnya berjaya dibawa pulang dengan selamat.
Pengarah Maritim Zon Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil bin Othman menasihatkan komuniti maritim, khususnya pengusaha bot rekreasi dan nelayan, supaya memastikan peralatan komunikasi serta keselamatan berada dalam keadaan baik sebelum turun ke laut.
Beliau turut mengingatkan agar sebarang kejadian kecemasan atau kehilangan hubungan dilaporkan segera kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pantas diambil.









