KUANTAN, 19 OGOS - Sempena sambutan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim Peringkat Kebangsaan (HKKM), Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) telah mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan menulis esei dan mewarna di dua buah sekolah angkatnya iaitu SMK Sungai Baging dan SK Sungai Ular. Pertandingan ini merupakan salah satu platform AMSAS dalam aspek pendidikan dan memberi kesedaran mengenai amalan keselamatan di laut dan pantai terutamanya kepada komuniti maritim khususnya kepada para pelajar.
Pendekatan ini dilaksanakan oleh AMSAS bagi menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan pihak sekolah di samping dapat menyumbangkan aktiviti berfaedah kepada para pelajar sesuai dengan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) kini. Aktiviti ini dilaksanakan di rumah oleh para pelajar yang mengambil bahagian kerana pendekatan ini dilihat amat sesuai dengan amalan norma baharu dalam mendukung usaha dan hasrat kerajaan untuk memerangi Pandemik COVID - 19.
Pertandingan menulis esei telah dimenangi oleh adik Nur Alyaa Syamimi binti Md Arif dari SMK Sungai Baging, manakala pertandingan mewarna telah dimenangi oleh tiga orang pelajar daripada SK Sungai Ular iaitu Nur Balqis Afifah binti Syamshu@Affendi, Nur Afrina Izara binti Khirul Sazali dan Aiman Mustaqim.
Acara penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Pengarah AMSAS iaitu Laksamana Pertama Maritim Haji Rozali bin Mohd Said bertempat di kedua - dua buah sekolah tersebut. Turut hadir juga adalah barisan pentadbir sekolah iaitu Mohd Shuaimi bin Ibrahim, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Sungai Baging dan Mazlan bin Mohamed, Guru Besar SK Sungai Ular.
![]()
![]()



















.svg.png)

