MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN VIETNAM CEROBOH PERAIRAN BINTULU, DISYAKI TANGKAP IKAN SECARA HARAM
KUNJUNGAN HORMAT TIMBALAN KETUA PENGARAH KESELAMATAN NEGARA MKN KE IBU PEJABAT MARITIM MALAYSIA
PUTRAJAYA, 7 OGOS - Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Haji Ibrahim bin Haji Mohamed hari ini menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Bahagian Strategik) YBhg. Datuk Khairul Shahril bin Idris dalam lawatan kerja rasmi beliau di bawah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.
Dalam pertemuan ringkas ini, kedua-duanya bertukar pandangan dan maklumat melibatkan aktiviti pengoperasian serta jalinan kerjasama antara agensi lain dalam memperkukuhkan keselamatan rantau negara. Selain dari itu, beliau juga berharap agar jalinan kerjasama strategik ini dapat diteruskan bagi memperkasakan undang-undang di laut khususnya di Zon Maritim Malaysia.
PROGRAM KONSERVASI TAMAN NEGERI PULAU SEMBILAN 2026
LUMUT, 24 Julai – Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Perak terus memperkukuh komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian ekosistem marin menerusi penyertaan dalam Program Konservasi Taman Negeri Pulau Sembilan Tahun 2026 yang berlangsung di Taman Negeri Pulau Sembilan, Perak semalam.
Program berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’ifullah Shah.
Program ini melibatkan kehadiran pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta pihak berkepentingan dalam kerjasama strategik dalam memelihara khazanah alam serta memastikan kelestarian ekosistem marin negara.
Dalam program tersebut, IPMN Perak telah menggerakkan penglibatan anggotanya menerusi pelbagai aktiviti pemuliharaan, antaranya propagasi karang, penanaman pokok ambong di Pulau Lalang, pembersihan kawasan pantai serta rondaan di sekitar perairan Kepulauan Sembilan.
Penyertaan ini bukan sahaja menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti marin, malah turut memperlihatkan peranan Maritim Malaysia dalam memperkukuh kerjasama rentas agensi dan sektor bersama kerajaan, pihak swasta serta pihak berkepentingan dalam melindungi alam sekitar dan sumber marin negara.
Aktiviti pembersihan pantai dan pengurusan sisa yang dilaksanakan sepanjang program turut menjadi platform dalam meningkatkan kesedaran serta memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap kepentingan menjaga kebersihan kawasan pesisir pantai dan kelestarian ekosistem marin.