MELAKA, 14 Julai – Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Melaka dan Negeri Sembilan telah menganjurkan Kursus Asas First Responder dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebagai usaha memperkukuh kompetensi pegawai dan anggota dalam aspek pengurusan kecemasan serta pemberian bantuan awal kepada mangsa.
Penganjuran kursus ini bertujuan memberikan pengetahuan, pendedahan dan kemahiran asas kepada warga IPMN Melaka dan Negeri Sembilan dalam melaksanakan tindakan awal yang sistematik dan berkesan sebelum ketibaan pasukan perubatan atau penyelamat. Inisiatif ini turut menyokong usaha organisasi dalam melahirkan warga kerja yang lebih bersedia dan berkeupayaan menghadapi sebarang situasi kecemasan di tempat kerja mahupun semasa melaksanakan tugasan operasi.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pengisian teori dan latihan praktikal merangkumi prinsip-prinsip pertolongan cemas, kaedah bantuan pernafasan dan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR), penggunaan Automated External Defibrillator (AED), teknik balutan luka dan kawalan pendarahan serta kaedah memberikan bantuan kepada mangsa tercekik (choking). Latihan ini telah dikendalikan oleh Lt. (PA) Noor Jauzi bin Hashim dan Ltm. (PA) Muhammad Nabil Zikri bin Md. Zairi daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), yang turut membimbing peserta melalui latihan praktikal dan simulasi situasi kecemasan.
Melalui pelaksanaan kursus ini, peserta dapat meningkatkan pengetahuan mengenai peranan dan tanggungjawab sebagai First Responder, menguasai kemahiran membuat penilaian awal terhadap mangsa, serta mampu memberikan rawatan awal yang cepat, tepat dan berkesan sebelum bantuan lanjut tiba di lokasi kejadian.
Maritim Malaysia komited dalam memperkasakan pembangunan modal insan melalui pelaksanaan latihan yang berterusan bagi meningkatkan tahap kompetensi, profesionalisme dan kesiapsiagaan pegawai serta anggota dalam mendukung penyampaian perkhidmatan yang cekap, berintegriti dan berkesan demi keselamatan perairan negara.













.svg.png)

