PUTRAJAYA, 13 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh kerjasama strategik antarabangsa dalam bidang mencari dan menyelamat (CARILAMAT) menerusi pelaksanaan Search and Rescue Communication Exercise 2026 (SARCOMEX-26) bersama Japan Coast Guard (JCG) yang diselaraskan oleh Pusat Penyelarasan Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya, hari ini.
Latihan komunikasi berkala itu melibatkan pegawai-pegawai JCG bersama pegawai Maritim Malaysia yang kini sedang mengikuti program penempatan latihan di atas kapal JCG Itsukushima, yang sedang dalam pelayaran menuju ke Filipina sebelum meneruskan perjalanan ke Jepun.
SARCOMEX-26 dilaksanakan menerusi komunikasi radio maritim secara langsung bagi menguji kecekapan prosedur komunikasi operasi, penyelarasan maklumat serta tindak balas antara kedua-dua agensi sekiranya berlaku insiden kecemasan di laut.
Sepanjang latihan, kedua-dua pihak bertukar maklumat kritikal meliputi status pelayaran, keadaan kru serta penyelarasan operasi mencari dan menyelamat, sekali gus mengukuhkan tahap interoperabiliti dan keberkesanan koordinasi operasi rentas sempadan.
Latihan berimpak tinggi itu mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dan Japan Coast Guard dalam memperkasakan kesiapsiagaan operasi CARILAMAT, di samping memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama keselamatan maritim di peringkat serantau.
Turut hadir menyaksikan eksesais komunikasi tersebut ialah First Secretary (Coast Guard and Maritime Affairs), Kedutaan Jepun di Malaysia, Issei Nishimura, sebagai simbol sokongan terhadap hubungan diplomatik serta kerjasama erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Jepun dalam bidang keselamatan maritim.
Maritim Malaysia komited untuk terus memperluas kerjasama dengan rakan strategik antarabangsa menerusi latihan bersama, perkongsian kepakaran dan pemantapan keupayaan operasi bagi memastikan keselamatan pelayaran, keberkesanan operasi mencari dan menyelamat serta kedaulatan Zon Maritim Malaysia sentiasa berada pada tahap terbaik.













.svg.png)

