PELABUHAN KLANG, 13 Julai – Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menganjurkan Perbarisan Komander STAR Team bagi tahun 2026 serta Majlis Persaraan Pegawai Waran I Maritim Khalid bin Aris, bertempat di Bangunan Pejabat Skuadron Gempur Semenanjung, Pelabuhan Klang, hari ini.
Perbarisan tahunan tersebut telah disempurnakan oleh Komander STAR Team, Kepten Maritim Syuzefril bin Mat Noor dan melibatkan kehadiran pegawai serta anggota daripada Skuadron Gempur Semenanjung, Skuadron Gempur Sabah & Sarawak serta Skuadron Selam STAR Team.
Dalam amanatnya, Komander STAR Team menekankan kepentingan mengekalkan kesiapsiagaan fizikal dan mental, menghayati nilai integriti serta disiplin yang tinggi sebagai asas kepada kecemerlangan pelaksanaan setiap tugasan operasi.
Beliau turut menyeru agar seluruh warga STAR Team terus memperkukuhkan kompetensi dan semangat berpasukan demi memastikan pasukan sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik.
Pada majlis yang sama, Komander STAR Team merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PW I Maritim Khalid bin Aris atas jasa, pengorbanan dan sumbangan beliau sepanjang perkhidmatan bersama Pasukan Penyelam Maritim Malaysia.
Pengalaman serta kepakaran yang dikongsikan beliau telah memberi impak besar kepada pembangunan keupayaan operasi dan menjadi inspirasi kepada generasi pegawai dan anggota STAR Team.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar kenangan serta street lining sebagai simbol penghormatan terakhir daripada seluruh warga STAR Team kepada PW I Maritim Khalid bin Aris atas segala jasa dan khidmat bakti beliau kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.













.svg.png)

