LUMUT, 14 Julai – Kelab Kebajikan dan Sukan Maritim (KESMAR) Wilayah Maritim Utara (WILUTA) telah berjaya melaksanakan Kejohanan Mini KESMAR WILUTA 2026 dengan penuh meriah menerusi penganjuran Kejohanan Sukan 3K (Kecergasan, Kesihatan dan Kesegakan) yang berlangsung pada 10 hingga 13 Julai bertempat di Universiti Kuala Lumpur – Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) dan Mini Stadium Astaka, Sitiawan, Perak.
Menurut Penaung Kelab Kebajikan dan Sukan Maritim (KESMAR) Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, penganjuran kejohanan ini bertujuan mengenal pasti serta mencungkil bakat-bakat baharu dalam kalangan warga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di samping menjadi platform bagi persediaan kontinjen Wilayah Maritim Utara (WILUTA) yang akan mewakili wilayah pada Kejohanan Sukan KESMAR Maritim Malaysia nanti.
"Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan persaingan yang sihat, malah berperanan memperkukuh semangat berpasukan, memupuk nilai disiplin serta meningkatkan kecergasan fizikal dalam kalangan warga Maritim Malaysia," katanya.
Kejohanan tersebut telah menghimpunkan enam kontinjen dari seluruh Wilayah Maritim Utara (WILUTA) iaitu Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang, Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak, Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Perlis, Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kedah dan Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau.
Sepanjang empat hari kejohanan berlangsung, para peserta mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi serta komitmen yang cemerlang dalam setiap acara yang dipertandingkan. Selain menguji keupayaan fizikal dan mental, kejohanan ini turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kekitaan dan memperkukuhkan kerjasama antara pegawai serta anggota Maritim Malaysia di Wilayah Utara.
Sebagai kesinambungan kepada usaha memperkasa budaya sukan dalam organisasi, penganjuran Kejohanan Mini KESMAR WILUTA akan diteruskan pada masa hadapan dan Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang telah dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran kejohanan edisi seterusnya.













.svg.png)

