PUTRAJAYA, 4 MEI – Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan bersepadu dalam membanteras jenayah rentas sempadan dan penyeludupan, selaras dengan usaha memastikan keselamatan negara kekal terpelihara.
Perhimpunan Bulanan KDN bagi Mei 2026 yang dianjurkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah berlangsung di Auditorium Setia Perkasa 8 dengan pengisian menarik termasuk Persembahan Muzikal Teater Revolusi Kad Pengenalan, peluncuran mySUWa serta inisiatif transformasi JPN dan pengukuhan perjawatan Skim Pegawai Pendaftaran.
Majlis disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail yang dalam amanatnya menegaskan bahawa kepimpinan berkesan bermula dengan 'the right team', disokong budaya 'check and balance' serta keseimbangan antara integriti dan kompetensi bagi memastikan organisasi kekal dinamik dan berdaya tahan.
“Penguatkuasaan bersepadu akan terus diperkasa secara tegas dan berstrategi bagi membanteras jenayah rentas sempadan serta penyeludupan, di samping memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin,” katanya.
Beliau turut berkongsi dapatan lawatan lapangan selama dua minggu dalam meninjau kawalan sempadan yang memberi fokus kepada usaha menutup 'blind spot', memperkukuh keupayaan radar serta meningkatkan infrastruktur keselamatan termasuk pembinaan pos kawalan baharu di kawasan berisiko tinggi.
Dalam masa sama, KDN mempergiat pemodenan sistem pintu masuk negara melalui pelaksanaan NIISe termasuk kemudahan 'autogate' di lapangan terbang serta laluan strategik seperti RTS Johor, selain persediaan memperkenalkan dokumen pengenalan diri dan pasport dengan ciri keselamatan baharu menjelang Jun.
Seiring dengan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memainkan peranan kritikal di lapangan dengan memperhebat rondaan, pemantauan dan tindakan pemintasan di perairan negara, sekali gus meningkatkan tangkapan terhadap aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Shamsul Anuar bin Nasarah, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik bin Jeman, Ketua Polis Negara, Dato' Sri Mohd Khalid bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah serta pengarah-pengarah bahagian dan pegawai kanan Maritim Malaysia.
Komitmen berterusan ini memperlihatkan kesiapsiagaan agensi di bawah KDN, khususnya Maritim Malaysia, dalam memastikan perairan negara sentiasa selamat, terkawal dan bebas daripada ancaman jenayah.

















.svg.png)

