TAWAU, 3 MEI – Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman ‘turun padang’ meninjau sendiri kemajuan projek naik taraf Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Zon Maritim Tawau, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanwar Abd Majid berkata, lawatan itu memberi fokus kepada pemantauan kemajuan fizikal projek, selain menilai keperluan penambahbaikan bagi memastikan kesiapsiagaan operasi maritim sentiasa berada pada tahap optimum.
Ujar beliau, projek berkenaan merupakan antara inisiatif penting dalam memperkukuh infrastruktur operasi Maritim Malaysia di kawasan strategik pantai timur Sabah yang berdepan cabaran keselamatan rentas sempadan.
“Lawatan ini membolehkan pihak kementerian melihat sendiri perkembangan projek serta mendapatkan gambaran sebenar di lapangan, termasuk isu berbangkit yang memerlukan perhatian segera,” katanya.
Dalam lawatan sama, wakil kontraktor pembinaan jeti berkenaan telah membentangkan status semasa projek serta aspek keselamatan sebelum sesi dialog diadakan bersama pihak KDN bagi memperincikan keperluan teknikal dan operasi.
“Projek naik taraf jeti itu yang bermula pada 26 Jun 2024 dijangka siap sepenuhnya pada 23 Jun 2026,” tambah beliau.
Skop kerja melibatkan pembaikan struktur asal jeti, pembinaan dek terapung serta dua unit rumah awasan, bagi meningkatkan kawalan keselamatan selain memberi kemudahan lebih baik kepada petugas di lapangan.
Lawatan tersebut turut disertai Setiausaha Bahagian Perolehan KDN, Datuk Nor Muhamad bin Che Dan @ Che Din, Setiausaha Bahagian Pembangunan KDN, Tuan Ahmad Fuad bin Apandi, Ketua Staf Bahagian Operasi Laut ESSCOM, Laksamana Pertama Maritim Abdul Razak Mohamed, Timbalan Pengarah Pengurusan Maritim Negeri Sabah,Puan Siti Nor Haini binti Osli, Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin bin Ghazali, Pegawai Memerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tawau, DSP Ridzauddin bin Selama, dan Pegawai di Bahagian Pembangunan Ibu pejabat Maritim Malaysia, Encik Mohd Amin bin Asis.

















.svg.png)

