PUTRAJAYA, 1 MEI – Peningkatan kes kemalangan jalan raya yang melibatkan pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sejak kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan serius pengurusan tertinggi terhadap aspek keselamatan warganya.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah menegaskan, semua warga agensi perlu mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya, khususnya semasa berulang-alik ke tempat bertugas.
Menurut beliau, peningkatan kemalangan bukan sahaja melibatkan kecederaan, malah turut meragut nyawa dalam kalangan anggota, sekali gus memberi kesan besar kepada operasi dan kebajikan warga agensi.
Kebimbangan itu dizahirkan selepas beliau mengadakan lawatan kebajikan ke atas Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd Fairusnizam Abdul Razak di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah semalam.
Mohd Fairusnizam sebelum ini terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 15 April lalu dan menerima rawatan awal di Hospital Banting sebelum dipindahkan ke HSAAS untuk rawatan lanjut oleh pakar ortopedik.
Beliau dijangka menjalani pembedahan ketiga minggu hadapan bagi merawat kecederaan serius pada tangan dan lengan kanan.
Dalam perkembangan sama, Mohd Zawawi turut mendoakan agar Mohd Fairusnizam diberikan kesembuhan dan kekuatan, selain berharap segala urusan beliau dipermudahkan dalam tempoh pemulihan ini.















.svg.png)

