PUTRAJAYA, 3 APRIL – Pemakaian pemangkuan pangkat melibatkan tujuh pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) disifatkan sebagai satu bentuk pengiktirafan tertinggi terhadap keupayaan, komitmen serta kepercayaan pengurusan tertinggi dalam memperkukuh kepimpinan organisasi.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, pemakaian pangkat tersebut bukan sekadar simbol kejayaan peribadi, sebaliknya mencerminkan amanah besar yang perlu digalas demi memastikan kecemerlangan agensi ini terus dipertahankan.
“Momen ini adalah hasil sokongan semua pihak termasuk pengurusan tertinggi, pengarah bahagian serta pasangan tuan-tuan sekalian. Semangat setiakawan juga menjadi pendorong utama kepada kejayaan yang diraikan hari ini,” katanya.
Menurut beliau, detik berkenaan merupakan kenangan indah yang perlu dihargai oleh setiap penerima, namun dalam masa sama perlu dijadikan titik tolak untuk melaksanakan tanggungjawab dengan lebih cemerlang.
“Pangkat yang disandang hadir bersama tanggungjawab yang besar dan bukan satu pengakhiran, sebaliknya permulaan kepada peranan kepimpinan yang lebih mencabar,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan, amanah yang diberikan adalah satu penghormatan tinggi serta bebanan yang perlu dipikul dengan penuh integriti dan dedikasi, selain menyifatkan semua pegawai terlibat sebagai aset bernilai kepada Maritim Malaysia.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim serta Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah bersama pegawai kanan Maritim Malaysia yang hadir secara fizikal serta dalam talian.
Dalam majlis tersebut, enam pegawai telah menerima pemangkuan pangkat ke Komander Maritim Gred T12 iaitu Leftenan Komander Maritim Mohd Sharim bin Zakaria, Syed Hazlan Izham bin Syed Abdullah, Amrizuwan bin Alwi, Nur Hadafi Zafran bin Norzali, Fadli Hisham bin Muhammad dan Hizam bin Zulkifli.
Turut menerima pemangkuan pangkat ke Komander Maritim Gred T12 (Penerbang) ialah Leftenan Komander Maritim Suhaimi bin Kamarudin.

















.svg.png)

