KOTA KINABALU, 3 APRIL – Seramai 17 warga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan W.P. Labuan menyertai Pertandingan Deklamasi Sajak Patriotik peringkat saringan yang berlangsung di sini semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, penganjuran program berkenaan bukan sahaja menjadi platform mengasah bakat deklamasi puisi, malah berperanan memperkukuh jati diri dan semangat patriotisme dalam kalangan warga kerja.
“Pertandingan ini memberi ruang kepada peserta menampilkan kreativiti dan gaya persembahan masing-masing dalam menyampaikan mesej sajak, sekali gus meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta penghayatan nilai seni dan budaya,” katanya.
Menurut beliau, hanya lima peserta terbaik akan dipilih untuk mara ke peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung pada Mei depan.
Pertandingan tersebut diadili oleh barisan juri berpengalaman yang diketuai Komander Maritim Siti Khairunnisak Abd Aziz selaku Ketua Juri, bersama panel terdiri daripada Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil (vokal), Komander Maritim Mohamad Fahimi Omar (gaya persembahan), Komander Maritim Mahathir Mohamad (kreativiti), Komander Maritim Hakim Idris (penghayatan) serta Puan Nurhanna Hakim (intonasi).
Dalam pada itu, Khairulanuar turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta atas komitmen dan usaha yang ditunjukkan sepanjang pertandingan berlangsung.
Beliau berkata, penglibatan aktif warga kerja dalam program seumpama itu mampu menyumbang kepada pemerkasaan budaya bahasa dan kesusasteraan dalam organisasi, di samping memupuk semangat kebersamaan.
Sebagai penghargaan, semua peserta turut menerima sijil penyertaan sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan komitmen mereka.
Program berkenaan diharap dapat melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam bidang deklamasi puisi serta memperkukuhkan budaya berbahasa dalam kalangan warga Maritim Malaysia, selaras dengan aspirasi membentuk organisasi yang berwibawa dan berdaya saing.

















.svg.png)

